
DIANUGERAHKAN panorama dan bentuk muka bumi yang mengagumkan, kawasan tanah gersang yang terhampar kira-kira 30 kilometer di barat daya Baitulmuqaddis merupakan lokasi terbaik bagi sesiapa yang mahu melihat keajaiban landskap gurun dan pergunungan.
Selain mengagungkan kebesaran Yang Maha Mencipta, Gurun Juda juga menjadi medan untuk mengenang sejarah silam yang merangkumi asal-usul agama Kristian dan kedatangan Islam.
Hari ini, selain golongan rahib yang menghuni banyak biara di kawasan tersebut, ia turut menjadi tumpuan ribuan pengembara lasak dari dari seluruh dunia.
Keunikannya turut diserlahkan dengan kehadiran cenuram-cenuram yang memukau dan batuan yang memanjang dan terbentang luas sehingga membentuk fokus di kaki langit.
Daripada kisah-kisah yang diceritakan di dalam kitab Injil, gurun itu pernah menjadi tempat tinggal ribuan rahib yang mahu mencari pengalaman kerohanian sekitar kurun keempat dan kelima Sebelum Masihi (SM).
Terhindar daripada godaan duniawi, mereka menjadikan celah-celah gua yang terdapat sekitarnya untuk mengasingkan diri sambil mencari kesempurnaan diri.
“Keinginan untuk menjejaki asal-usul dan perjalanan agama Kristian menyebabkan Gurun Juda sentiasa menjadi tumpuan bukan sahaja penganut-penganutnya malah pelancong asing,” kata pengasas portal pelancongan, Elisa Moed yang menyalurkan maklumat mengenai perjalanan agama Kristian ke kawasan suci itu.
Katanya, lokasi itu dianggap sangat penting kerana mencatatkan banyak kisah sejarah perkembangan agama tersebut satu ketika dahulu.
“Tidak hairanlah, ia dianggap lokasi penting oleh penganutnya dan peluang mengunjungi gurun ini merupakan pelengkap kepada kehidupan mereka,” ujarnya.
Sumber air semula jadi di kawasan tandus itu didapatkan daripada oasis atau wadi. Wadi Qelt yang terletak kira-kira 20 minit menaiki kenderaan dari Baitulmaqdis menghala ke Laut Mati merupakan satu-satunya kawasan hijau di Gurun Juda.
Segarkan tubuh
Bagi pengunjung yang datang dari sekitar Asia Barat pula, ia boleh diakses melalui pintu masuk di Israel dan Palestin. Pengembara yang ingin menyegarkan tubuh pasti tidak melepaskan peluang bermandi-manda di dalam airnya yang jernih.
Sepanjang berada di situ, pengunjung berpeluang melawat biara St. George yang pernah dimusnahkan oleh pemerintah Parsi pada tahun 614 sebelum ia dibina semula pada lewat abad ke-19. Pada hari ini, ia menjadi tempat tinggal komuniti kecil rahib ortodoks Greek.
Kira-kira dua tahun lalu, laluan ke tapaknya telah diperbesarkan bagi membolehkan lebih ramai pengunjung melawatinya selain memberi keselesaan akses kepada mereka. Sebahagian besar pengunjung yang berminat itu berasal dari Greece dan Romania.
Biarpun pelbagai penambahbaikan dilakukan sehingga kini, laluan ke Wadi Qelt masih dikekalkan seperti asal.

Bas hanya dibenarkan menghantar penumpang sehingga ke pintu masuk. Seterusnya, pengunjung perlu berjalan kaki melalui laluan berliku-liku selama 15 minit sebelum tiba ke biara. Situasi itu pastinya memberi masalah besar kepada warga emas dan golongan kelainan upaya.
Bagaimanapun, golongan itu masih mempunyai alternatif lain. Terdapat perkhidmatan menunggang keldai yang ditawarkan oleh puak nomad, Arab Badawi dengan bayaran sekitar AS$20 hingga AS$30 (RM60 hingga RM90).
Salah satu destinasi popular di situ ialah Mount of Temptation yang jauhnya kira-kira 15 minit pemanduan dari Wadi Qelt.
Terletak berhampiran Tebing Barat, bandar Ariha, lokasi yang menempatkan biara lereng gunung itu sungguh unik. Petempatan kecil dibina pada keluk-keluk cenuram setinggi 360 meter dari paras laut. Sehingga awal 90-an, pengunjung ke biara itu perlu melalui pelbagai kesukaran termasuk mendaki di laluan sukar. Banyak gua boleh ditemui di situ dan ia lazim dijadikan tempat pertapaan mahupun berteduh.
Kereta kabel
Hari ini, terdapat perkhidmatan kereta kabel disediakan untuk menghubungkannya dengan Ariha. Hanya lima minit perjalanan diambil untuk merentasi kawasan pertanian yang menghijau di bawahnya.
Biara itu mempunyai satu binaan kekal, iaitu kediaman seorang paderi bernama Gerassimos. Paderi ortodoks Greek berusia 81 tahun itu telah menetap di situ hampir 30 tahun lalu.
“Sepanjang tahun, dia dikunjungi rahib-rahib lain untuk menjadi pembantunya dan menetap bersamanya untuk tempoh singkat,” kata seorang paderi, Galactio, yang datang dari Greece bagi tujuan yang sama.
Kehadiran bekalan elektrik dan peralatan moden seperti televisyen dan dapur sedikit sebanyak mengubah kehidupan rahib-rahib di Gurun Juda. Bagaimanapun, komitmen utama mereka masih lagi bersembahyang dan menjalani kehidupan ringkas.
Rutin harian Gerassimos terarah kepada keseimbangan antara kehidupan dalam pengasingan dan keterbukaan terhadap dunia luar.
Dia bangun sekitar 6 pagi dan menghadiri perhimpunan di biara gereja sebelum menyambut kehadiran pengunjung yang datang setiap hari. Biara ditutup sekitar pukul 5 petang. Hanya selepas itu, Gerassimos akan kembali ke gua berhampiran untuk bertapa.

Kini, ruang itu menjadi ikon keagamaan dan sebahagian lokasi lawatan pengunjung ke biara. Pada kurun ke-15, ia menjadi lokasi untuk golongan rahib mencari titik ketenangan dalam diri bagi memerangi hawa nafsu.
Ahli arkeologi dari Universiti Hebrew yang menjalankan kajian di kawasan itu sejak tahun 80-an, Benny Arubas berkata, kebanyakan rahib bertapa di puluhan gua yang terdapat di sekitar Wadi Qelt.
“Kami telah mendokumentasikan kewujudan bilik-bilik kecil yang pernah didiami golongan yang bertapa. Itu yang anda sedang saksikan sekarang, semuanya terdapat di sekitar kawasan cenuram ini,” katanya.
Laluan pintas
Pada kurun ke-15, terdapat ribuan rahib yang menetap sekitar kawasan gurun itu sehingga ia digelar ‘Gurun Baitulmuqaddis’. Wadi Qelt secara tidak langsung merupakan laluan pintas golongan yang bertapa untuk ke kawasan suci itu.
Bilangan golongan yang mengabdikan diri kepada kepercayaan itu mula berkurangan selepas kemunculan kerajaan Islam pada pertengahan abad ke-7 dan peperangan yang berlaku pada abad berikutnya. Sepanjang tempoh pertembungan kepercayaan tersebut, berpuluh-puluh biara telah dimusnahkan atau terbiar dan ada di antara rahib itu turut terkorban.
Bagaimanapun, tradisi bertapa masih kekal pada hari ini. Pengunjung juga berpeluang melihat jasad seorang rahib terkenal Romania yang dipamerkan di dalam sebuah bilik kaca di St. George.
“Daripada semasa ke semasa, kami sentiasa melihat atau mendengar mengenai kehadiran rahib-rahib yang melakukan pertapaan di sini. Mereka bertapa dan menjalani kehidupan dalam pengasingan,” kata Yoram Tsafrir, seorang pesara dalam bidang arkeologi di Universiti Hebrew yang pernah menjalankan kajian menyeluruh di gurun itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: