JELITA...Elyzia lebih selesa dengan panggilan Cipy.
HANYA membintangi filem Perahu Kertas arahan Hanung Bramantyo, sudah
berjaya membuatkan nama Elyzia Mulachela dikenali ramai di Indonesia.
Bahkan, pendatang baru dari seberang itu khabarnya semakin mendapat
perhatian tatkala gosip percintaannya dengan penyanyi, Mario ‘Kahitna’
tersebar luas.
Apatah lagi, Mario dalam kenyataannya kepada wartawan di negara itu,
awal Januari lalu memaklumkan dia tidak mampu menyembunyikan perasaan
suka terhadap Elyzia. Malah, pemuda berusia 30 tahun ini turut mengakui
Elyzia yang mesra dengan panggilan Cipy itu menepati kriteria wanita
idamannya.
-
HANYA KAWAN...Elyzia anggap hubungan dengan Mario sebagai abang dan adik.
-
-
-
Bersua dengan Elyzia selepas pratonton filem Perahu Kertas (Bahagian
1) lakonannya di TGV KLCC, baru-baru ini merungkai gosip percintaan
itu. Agak terkejut, tatkala dia diajukan persoalan hubungan cintanya
dengan Mario, gadis kelahiran Lombok, Indonesia yang berusia 17 tahun
ini kelihatan agak malu.
Malah, akuinya hubungan baik dengan Mario sebenarnya umpama abang dan adik.
Malah, ujar Elyzia, ia tidak lebih daripada itu berikutan usianya
yang belasan tahun dan masih belajar di SMA. Akuinya, lagi pun terlalu
awal untuk dia membicarakan soal cinta kerana mahu memberi tumpuan
kepada pelajaran.
“Saya cadang mahu bernikah pada usia 24 tahun. Sekarang, saya baru
17 tahun dan SMA pun belum habis lagi. Jadi, bagaimana saya mahu
bercinta dan bernikah pada usia muda ini. Lagi pun, saya mahu
melanjutkan pengajian dalam bidang komunikasi di universiti dulu selain
memantapkan karier dalam nyanyian dan lakonan.
“Justeru, pada
saya hubungan dengan Mario itu biasa-biasa saja. Rakan sesama artis dan
kami pun dalam perancangan untuk bekerjasama menyanyi secara duet.
Saya
juga fikir Mario pun tidak terlalu serius kerana dia tahu hubungan kami
seperti apa,” katanya mengakui Mario yang dikenali adalah lelaki yang
sangat baik.
Terus mengungkap kisah cintanya dengan Mario, gadis
bertubuh kecil ini memaklumkan hubungan baik antara dia dengan jejaka
itu dijalin atas paksi menyokong karier muzik masing-masing.
Ujarnya, disebabkan itu juga dia hadir ke majlis pelancaran single Mario, Beda sebagai memberi semangat kepadanya.
Berbicara lanjut berhubung karier lakonannya, Elyzia berkata, semuanya bermula secara kebetulan.
Ujarnya, dia lebih dulu terbabit dengan nyanyian sebelum berlakon.
Justeru, peluang membintangi Perahu Kertas yang diadaptasi daripada
novel terlaris Indonesia karya Dee itu dianggap sebagai pengalaman baru.
“Saya sanggup menerima watak Ludhe dalam Perahu Kertas ini kerana mahu
menimba pengalaman. Apatah lagi, saya juga pernah membaca novelnya dan
ia karya yang cukup bagus. Ditambah pula, watak Ludhe itu betul-betul
kena dengan jiwa dan personaliti diri saya. Jadi, saya selesa untuk
membintanginya.
“Apapun, ketika dipanggil untuk uji bakat, saya
memang tidak tahu siapa pengarahnya serta watak yang akan diterima.
Namun, apabila karakter Ludhe disahkan menjadi milik saya, ia umpama
rezeki yang dihajati. Impian saya untuk menjadi pelakon dimakbulkan
Tuhan dan sudah pasti harus membuat yang terbaik.
“Tak dinafikan
juga, ketika membaca novel Perahu Kertas itu saya memang sentiasa
membayangkan karakter Ludhe. Justeru, apabila akhirnya menjadi milik
saya, maka ia tak mampu ditolak.
Saya terima dan bersedia untuk belajar cara berlakon yang bagus daripada pengarah berpengalaman seperti Hanung,” katanya.
Menurut Elyzia, dia juga berasa sangat bertuah dan beruntung apabila
turut mendapat bantuan daripada pelakon lain yang berpengalaman seperti
Maudy Ayunda yang melakonkan watak Kugy dan Adipati Dolken (Keenan).
Ujarnya, mereka berdua sangat baik kerana sudi membantu memberi tunjuk ajar kepadanya.
Turut muncul dengan single pertama Cinta Yang Tak Mungkin, Elyzia
berkata, tambah bermakna baginya membintangi Perahu Kertas apabila lagu
dinyanyikan turut dipilih sebagai lagu tema filem itu.
Katanya, dia benar-benar tidak sangka laluan kariernya berjalan lancar dan dipermudahkan Tuhan.
Menyingkap pula sinopsis filem Perahu Kertas (Bahagian 1) yang akan
menemui peminat wayang di negara ini pada 29 November nanti hanya di
TGV, KLCC, ia mengisahkan Keenan, seorang pelukis muda berbakat dipaksa
mengikuti jurusan Ekonomi oleh bapanya yang cukup tegas dan memandang
rendah pada seni.
Namun, minat mendalam Keenan untuk menjadi
pelukis akhirnya mendorong dia tekad meninggalkan kuliah dan berhijrah
ke Bali bertemu kenalan ibunya, Pak Wayan untuk belajar melukis.
Apatah lagi, Keenan juga dalam kekecewaan selepas mendapat tahu gadis dicintainya, Kugy sudah memiliki kekasih hati.
Terus memendam perasaan cintanya terhadap Kugy, pemuda ini nyata tenang
di Bali. Apatah lagi, perkenalan dengan Luhde yang juga anak saudara
Pak Wayan menaikkan semula semangatnya untuk melukis. Malah, Ludhe yang
juga pemalu cukup memahami kehalusan jiwa seni dimiliki Keenan.
Sementara itu, Kugy yang putus cinta dengan kekasihnya selepas Keenan
pergi lebih banyak terbabit dengan aktiviti sukarelawan. Pun begitu,
sebaik tamat
pengajiannya, Kugy yang minat menulis cerita dongeng
dan suka pada fantasi akhirnya diterima bekerja di syarikat pengiklanan
terkenal AdVocaDo milik Remi.
Bermula sebagai budak pejabat dan
pembancuh kopi, Kugy akhirnya dinaikkan pangkat kerana ideanya untuk
iklan coklat diterima pelanggan AdVocaDo. Sejak itu, hubungan Kugy dan
Remi semakin rapat dan akhirnya mereka bercinta.
Mampukah Kugy melupakan Keenan dengan menerima cinta Remi? Jawapannya ada di dalam filem Perahu Kertas.