ULI perkenal Repsol baru

UMW Lubricant International Sdn Bhd (ULI), optimis menguasai empat peratus pasaran bagi segmen minyak pelincir menjelang hujung tahun ini serentak pelancaran Repsol, produk minyak pelincir yang disesuaikan dengan pasaran tempatan.

Pengarah Eksekutif Bahagian Kejuruteraan dan Pembuatan UMW, Megat Shahrul Azmir berkata, sasaran tersebut antara lain akan disokong oleh sasaran jualan RM20 hingga RM50 juta bagi produk itu.

“Kami menjangkakan jumlah besar tahun ini kerana tahun lalu adalah tahun me­ngu­ji pasaran, dan kami melihat potensi besar bagi segmen ini. Justeru, kami yakin Repsol akan menjadi salah satu jenama minyak pelincir nombor satu di negara ini.

“Dengan reputasi dalam industri permotoran dan kejayaan dalam kajian serta penyelidikan kecekapan minyak pelincir, serta dibantu pelbagai pelan strategik yang diatur, kami sangat positif untuk mencapai sasaran itu,” katanya selepas majlis pelancaran Repsol, di Shah Alam, semalam.

Menurutnya, pada masa ini, pihaknya akan lebih menumpukan kepada pasaran tempatan memandangkan Malaysia adalah yang paling kukuh diikuti China dan beberapa negara lain.

Katanya, sejak memasuki pasaran Malaysia pada Jun tahun lalu, jualan Repsol adalah menggalakkan dan dengan strategi pemasaran UMW, minyak pelincir untuk kereta penumpang, motosikal dan enjin diesel ini semakin diterima baik walaupun jenama baru.

Sehingga kini, Repsol dipasarkan ke 95 negara dan ULI akan terus mempelbagaikan dimensinya ke Singapura, Brunei, Papua New Guinea dan Myanmar tidak lama lagi.

ULI adalah pengedar minyak pelincir eksklusif di Asia Pasifik yang bernaung di bawah UMW Holdings Bhd dan berhasrat menambah lebih 500 cawangan termasuk di Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun ini.