Tuesday, March 27, 2012

Marketplace sirikeempat di Bandung

GEMBIRA. Riak wajah para peserta dan penganjur program Marketplace of Creative Arts siri kedua yang berlangsung di Singapura pada bulan Februari 2011 jelas menggambarkan keriangan serta kepuasan sebaik acara berakhir dengan jayanya. Turut kelihatan Fazil Irwan (duduk, tiga dari kiri).


“SENI merupakan bahasa universal. Seni juga mempunyai kuasa tersendiri. Ia boleh menjadi alat bagi sesuatu komunikasi. Malah, mesej paling efektif boleh kita peroleh menerusi seni.”

Demikian ungkapan penuh bermakna yang diucapkan oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Rangkaian Pemimpin Muda, Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF), Fazil Irwan Mohd. Som apabila berbicara tentang perspektif seni dari kaca mata sendiri.

Justeru, atas landasan itulah tercetusnya ilham untuk menganjurkan siri program Marketplace of Creative Arts. Ia merupakan platform yang disediakan untuk para artis mempamerkan bakat sekali gus membina rangkaian baharu sebagai jambatan untuk melibatkan diri dalam peluang perniagaan di bidang tersebut.

Di bawah WIEF Young Leaders Network (WYN), siri Marketplace dicipta sebagai platform untuk para artis muda mempamerkan bakat mereka, meneroka peluang perniagaan dalam seni dan membina rangkaian dalam industri kreatif.

Mencontohi kerancakan konsep bazar yang sudah dikenali sejak berkurun lamanya, Marketplace boleh dianggap sebagai rumah kepada bakat-bakat kreatif dari seluruh dunia. Ia meliputi pelbagai lapangan seperti muzik, seni visual, puisi, komedi, sastera dan pembuat filem.

“Sesiapa sahaja boleh terlibat dalam bidang seni, sama ada seni visual, seni persembahan mahupun kebolehan bermain instrumen muzik. Jika mahu disenaraikan, paksinya tetap satu - dipamer sebagai persembahan untuk khalayak,” ujar Fazil ketika ditemui Kosmo!.

Sambutan menggalakkan

Acara sulung Marketplace of Creative Arts telah diadakan pada 18 dan 19 Mei 2010 di Kuala Lumpur dengan kerjasama Balai Seni Lukis Negara (kini dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara).

Meskipun ia merupakan penganjuran pertama, program tersebut tetap mendapat sambutan yang sungguh menggalakkan.

Penyertaan artis kreatif dari luar negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Hong Kong, Singapura dan beberapa negara lain menjadikan acara berkenaan begitu istimewa.

Rentetan daripada kejayaan acara sulung itu, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk meneruskan siri kedua program itu di Singapura pada 19 Februari 2011.

Ini diikuti penganjuran siri ketiga selang empat bulan kemudian pada 7 dan 8 Jun 2011 yang memilih Astana, Kazakhstan sebagai destinasi acara penuh warna-warni itu.

“Kami percaya bahawa golongan muda mampu menghasilkan muzik yang hebat dan kesenian yang mengagumkan. Lantaran itu, kami juga percaya mereka layak mendapat platform terbaik untuk mempersembahkan hasil karya masing-masing.

“Melalui Marketplace of Creative Arts, kami berharap para artis yang terlibat mampu melebarkan sayap mereka untuk mengembangkan lagi bakat dan berkongsi pendapat dengan rakan seperjuangan dari pelbagai negara,” terang anak muda itu penuh semangat.

Terbaru, Yayasan WIEF dengan kerjasama Forum Kreatif Kota Bandung (BCCF) bakal menganjurkan siri keempat Marketplace yang akan berlangsung di CiWalk (Cihampelas), Bandung, Indonesia pada 14 dan 15 April 2012.

Festival selama dua hari itu akan disertai 40 orang artis kreatif dari 11 negara seperti Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Dengan tema Design Nation: Carving Creative Spaces, penganjuran Marketplace akan menampilkan pelbagai aktiviti seni seperti pameran, persembahan, tayangan filem, forum perniagaan kreatif, persembahan tarian Parkour, seni grafiti dan tarian.

Penyertaan negara

Malaysia akan diwakili oleh 14 artis kreatif yang mahir dalam bidang tarian, pembuatan filem, penyanyi dan penulis lirik serta pemain instrumen muzik.

Salah seorang daripadanya ialah pensyarah tarian di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (Aswara), Suhaili Micheline Ahmad Kamil, 27, yang juga merupakan finalis rancangan realiti 8TV, So You Think You Can Dance musim pertama pada tahun 2007.

Menurut Suhaili, secara peribadi dia sangat teruja dan gembira kerana berpeluang menyertai siri Marketplace di Bandung, Indonesia. Selain boleh menonjolkan bakat yang dimiliki dalam bidang tarian, dia juga berharap dapat membina hubungan yang erat dengan para artis kreatif dari pelbagai negara yang turut menyertai acara berkenaan.

“Sebagai persediaan, saya kini dalam proses menggabungkan material yang sesuai untuk menghasilkan satu gerak tari yang berlainan dan mampu memukau penonton di sana.

“Meskipun cenderung ke arah tarian kontemporari, saya akan tetap mempertahankan keaslian tarian tradisi yang merupakan warisan berharga bangsa Melayu,” tutur Suhaili yang mula menari seawal usia empat tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai Marketplace of Creative Arts, layari laman web www.artpage.wief.org.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: