SINGGAH SEBENTAR...pelancong akan turut dibawa menikmati keunikan Empangan Hoover.
MERENTASI ribuan batu ke negara ‘Uncle Sam’ bagai memberikan satu keindahan yang melangkaui imaginasi. Hutan batu yang maju dengan teknologi hebat bukan lagi paksi utama, sebaliknya mengembara di tanah kontang, Grand Canyon menyingkap perspektif berbeza mengenai Amerika Syarikat.
Grand Canyon tidak lagi perlu diperkenalkan kerana selepas disenaraikan sebagai antara tujuh keajaiban dunia, gurun kontang yang membentangkan lautan misteri untuk diteroka menjadikannya tarikan utama pengunjung ke lokasi yang sarat sejuta keajaiban.
Memegang sejarah lebih jutaan tahun lampau, gurun batu dan kering ini punya seribu keunikan dan keistimewaan dengan jelas.
Tidak perlu berfikir atau cuba meneliti dengan mata hati, sebaliknya bentuk fizikal dan kejadian alam yang membina kubu batu-batan tertua di dunia ini memang satu destinasi lawatan yang terbaik jika berpeluang menjejakkan kaki di bumi Amerika Syarikat.
Meskipun tidak menawarkan limpahan lampu dengan bunyi bising seperti kota New York atau kemeriahan populariti dengan pesona bintang terkenal di Hollywood, Los Angeles, Grand Canyon masih menjanjikan sesuatu yang berbeza yang hanya boleh dilihat di sini.
Berkeluasan melangkaui banjaran Titiwangsa di Semenanjung Malaysia dengan panjangnya sekitar 450 kilometer dan lebarnya hampir 30 kilometer, curam terkenal ini terbentuk berjuta-juta tahun dulu.
Kedalaman curamnya melebihi 1.6 kilometer, sekali gus mencatat Grand Canyon sebagai antara ngarai paling dalam di dunia. Tanpa pagar atau penghadang di setiap tebing curam itu, pengunjung yang dahagakan pemandangan indah bagai sebuah lukisan berpeluang pergi hingga ke tepiannya jika tidak gayat.
Terletak di negeri Arizona yang hampir keseluruhan bentuk muka buminya adalah gurun tandus, Grand Canyon mempunyai geografi indah apabila ia diukir oleh Sungai Colorado.
Sejarahnya, Grand Canyon adalah kawasan penempatan yang dihuni oleh orang asli Amerika yang membina kediaman mereka di dalam tembok ngarai serta guanya.
Penglihatan pertama dicatat oleh seorang Eropah adalah pada 1540 oleh García López de Cárdenas dari Sepanyol. Ia umumnya tidak diketahui sehingga selepas Perang Saudara Amerika Syarikat.
Pada 1869, Mejar John Wesley Powell, bekas perajurit Perang Saudara yang hauskan ilmu sains dan pengembaraan, membuat perjalanan perintis merentasi Grand Canyon melalui Sungai Colorado. Beliau melakukannya bersama sembilan lelaki di dalam empat bot papan.
Sejauh yang diketahui, kumpulan ini yang pertama pernah membuat perjalanan sebegini. Powell merujuk kepada batuan enap sebagai ‘halaman sebuah buku cerita yang agung’.
Malah, Presiden Theodore Roosevelt ialah penyokong utama kawasan Grand Canyon dan banyak kali mengunjunginya untuk memburu serta menikmati pemandangannya.
Melihat daripada perspektif geologi, lokasi gurun luas ini sangat bererti kerana jujukan batuan purba tebal yang dikekalkan dengan indah dan terdedah pada tembok ngarai. Lapisan batuannya mencatat banyak sejarah geologi benua Amerika Utara yang awal. Grand Canyon juga contoh hakisan semula jadi paling hebat di dunia.
Terlanjur mengikuti tugasan tayangan perdana sebuah filem yang berlangsung di Carefree, Arizona baru-baru ini, penulis lekas mencuri peluang bagi meninjau keindahan bentuk muka buminya yang tidak tergambar dengan kata-kata.
Meskipun boleh pergi dengan menaiki kenderaan sendiri, pelancong dan mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke sini dinasihatkan mengambil pelbagai pakej ditawarkan kerana destinasi ke Grand Canyon adalah popular di semua bandar berhampiran.
Penulis terlebih dulu membuat sedikit kajian bagaimana untuk tiba di sana dan terus membuat tempatan pakej melalui laman sesawang pelancongan Amerika Syarikat.
Pengalaman melawat Grand Canyon paling mudah jika melalui dua bandar utama, Pheonix di Arizona atau Las Vegas, Nevada yang menyediakan banyak pusat pelancongan serta agensi menawarkan pakej dengan harga bermula AS$100 (RM310) hingga AS$500 (RM1,560).
Bukan saja mudah dan diberikan pelbagai pilihan untuk pelancong meninjau keindahannya, malah harga ditawarkan jauh lebih murah berbanding membeli pakej di kaunter.
Memandangkan penulis hanya ingin merasai pengalaman melawat dan meninjau keseluruhan pemandangannya, pakej pada harga AS$110 (RM360) adalah pilihan terbaik. Pakej itu menawarkan peluang ke Hoover Dam (Empangan Hoover), selain diberi masa merasai pengalaman melihat keindahan panorama Grand Canyon dari Skywalk.
Seawal jam 6.30 pagi, penulis menanti bas di depan hotel dan seterusnya dibawa ke terminal bagi mendapatkan tiket dan pelbagai maklumat. Jam 8 pagi, bas mula bergerak dan tiba di Hoover Dam jam 9.30 pagi.
Masa diberikan selama 30 minit cukup untuk penulis dan pengunjung lain melihat keluasan empangan yang menjadi sumber air utama kepada beberapa bandar, termasuk Las Vegas.
Perjalanan diteruskan merentasi gurun tandus dan beberapa pekan kecil yang dihuni penduduk tempatan. Bas hanya berhenti sekali bagi memberi ruang kepada pengunjung berehat dan mendapatkan cenderahati.
Tepat jam 11 pagi, pengunjung tiba di terminal utama di Grand Canyon
(Pintu Selatan) dan penumpang dipindahkan ke sebuah bas lain kerana laluan ke pintu masuk utamanya perlu merentasi jalan tidak berturap sejauh 10 kilometer.
Jam 11.30 pagi, penulis akhirnya melihat keindahan Grand Canyon yang sememangnya sukar diterjemah dengan kata-kata.
Yang boleh disimpulkan, batu-batuan dan reka bentuk muka buminya yang berusia berjuta tahun itu tidak puas mata memandang. Lama juga penulis memerhati setiap inci batuan itu kerana ia mengundang rasa kagum dan terpesona dengan keunikan ciptaan Allah.
Makan tengah hari turut disediakan dalam pakej. Enggan membiarkan panorama indah Grand Canyon pergi begitu saja, penulis memilih untuk menikmati kopi panas dalam keadaan sejuk, ayam bakar berempah dengan salad Red Indian di atas sebuah pelantar berdepan ngarai.
Penulis tidak melepaskan peluang mengunjungi Skywalk yang membenarkan pengunjung berdiri di atas pelantar kaca setinggi lebih 305 meter untuk melihat kedalaman curam Grand Canyon. Lebih tinggi daripada bangunan berkembar Petronas di Kuala Lumpur dan semua menara mencecah langit di dunia, penulis sedikit gayat ketika menjengah kepala keluar dari pemegang Skywalk.
Pengunjung turut dibawa ke sebuah kawasan perkampungan tradisional Grand Canyon yang direka seperti sebuah pekan klasik dilengkapi bar lama, kedai gunting rambut, kandang kuda yang menjadi pengangkutan utamanya serta beberapa tarikan pelancong lain.
Rasanya tidak puas masa diberi. Empat jam penulis diberi peluang menikmati keindahan Grand Canyon sebelum perlu menyambung semula perjalanan ke Las Vagas pada jam 4 petang.
Grand Canyon adalah pengalaman berbaloi dengan penat dan kebimbangan mengembara seorang diri pada awalnya. Mengimbas suasana berada di puncak curam ketika meneliti semula setiap keping gambar yang dirakam, terbit kerinduan untuk kembali menjejakkan kaki di bumi eksotik itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: