Tuesday, March 6, 2012

Pelabur skim rumpai laut terus 'kempunan'


FERDINAND (kanan) menunjukkan dokumen-dokumen berkaitan tuntutan pelabur yang ditipu di Ipoh semalam.


IPOH - Nasib kira-kira 2,000 mangsa skim cepat kaya pelaburan rumpai laut seperti jatuh ditimpa tangga apabila mereka bukan sahaja gagal mengesan dalang penipuan tetapi juga tidak dibenar memindah milik harta syarikat dan individu yang bertanggungjawab.

Berikutan itu, 50 orang daripada kumpulan mangsa terbabit mendesak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Perak meluluskan permohonan mereka untuk mengkaveat harta milik ejen syarikat skim tersebut di Pusat Perniagaan Greentown di sini semalam.

Jurucakap kumpulan itu, Richard Ferdinand berkata, hanya melalui cara tersebut, mangsa akan mendapat sebahagian wang mereka meskipun jumlahnya amat sedikit berbanding nilai pelaburan keseluruhan yang mencecah RM26 juta.

Menurutnya, permohonan untuk mengkaveat harta berkenaan ditolak pengarah PTG negeri pada 16 Februari lalu dengan alasan pelabur tiada kepentingan dalam hak milik harta berkenaan.

"Hampir empat tahun kami berjuang mendapatkan semula wang pelaburan setelah pengusaha terbabit menghilangkan diri. Sepanjang tempoh itu, hampir 2,000 laporan polis dibuat namun sehingga kini tiada tindakan diambil terhadap mereka.

"Sudahlah kami kena tipu, janganlah pula hasrat kami untuk melelong harta milik mereka yang hanya dianggarkan bernilai RM500,000 itu ditolak," katanya pada sidang akhbar sebelum menghantar permohonan semula untuk mengkaveat harta tersebut di bangunan PTG negeri di sini semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: