
SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam Mukha Cafe, ternyata ia memberikan kelainan baik daripada segi tatariasnya mahupun menu-menu yang disediakan.
Menyajikan makanan yang berasaskan makanan Arab, ia pastinya memberikan satu cita rasa baru buat masyarakat setempat apatah lagi turut disesuaikan dengan cita rasa orang Malaysia.
Pemilik kafe, Liyana Ferdaus, 27, memilih untuk 'memahat' nama serta menu dari negara Arab dengan alasan keturunan suaminya berasal dari Yemen.
Secara tidak langsung katanya, kesemua menu yang disajikan turut diperoleh daripada ahli keluarga mertuanya.
Bukan itu sahaja, kebanyakan rempah ratus yang digunakan dalam setiap masakan juga walaupun merupakan produk tempatan tetapi ia diadun terlebih dahulu oleh ibu mertuanya sendiri.
Mengambil masa selama tiga bulan sebelum memulakan perniagaannya, jelas ibu kepada seorang cahaya mata ini, segala-galanya dirancang dengan rapi agar dapat memberikan yang terbaik buat para pelanggan.
"Sebelum memulakan perniagaan ini, saya serta suami terlebih dahulu membuat rujukan dan kajian malah kami turut membuat sesi food testing ( mencuba rasa) di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan.
"Dan akhirnya, Alhamdulillah inilah hasilnya dan kami turut mengolah resipi asal kepada resipi sendiri agar ia boleh diterima tekak masyarakat di sini," katanya ketika ditemui di kafe yang terletak di No. 15, Lorong Rahim Kajai 13, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.
Antara menu yang paling popular disajikan di Cafe Mukha ialah nasi gulf, bamia daging dan juga steak sandwich.
Untuk nasi gulf, ia dimasak dengan menggunakan beras basmathi manakala lauknya pula ialah ayam yang dimasak dengan menggunakan rempah beriani.
Nasi ini juga dihidangkan bersama sayur chutney, sos yogurt pudina dan papadom.
Bagi bamia daging pula, ia merupakan hidangan roti arab yang dicicah bersama bamia (seolah-olah kari daging).
Malah menurut Liyana, steak sandwich merupakan sajian yang paling diminati dan popular di Cafe Mukha.
Hidangan ini merupakan hidangan roti sandwich yang menggunakan roti Arab dan diapit bersama potongan daging, bawang, cendawan dan juga keju.
Ia turut dihidangkan bersama hidangan sampingan seperti salad, ubi kayu goreng dan juga sos yogurt pudina.
Selain itu, Cafe Mukha turut menyediakan minuman seperti teh dan kopi Arab.
Kedua-dua minuman ini dikenali dengan shahi (teh) dan gahwa (kopi).
Berbicara lanjut mengenai perniagaan kafenya, ulas Liyana, dia bersama suami, Sayid Abdul Rahman Hussin Al-Junid, 27, beroperasi dengan dibantu lima pekerja.
"Kami mengusahakan kafe ini sepenuh masa. Saya dan suami turut turun padang bersama pekerja-pekerja lain melayan pelanggan yang datang.
"Di sini, kami mengupah tukang masak yang berpengalaman malah kami sendiri yang melatih mereka (tukang masak) untuk memasak menu-menu yang ditawarkan," katanya lagi.
Dibuka setiap hari kecuali Isnin, Cafe Mukha beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 10 malam (Selasa hingga Khamis), 2 petang hingga 12 tengah malam (Jumaat), 12 tengah hari hingga 12 tengah malam (Sabtu) dan 12 tengah hari hingga 10 malam (Ahad).
Boleh memuatkan sehingga 60 orang pada satu-satu masa, Cafe Mukha turut menyediakan pengunaan Internet tanpa wayar secara percuma.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Cafe Mukha, bolehlah layari www.mukha.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: