MENGUNJUNGI Sweden, sebuah negara di utara Eropah atau Semenanjung Scandinavia ketika musim sejuk, sebenarnya bukan pilihan ramai orang.
Ini kerana, ketika itu, suhu sehingga ke bawah paras beku menyukarkan pelancong untuk menikmati keindahan di negara tersebut yang berkeluasan 449,964 kilometer persegi.
Namun, ketika musim salji berada di pertengahan baru-baru ini, berlangsung satu acara sukan berprestij iaitu Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2012 di negara itu yang menarik perhatian peminat sukan rali dari seluruh dunia.
Disebabkan acara itu, penulis berpeluang berada di Sweden iaitu negara ketiga terbesar di Eropah Barat selama empat hari.
Beberapa hari sebelum berangkat, agensi-agensi berita asing melaporkan keadaan cuaca sejuk yang melampau melanda Eropah ketika itu sehingga meragut nyawa ratusan penduduk, khususnya di Romania, Serbia, Republik Czech dan Austria - cukup membimbangkan.
Meskipun tiada kematian dicatatkan di Sweden, Norway atau Finland ekoran cuaca sejuk itu, namun berlaku satu kes di Umea, utara Sweden di mana seorang lelaki ditemui terperangkap dalam keretanya yang diliputi salji selama hampir dua bulan. Mujurlah lelaki berusia 45 tahun itu masih hidup walaupun ditemui dalam keadaan lemah!
Ketepikan masalah cuaca yang berlaku di negara itu kerana untuk pengetahuan semua, sekiranya kita membuat persediaan yang cukup khususnya pakaian yang harus digunakan sepanjang musim itu, tidak harus bimbang berada di sana.
Melancong ke negara Scandinavia khususnya ketika musim sejuk mempunyai beberapa kelebihan - antaranya kurang pelancong, kemudahan diskaun hotel dan penerbangan (kecuali ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru atau 'sportlov' iaitu cuti sekolah seminggu pada Februari).
Maka, musim sejuk tempoh yang terbaik untuk untuk menjelajah negara tersebut, meskipun ramai yang mengatakan kos sara hidup di sana amat tinggi dan sememangnya hakikat ini diakui oleh penulis.
Terdapat beberapa sebab yang boleh menjadikan percutian anda di Sweden lebih menarik ketika musim sejuk antaranya terdapat 200 resort di negara ini yang menyediakan kemudahan ski atau luncur salji kepada mereka yang menggemari sukan ekstrem ini.
Lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung antaranya Are, yang terletak di tengah-tengah negara ini. Untuk ke Are, kita boleh menaiki pesawat selama satu jam 50 minit dari Lapangan Terbang Arlanda, Stockholm.
Selain Are, beberapa lokasi luncur salji lain yang menarik lengkap dengan kemudahan sukan ini, di Dalarna, Jamtland dan Harjedalen.
Kita juga boleh berkunjung ke safari atau taman hidupan liar Moosegarden di Orrviken untuk rusa musim salji atau 'reindeer' dan 'moose'.
Di safari itu, kita pastinya teruja apabila dapat melihat dengan lebih dekat haiwan liar yang hanya boleh ditemui ketika musim dingin dan ia pastinya menjadi satu kenangan yang menarik.
Apabila menyebut tentang musim salji di Sweden, pasti tidak lengkap jika tidak berkunjung ke hotel ais terbesar di Jukkasjarvi, utara Lapland.
Hotel ini menyediakan kemudahan 47 bilik dan ia dibina setiap tahun bermula pada pertengahan November apabila salji tebal turun dan membekukan permukaan Sungai Torne.
Permukaan yang beku inilah yang menjadi bongkah-bongkah besar bagi membina struktur hotel.
Kemudahan yang disediakan dalam hotel ais ini adalah satu bilik deluxe, 16 bilik artistik, 20 bilik ais, lapan bilik salji dan dua bilik berkumpulan.
Harga penginapan antara RM600 hingga RM2,200 semalam, bergantung jenis bilik dan tarikh tempahan namun penulis tidak berkesempatan menginap di situ berikutan tempahan yang penuh.
Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi di Sweden, namun disebabkan kedatangan penulis ke sana bersama petugas media lain adalah membuat liputan kejohanan rali dunia, kami yang dibawa oleh Proton Motorsports ke negara itu hanya sempat bersiar-siar di pusat bandar Stockholm sambil membeli-belah menyusuri Jalan Sveavagen selepas acara sukan tamat.
Ini kerana lokasi rali berlangsung di Karlstard, perlu menaiki penerbangan selama 50 minit dari Stockholm.
Untuk membeli-belah, wajar penulis ingatkan bahawa sebenarnya Sweden bukanlah negara yang sesuai untuk berbuat demikian. Kos sara hidup yang terlalu tinggi menyebabkan barangan dijual agak mahal jika dibandingkan dengan mata wang Malaysia.
Malah, lima daripada ahli rombongan media melopong sekejap apabila dikenakan tambang teksi dari pusat bandar untuk ke Hard Rock Cafe pada jarak hanya lima kilometer dengan bayaran RM700!
Bagaimanapun, Stockholm menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam yang cukup baik meliputi tren serta bas dengan perkhidmatan sehingga ke bahagian pinggir bandar, menjadikan hubungan darat bukan satu masalah.
Mencabar
Pengalaman berada di Sweden selama empat hari banyak mengajar penulis mengakui pepatah 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri'.
Selain itu, iklimnya tidak sesuai buat orang Asia seperti penulis.
Cuaca sejuk yang mencecah paras -15 darjah Celsius sememangnya cukup mencabar minda.
Bagi masyarakat di sana, suasana itu mungkin sudah dianggap biasa, malah penulis dapat melihat dua bayi perempuan comel dibawa ibunya mendaki bukit dalam cuaca sejuk, sedangkan ketika itu ada kalangan ahli media yang sudah tidak tahan berjalan kaki dan terasa 'seperti hendak mati' apabila terpaksa mendaki sejauh 500 meter, semata-mata untuk menyaksikan kejohanan rali.
Apa-apapun, pengalaman singkat di negara empat musim itu sememangnya cukup menarik. tetapi cukuplah jika dikatakan bahawa setakat untuk pergi melancong bolehlah, tapi bukannya untuk menetap di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: