Monday, March 5, 2012

Tembok batu cabar kemampuan


Semua peralatan mendaki seperti tali camental, harness, figure of 8 dan sebagainya perlu diperiksa dengan teliti demi keselamatan.


SELAIN berpeluang menikmati pemandangan berlatar belakang panorama Lembah Kelang, perasaan gemuruh peserta yang mencubanya untuk kali pertama sudah tentu digantikan dengan senyuman puas setelah berjaya melepasi setiap halangan yang tersedia.

Baru-baru ini, lapan ahli Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM) mengikuti latihan asas rock climbing.

Aktiviti itu turut mendapat kerjasama daripada Wira Adventure Consultant yang membolehkan para peserta mencuba aktiviti ini.

Nampak mudah tetapi sebenarnya memerlukan keberanian dan tumpuan 100 peratus terhadap aspek keselamatan sebelum memanjat tebing bukit berbatu kapur.

Begitupun pergerakan dan aspek teknikal sukan lasak ini tidaklah sesukar mana kerana pendaki hanya perlu memanjat setinggi mana yang mampu.

Apabila sedang memanjat, pendaki hanya perlu bergerak mencari permukaan yang membolehkan mereka mengimbangi badan sekali gus naik sedikit demi sedikit ke atas puncak bukit berkenaan.

Buat permulaan, peserta diberikan taklimat ringkas oleh Asmaruddin Jamaluddin selama 30 minit mengenai cara-cara pemakaian harness yang digunakan sebagai alat keselamatan untuk pemanjat, memahami setiap fungsi kelengkapan yang ada dan peranan belayer serta tali.

Setelah lengkap 'berpakaian', taklimat disusuli dengan percubaan berani oleh ahli KRUM secara bergilir-gilir.

Setiap peserta dibantu oleh seorang peserta lain yang bertindak sebagai belayer untuk menjaga keselamatan peserta yang sedang memanjat.

Keseronokan sebenar aktiviti ini dapat dirasai apabila seorang demi seorang berjaya melepasi halangan yang disediakan.

Pergerakan pendaki sebenarnya banyak bergantung kepada kemahiran mencari celahan batu yang boleh dipegang ketika memanjat.

Selain itu, peserta juga boleh berdiri setelah mencari tempat yang sesuai bagi menghilangkan penat seketika.

Perubahan cuaca melalui pergerakan angin dan hujan juga memainkan peranan kerana permukaan batu akan menjadi licin untuk dipegang.

Jika pendaki berkebolehan untuk mengimbangi graviti badan, ia lebih mudah untuk mereka mendaki lebih tinggi sebelum kembali semula ke lokasi asal.

Debaran mula memuncak, lebih-lebih lagi ketika menuruni permukaan batu tersebut. Bagaimanapun, untuk turun ke bawah tidaklah sesukar seperti ketika mendaki.

Ini kerana, pendaki boleh turun ke bawah dengan melakukan aksi seperti abselling ataupun hanya lepaskan tangan dan peserta yang menjaga belayer akan menurunkan pendaki secara perlahan-lahan.

Boleh dikatakan aktiviti ini turut melibatkan kekuatan kawalan tangan dan kaki serta ketahanan mental kerana setiap pendaki menggunakan kesemua otot-otot badan bagi merentap diri ke atas muka batu keras.

Tenaga dan kawalan fizikal turut bergantung kepada jenis peralatan yang digunakan seperti tali camental, hanest, figure of 8, karabiner dan quickdraw yang merupakan peralatan asas penting dalam melakukan aktiviti memanjat permukaan batu.

Kelengkapan lain yang diperlukan ialah pelindung matahari, ubat penghalau serangga, bekalan air yang mencukupi, baju dan seluar yang ringan serta kasut untuk mendaki.

Pendaki haruslah mahir dengan beberapa ikatan asas seperti double look, follow the true dan figure of 8 bagi memastikan aktiviti pendakian berjalan dengan lancar.

Kasut ala ballet yang digunakan pendaki dibuat khusus untuk memanjat kerana ketika memanjat, pendaki hanya menggunakan hujung jari kaki sahaja dan selebihnya bergantung kepada kekuatan tangan.

Setiap pemanjat mesti membawa sebuah beg kapur magnesium (chalk bag) yang diikat di pinggang bahagian belakang.

Kapur ini digunakan untuk meneutralkan peluh yang keluar pada tangan dan kelembapan pada batu atau permukaan tebing.

Menurut salah seorang peserta, Raja Teh Maimunah, 44, sukan ini membawanya ke dunia yang lain.

"Waktu memanjat, saya tidak fikir benda lain selain bagaimana cara nak sampai ke atas atau bahagian tebing mana yang nak dipegang.

"Kalau tidak memberi tumpuan, silap hari bulan, diri sendiri yang cedera. Memang nampak berbahaya tapi sukan ini membuatkan kita sentiasa bersedia," katanya yang pernah terkehel di bahagian bahu kerana aktiviti lasak ini.

Anak kepada Teh Maimunah yang berusia 9 tahun, Natania Sophia Azizul Azmi turut berminat dengan sukan lasak ini sejak dua tahun lalu.

"Saya selalu mengikut ibu memanjat. Pada mulanya, ibu membawa saya ke Taman Cabaran di Putrajaya untuk membiasakan diri dengan keadaan cenuram tiruan.

"Selepas biasa di sana, ibu membawa saya memanjat batu sebenar. Saya rasa kedua-duanya memberikan cabaran yang cukup berbeza," katanya.

Silvia Rehse, 31, yang berasal dari Jerman, turut singgah ke Gua Damai untuk mencuba cabaran yang dicari-carinya.

"Saya dan rakan-rakan kerap mendaki di merata negara tetapi Gua Damai amat berbeza kerana suasana di sini amat berlainan.

"Daripada lima bintang, saya berikan Gua Damai empat bintang kerana kesemua kemudahan boleh didapati di sini," katanya.

Pada mereka yang berminat untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh KRUM, sila layari laman web http://www.utusanonline.com.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: