Friday, March 9, 2012

Pengalaman ilmu tak ternilai

pix_middle
pix_topright

KEBANYAKAN kita selalu percaya cara untuk berjaya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sewaktu di bangku sekolah dan menimba ilmu hingga ke menara gading. Jika seseorang dapat merangkul segulung ijazah, maka cerahlah masa depan.

Ini sudah lumrah apatah lagi ada persepsi jika seseorang itu tiada kelayakan akademik, sangat sukar untuknya berjaya dalam kerjaya, sekali gus hidup mewah.
Malah ibu bapa pula paling risau sekiranya anak-anak tidak dapat atau tidak mahu meneruskan pelajaran.


Namun begitu, jangan cepat berprasangka buruk terhadap individu yang tidak berpeluang belajar hingga ke universiti. Ini kerana, memiliki segulung ijazah tidak membawa makna nasib mereka akan berubah dan mudah mendapat pekerjaan.

Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekali hati sudah nekad untuk berjaya dalam bidang diminati, segala rintangan datang pasti akan diharungi dengan tabah berpaksikan semangat yang tidak luntur.

Itulah dibuktikan Shuhaida Othman, 37, untuk bergelar chef yang pakar dalam pembuatan kek, biskut, roti dan pemanis mulut.

Dikenali juga sebagai chef pastri, Shuhaida kini bertugas di Westwide Bistro, Pusat Konvensyen Shah Alam selepas mendalami pengalaman selama 15 tahun di restoran berputar Sri Angkasa, Menara Kuala Lumpur.

Sebagai seorang wanita yang menggalas tugas sebagai ketua chef pastri, cabarannya banyak. Antaranya bagaimana mahu menolak persepsi terhadap dirinya
di kalangan pekerja lelaki di bawah jagaannya.

Namun, dengan berkat kesabaran dan toleransi, semuanya dapat dikawal dengan baik oleh pemilik senyuman manis ini.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang ini, resipi kek paun oleh ibu tercinta menjadi penyebab dirinya berada di tahap ini.

“Ibu saya suka memasak dan membuat kek. Kek yang paling senang dibuat ketika itu pula ialah kek paun. Setiap kali ibu membuatnya, saya jadi pemerhati dan lama-kelamaan minat itu bercambah.

“Saya cuba perlahan-lahan dengan bimbingan ibu. Tidak sangka, rupanya bakat saya di bidang ini. Selepas itu, abang saya menjual kek yang saya buat di pejabat mereka. Sambutan yang diterima pula amat menggalakkan dan membuatkan saya menjadi lebih gembira.

“Dari situ, saya belajar dan mencuba resipi lain tanpa melanjutkan pengajian ke universiti. Saya belajar sendiri dengan pergi ke perpustakaan, rujuk buku masakan dan ambil kursus jangka pendek selama sehari yang diadakan pusat komuniti,” katanya yang mula serius dalam bidang ini selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Selain itu, dia juga bekerja di kedai kek untuk mengutip pengalaman. Satu persatu teknik dipelajarinya sebelum diberi sepenuh kepercayaan untuk menghasilkan sebiji kek menggunakan air tangannya.

Menurutnya, belajar melalui pengalaman asas terbaik untuk mencapai kejayaan.
Itu prinsip yang dipegang Shuhaida kerana baginya, apabila kita mahukan sesuatu, maka cari dan belajar untuk mendapatkannya walau ia susah sekalipun.

“Saya tidak ke kolej mahupun universiti, saya juga tidak terlalu suka makan kek tetapi sangat meminati seni pembuatannya yang cukup remeh sekali.

“Walaupun ia memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi serta mengambil masa agak panjang, namun hasilnya cukup berbaloi selain kelihatan cantik.

“Seiring dengan kemajuan teknologi, saya turut mempelajari teknik dan resipi baru menerusi laman YouTube dan laman web berkaitan pemanis mulut. Selalunya, saya lakukan pada waktu malam selepas selesai tugasan di tempat kerja dan juga di rumah.

“Penting untuk saya sebagai ketua mengetahui perkembangan dan inovasi baru dalam proses penciptaan pastri supaya tidak ketinggalan dengan hotel, restoran dan kafe lain selaku pesaing,” katanya.

Berdasarkan pengalaman Shuhaida, bidang ini banyak memerlukan pengalaman kerana teori saja tidak mencukupi untuk mahir membuat kek atau manisan.

Bagaimanapun, fenomena itulah yang berlaku di kalangan kebanyakan pelajar lepasan diploma atau ijazah masa kini yang tidak berkemahiran dalam seni pembuatan kek dan hanya berbangga dengan kelulusan yang ada.

Menurutnya, proses membuat kek atau manisan memerlukan kepakaran dan jangan sesekali berputus asa untuk belajar dari bawah, maju selangkah demi selangkah.

“Secara jujur saya katakan, pelajar lepasan universiti khusus dalam bidang masakan, kulinari atau pastri akan bermula dari bawah semula di sesuatu restoran mahupun hotel. Gaji asas mereka juga rendah berbanding orang lain yang jauh lebih berpengalaman.

“Soalan pertama yang akan ditanya penemuduga juga adalah apa dan berapa banyak pengalaman dimiliki untuk memastikan individu itu tahu melakukan tugasnya dengan sempurna,” jelasnya.

Selain itu, dia turut menasihatkan wanita yang mahu membabitkan diri dalam bidang ini ataupun baru �berjinak-jinak membuat kek supaya sebaik-baiknya melengkapkan diri dengan ilmu asas pembuatan makanan ini terlebih dulu.

Jangan bertindak tergesa-gesa, jangan malu untuk bertanya dan minta tunjuk ajar daripada mereka yang lebih pakar.

Mengenai persaingan dalam bidang perniagaan pula, Shuhaida menyarankan agar wanita mempunyai modal secukupnya dan sentiasa melengkapkan diri dengan maklumat terkini membabitkan cita rasa terkini serta memenuhi permintaan orang ramai.

Sekiranya takut untuk terus membuka kedai, mulakan perniagaan secara kecil-kecilan melalui blog, laman sosial mahupun di rumah saja.

“Keuntungan yang diperoleh menerusi jualan kek atau manisan ini amat berbaloi kerana pulangan yang diterima melebihi modal awal. Bagaimanapun, ia perlu disusuli dengan semangat yang kuat dan berterusan,” katanya yang bercita-cita membuka kedai kek pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: