Tuesday, March 27, 2012

Karya fotografi dalam air



BIDIKAN demi bidikan dibuat tanpa henti dengan lensa kameranya. Namun, belum tentu semua rakaman yang dilakukan di dalam kolam renang itu menghasilkan imej yang dapat memenuhi cita rasa jurufoto itu. Keadaan air kolam yang agak dingin menyukarkan lagi penghasilan karya studio di dalam air dilakukan dengan sempurna.

Dalam 150 syot yang berjaya dilakukan, kemungkinan besar hanya lima keping rakaman imej boleh digunakan oleh jurugambar. Namun, segala susah payah untuk membuat fotografi di dalam air itu tidak pernah membuatkan Khanafi Mohd. Moksin mengibarkan bendera putih untuk menghasilkan karya terbaik.

Itu merupakan antara bait-bait pengalaman yang perlu dilalui lelaki berusia 33 tahun dari Bangi, Selangor itu demi mengejar impiannya dalam bidang fotografi di dalam air sejak tahun 2010.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Napie berkata, konsep studionya itu melibatkan subjek manusia ataupun produk yang menjalani rakaman di dalam air.

“Semasa awal pembabitan dalam bidang ini, saya ingin mencari kelainan,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Napie memberitahu, terdapat beberapa lokasi sesuai untuk dijadikan tempat sesi fotografi dengan konsep sebegitu.

Ia termasuk kolam renang, tangki air, akuarium, tasik dan lautan.


MODEL perlu melakukan variasi lagak gaya semasa di dalam air.


“Bagaimanapun, saya lebih gemar menjadikan kolam renang tertutup sebagai studio kerana memudahkan kawalan sesi fotografi.

“Kolam renang yang mempunyai kedalaman 1.8 meter sudah memadai untuk melakukan rakaman. Jika terlalu dalam, ia akan menyukarkan sesi fotografi,” katanya yang tidak pernah mengikuti sebarang pendidikan formal dalam kemahiran tersebut.

Menurutnya, dia mula berjinak-jinak dalam bidang fotografi pada tahun 2007 kerana minat mendalam terhadap seni dan fotografi. ‘Guru’ Napie hanyalah melalui buku, Internet dan rakan-rakan selain membuat latihan sendiri berulang kali.

Berbekalkan pengalaman yang ditimba secara sambilan, Napie mengambil langkah berani menjadikan bidang fotografi sebagai kerjaya sepenuh masa pada tahun 2010.

“Jarang-jarang sekali orang akan menceburi bidang studio fotografi di dalam air kerana ia melibatkan kos tinggi.

“Boleh dikatakan studio di dalam air agak baharu di negara ini. Sungguhpun mempunyai modal, lebih ramai penggemar fotografi melibatkan diri dalam fotografi di lautan,” ujarnya.

Tambahnya, antara peralatan yang perlu dimiliki untuk kerjaya itu adalah seperti kamera refleks lensa tunggal (DSLR), kelongsong kamera kalis air, lampu strob, peralatan skuba, pencahayaan sokongan dan beberapa lagi aksesori penggambaran tambahan.

Selain daripada peralatan tersebut, Napie memberitahu dia juga perlu menyewa kolam renang dan mempunyai tirai latar.

Katanya, dia menggunakan lensa sudut luas dan makro kerana perlu merakam imej pada jarak dekat dengan subjek.

Cabaran

Napie menjelaskan, sebagai jurugambar, dia perlu mengimbangi badan semasa berada di dalam air.


SESI fotografi di bawah air memerlukan Khanafi merakam imej berada pada jarak dekat dengan subjek.


“Ia amat penting bagi memastikan bidikan yang dilakukan menghasilkan karya mengikut kemahuan jurugambar atau pelanggan-pelanggan.

“Badan yang tidak diimbangi dengan baik kemungkinan besar akan menghasilkan imej kabur dan kurang jelas,” katanya.

Dia memberitahu, terdapat habuk-habuk kecil yang kelihatan terapung-terapung terutama ketika terdapat pergerakan di dalam kolam renang.

Katanya, jurugambar dan model perlu menunggu seketika di dalam air tanpa melakukan sebarang pergerakan untuk ia turun semula ke dasar kolam sebelum memulakan sesi fotografi.

Pencahayaan turut memainkan peranan penting dalam memastikan rakaman yang baik dan sempurna.

“Aspek pencahayaan persekitaran perlu diambil kira terutamanya semasa melakukan sesi fotografi di kolam renang terbuka.

“Langit tidak selalu cerah. Kadangkala cuaca dalam keadaan redup dan ada masa pula matahari memancar dengan terik sekali,” ujarnya tersenyum.

Napie menambah, apabila berada di dalam air, kadar penglihatan model-model yang beraksi untuknya juga agak terbatas mememandangkan mereka tidak memakai gogal.

Katanya, penerangan dan taklimat akan diberikan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi fotografi.


KHANAFI sentiasa memastikan peralatan rakaman diselenggara dengan baik.


“Ia bertujuan untuk memastikan model mengetahui mengenai lagak gaya ataupun bidikan yang ingin dirakam sebelum masuk ke dalam kolam renang,” ujarnya.

Aspek keselamatan

Selain daripada model, tugas penyelia bakat juga amat penting demi memastikan keselamatan model.

“Apabila melakukan sesi fotografi pada kedalaman 1.8 meter ke atas, penyelia bakat akan memastikan keselamatan model yang berada di dalam air selain membantu jurugambar memperoleh hasil karya terbaik,” katanya.

Penyelia bakat, Kamal Thrisno, 40, memberitahu, model-model akan diberi pendedahan mengenai aspek keselamatan, asas selaman dan bahasa isyarat.

“Kita akan mengadakan kelas selaman seminggu sebelum sesi fotografi dilakukan untuk membiasakan mereka di dalam air.

“Ia perlu dilakukan kerana tidak semua model mempunyai pengalaman melakukan sesi fotografi di dalam air. Dalam ruang tersebut, ketenangan adalah penting,” jelasnya.

Kamal yang mempunyai pengalaman selama tujuh tahun dalam bidang selaman menjelaskan, setiap model mempunyai daya ketahanan berbeza untuk berada di dalam air.

Justeru itu, menurutnya, kelas selaman dilakukan bagi mendapat gambaran sebenar berapa lama para model mampu menahan nafas dan membiasakan diri dengan suhu dalam air.

“Semasa sesi fotografi berlangsung, saya mengetahui masa yang sesuai untuk memberikan oksigen kepada model-model ini. Pada kebiasaannya, saya akan berada berhampiran dengan model, ia adalah langkah keselamatan yang perlu diambil,” katanya.


ZAHNITA (kiri) berehat sebentar di pinggir kolam renang selepas sesi penggambaran bersama Khanafi.


Kamal memberitahu, sekiranya model-model perlu turun naik ke permukaan air, mereka akan cepat letih sekali gus menyukarkan sesi fotografi.

Jika cara itu dipraktikkan, ia bukan sahaja akan melambatkan sesi fotografi malah boleh menyebabkan mereka mengalami masalah kekejangan otot dan keletihan.

Pengalaman

Sementara itu, model terkenal tanah air, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 27, berkata, dia merasa agak gementar semasa pertama kali mencuba sesi penggambaran di dalam air.

“Bagaimanapun, ia sesuatu yang menarik dan saya ingin merasai pengalaman dan cabaran baharu dalam bidang peragaan.

“Perbezaan ketara apabila melakukan sesi fotografi di dalam air adalah seseorang model perlu mengawal pernafasan,” katanya yang sempat menambah bahawa model tersebut juga perlu bertenang dan menunjukkan ekspresi dan mood seperti yang dikehendaki jurugambar.

Zahnita yang boleh menahan nafas selama 30 saat menambah, pergerakan agak terbatas apabila berada di dalam air dan memerlukan tumpuan tinggi semasa melakukan lagak gaya.

Wanita jelita itu memberitahu, dia perlu memastikan diri sentiasa berada dalam keadaan tenang agar jurugambar dapat merakam karya terbaik.

Model sambilan, Noor Amylia Mustafa, 26, pula memberitahu, dia perlu memikirkan beberapa lagak gaya menarik apabila berada di dalam air.

“Saya hanya boleh menahan nafas selama 20 saat. Dalam tempoh yang singkat itu, saya perlu melakukan variasi lagak gaya menarik untuk rakaman jurugambar.

“Semasa sesi fotografi, saya akan menganggap bahawa jurugambar tiada di dalam air maka saya bebas melakukan seberapa banyak lagak gaya yang mampu,” katanya.

Dia menambah, sukar juga untuk mengekalkan sesuatu lagak gaya di dalam air berbanding berada di darat.


KELONGSONG kamera kalis air perlu digunakan dalam sesi fotografi bawah air.


Katanya, dia perlu memastikan rambut, mimik muka dan pakaian sentiasa dalam keadaan tertib apabila berada di dalam air.

Dalam pada itu, Napie berharap lebih ramai orang akan mencuba sesuatu baharu dengan merasai pengalaman studio di dalam air.

“Saya mendapati terdapat pelanggan-pelanggan yang ingin mencuba tetapi perasaan takut dan tidak tahu berenang membantutkan niat mereka.

“Mereka tidak perlu bimbang kerana sesi fotografi akan dilakukan berdekatan dengan dinding kolam renang bagi memudahkan menggapai ke permukaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: