Sunday, March 18, 2012

Nadira ‘pantau’ pelanggan di padang golf

MESRA...kerap berkongsi idea dengan pekerja.
MESRA...kerap berkongsi idea dengan pekerja.

DUA puluh lapan tahun lalu, gadis yang menyarung pakaian seragam berwarna putih berkain biru gelap itu sentiasa dikerumuni teman sekelas, terutama ketika ketiadaan guru di bilik darjah.

Bukan kerana teman sedarjah ingin bercerita mengenai rancangan kartun yang ditonton di televisyen pada malam sebelumnya, tetapi menantikan sesi membeli gula-gula dan makanan ringan di ‘gerai kecil’ milik si cilik bernama Nadira Mohd Yusoff.

  • Foto

    BAHAGIA...keluarga bahagia Nadira.

  • Foto

    IKTIRAF...Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd memenangi Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

  • Foto

    BANGGA...syarikat diwarisi daripada bapa kini di tahap membanggakan.

  • Foto

    BANGGA...syarikat diwarisi daripada bapa kini di tahap membanggakan.

  • Foto

    PRODUK...Morrieland mendapat perhatian ramai.

Kini meneruskan legasi Nadi-Ayu Technologies Sdn Bhd (Nadi-Ayu) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Nadira mengakui seawal usia tujuh tahun, dia mencintai dunia perniagaan.

“Di kedai, kawan menerima lima biji gula-gula untuk 10 sen tetapi jika dibeli secara banyak (atau pukal) diskaun boleh dinikmati dalam bentuk pertambahan jumlah gula-gula.


“Di situ, saya memahami jika membeli secara borong atau pukal, lebih banyak kebaikan dan manfaat diterima oleh pembeli. Sejak itu, saya memulakan perniagaan runcit di kelas.


“Dan tak sangka, hal sama terjadi ke atas anak sulung yang kini aktif menjual biskut buatan saya di sekolah,” katanya ketika ditemui di Damansara Perdana.

Menanam cita-cita bergelar polis akibat pengaruh drama bersiri Hong Kong satu ketika dulu, wanita muda yang murah dengan senyuman ini berkata, selain aktif ‘menjaja’, dia turut berkecimpung dalam sukan, terutama golf.

Pernah mewakili daerah Petaling dan negara, termasuk di kejohanan China Ladies Open, anak sulung daripada dua beradik perempuan ini berjaya meraih kedudukan juara pada 1994.

Katanya, bidang sukan membuatkan dirinya lebih bersemangat dan tidak mudah putus asa dalam mengharungi cabaran mahupun pertandingan. Biarpun tidak berjaya mendapat kedudukan lima teratas, yang pasti kekecewaan ditebus dengan usaha berkualiti.

Biarpun zaman persekolahan sudah lama berlalu, minat Nadira terhadap sukan golf masih utuh dan kini, dia kerap menghabiskan masa bersama pelanggan di padang golf berbanding pusat hiburan.

Katanya, padang golf adalah pusat ‘pemantauan’ yang sesuai untuk mengenali
bakal pelanggan.

Sikap ditonjol ketika bermain di padang mencerminkan sifat mereka mengendalikan perniagaan.

Tidak mengenal erti ‘duduk diam’, pada saat teman sekuliah Fakulti Kejuruteraan Elektronik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan rakan sebilik asyik menghabiskan masa cuti hujung minggu dengan berlibur atau mengulang kaji pelajaran, Nadira sibuk mengajar tuisyen pada waktu malam.

Tidak cukup dengan itu, wanita berdikari ini sanggup merentas sempadan memasuki negara jiran, Singapura untuk menjana pendapatan lebih tinggi dengan bekerja sambilan di gedung beli-belah.

Katanya, dia enggan menghabiskan masa tanpa melakukan sesuatu, sebaliknya ia digunakan untuk mencari pengalaman serta kewangan. Yang pasti, Kota Singa menjadi pilihan apabila membayangkan pulangan lumayan.

Berakhir saja pengajian di UTM, Nadira mengambil langkah berani untuk meneruskan pencarian rezekinya di Singapura sebelum ditawarkan pekerjaan di sebuah syarikat elektronik hampir dua tahun.

Mengerah kudrat di negara yang mengamalkan budaya asing bukan sesuatu perkara mudah, apatah lagi, dia satu-satunya pekerja wanita yang juga dari Malaysia dalam kelompok tugasannya.

“Dikelilingi kelompok lelaki asing memberi kelebihan kepada mereka untuk ‘membuli’ saya. Erti kata, buli itu bukan bermaksud sentuhan fizikal, sebaliknya saya diminta bekerja melebihi waktu bertugas, malah kadangkala tidak berkesempatan pulang ke rumah 24 jam.

“Namun pengalaman di sana membuatkan saya bertambah kuat, berdisiplin dan enggan mengaku kalah dalam menghadapi cabaran. Pengalaman itu juga saya gunakan apabila mengambil alih Nadi-Ayu atas permintaan ayah,” katanya.

Mula mentadbir syarikat pada 2002, wanita ini mengambil tindakan drastik memperkenalkan komputer riba jenama sendiri, Natsys. Bermula dengan enam kakitangan membabitkan ahli keluarga, komponen Natsys dipasang sendiri
dan dijual secara kecil-kecilan.

Dalam tempoh setahun, jenama Natsys mula dikenali ramai, pengeluaran pula mencecah 500 buah sebulan dengan pusat servis di seluruh Malaysia diuruskan bersama 30 kakitangan.

Menjelang 2007, Nadi-Ayu mula membekalkan komputer kepada Kementerian Pengajian Tinggi (Mohe) dan dianggap kejayaan besar bagi Nadira. Menyediakan komputer berasaskan Bumiputera, Natsys turut dibekalkan dengan aplikasi yang membantu pengguna ke tahap maksimum.

Pertemuan dengan seorang pelanggan membuka dimensi baru bagi Nadira apabila mencadangkan Nadi-Ayu menghasilkan aplikasi pengajaran Bahasa Inggeris untuk pelajar, terutama di tahap awal.

Pucuk di cita, ulam mendatang, Nadi-Ayu kemudian ditawarkan geran kewangan daripada Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC).

Nadira memulakan misi membangunkan satu aplikasi pendidikan Bahasa Inggeris secara on-line berfungsi meningkatkan skil membaca dan pengetahuan umum bagi kanak-kanak, Morrieland sebelum dilancarkan pada 26 Oktober 2011.

Menakjubkan apabila aplikasi yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad itu menerima sambutan menggalakkan, terutama di kalangan kanak-kanak, ibu bapa dan guru.

Terbaru, Nadi-Ayu menerima Anugerah Jenama Komputer Terbaik Malaysia, Pilihan Editor HWM 2011 dan Anugerah NEF-Awani, Syarikat Paling Berinovasi 2011.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: