|
PERJALANAN dengan kenderaan pacuan empat roda di atas Lebuh Raya Utara-Selatan dari Kuala Lumpur ke Hutan Belum, Gerik, Perak, ternyata belum mencabar kemampuan jentera off road itu.
Selepas lima jam di atas lebuh raya, sekumpulan peserta media yang mengikuti aktiviti Eco Trail anjuran syarikat pengeluar kenderaan terkemuka, DRB-HICOM akhirnya selamat tiba di kawssan aktiviti tersebut iaitu sebelum merentasi jambatan di Tasik Temenggor untuk ke Pulau Banding.
Sementara matahari belum terbenam pada petang 5 Januari lalu itu, peserta rombongan mengambil peluang menghayati keindahan alam dan merasai pengalaman menguji pacuan empat roda di sekitar laluan lazim di belantara tersebut.
Dalam cuaca redup, ada peserta mula berpeluh memikirkan tentang cabaran yang bakal dilalui di atas laluan berliku tanah merah.
Tepat 5.45 petang, semua peserta rombongan dibahagikan ke dalam 20 buah kenderaan pacuan empat roda dan SUV edaran DRB-HICOM seperti Honda, Audi, Mitsubishi, Mahindra, Suzuki dan Isuzu memulakan cabaran lasak itu.
Perasaan teruja pada awalnya, tiba-tiba berubah apabila baru 15 minit cabaran dimulakan.Ada juga yang kecut perut apabila melihat beberapa buah kenderaan sudah ‘tersadai’ di tepi bukit.
Dengan perasaan itu, penulis bersama jurugambar Utusan, Mohd. Noor Amin yang menaiki Honda CRV terasa tidak yakin mengemudi kenderaan itu Lebih-lebih lagi prestasi jentera yang agak ‘semput’ ketika cuba melalui bukit kedua dalam laluan hutan tersebut.
Tidak mengalah
Hakikatnya, ia bergantung pada teknik jentera itu dikendalikan. Tidak mahu mengalah di situ, kami terus ‘mendesak’ kenderaan itu untuk sampai ke bukit yang ketiga.
Kami sempat berehat seketika di situ untuk memikirkan cabaran keempat iaitu bukit terakhir dan boleh dikatakan sebagai bukit paling tinggi untuk didaki.

Bukit keempat sememangnya memberi cabaran hebat kerana tiga kali kenderaan kami mengundur di laluan curam berkenaan. Oleh sebab kehilangan momentum, akhirnya kami terpaksa mengalah untuk terus menggunakan kenderaan tersebut sampai ke puncak.
Salah seorang marsyal konvoi yang memantau para peserta tidak henti-henti memberi arahan dan panduan kepada kami untuk melepasi bukit itu.
“Tekan pedal minyak sampai habis. Tekan! Tekan! Tekan!,” tempiknya sambil diiringi sorakan sokongan daripada para peserta lain.
“Tidak apa, letak kereta anda di tepi dan tunggu kenderaan belakang sampai untuk tumpang ke puncak,” ujarnya selepas kami gagal beberapa kali.
Walaupun kecewa, kami dan peserta lain tetap terasa kehangatan cabaran itu walaupun suhu di Hutan Belum itu dingin sekali. Kami menemui beberapa peserta lain yang lebih dulu berada di kawasan rehat bukit keempat.
Mereka sebenarnya sudah lama ‘tewas’ dalam mengemudi kenderaan, lalu menumpang kenderaan yang dipandu marsyal ke puncak bukit.
Seorang rakan media memberitahu, hanya Honda CRV kami yang berjaya sampai ke bukit keempat. Beberapa buah Honda CRV lain lebih awal ditinggalkan kerana tidak berjaya melepasi bukit ketiga.
Setelah bersantai seketika sambil menikmati pisang goreng panas, semua pemandu diarahkan untuk memulakan perjalanan menuruni bukit pula.

Tidak sesukar perjalanan mendaki bukit, laluan menurun lebih cepat dan mudah. Para peserta juga tidak sabar untuk mengikuti aktiviti seterusnya.
Bunga terbesar
Bagi yang tidak pernah sampai ke Hutan Belum, pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat segala keajaibannya dengan lebih dekat.
Sungguh bertuah para peserta konvoi Eco Trail DRB-HICOM kerana diberi kesempatan menyertai aktiviti merentas hutan dan mendaki untuk mencari bunga raflesia iaitu bunga terbesar di dunia.
Untuk melihat bunga itu, peserta perlu menaiki bot laju merentasi Tasik Banding lebih kurang 20 minit sebelum tiba di satu lokasi untuk memulakan treking hutan.
Kira-kira 30 minit mendaki cerun bukit, akhirnya para peserta menemui beberapa bunga raflesia yang tumbuh di lantai hutan.
Seorang pemandu pelancong yang dikenali sebagai Roslan memberitahu, bunga raflesia mengambil masa beberapa bulan untuk berkembang dan mati beberapa hari kemudian.
“Bukan senang nak tengok bunga ini. Hanya orang yang bernasib baik akan menemuinya ketika ia dalam keadaan mekar,” katanya sambil menunjuk ke arah beberapa bunga yang masih belum kembang dan beberapa bunga yang sudah mati.
Walaupun tercungap-cungap mengatur nafas akibat letih mendaki, semua peserta tidak mahu melepaskan peluang melihat bunga parasit tersebut.
Tidak ketinggalan, para peserta juga berpeluang melawat Kampung Orang Asli Chuweh untuk mendalami gaya hidup suku Jahai yang serba ringkas dan ‘akrab’ dengan sumber semula jadi di sekeliling mereka.
Hubungan baik

Konvoi tiga hari dua malam di Hutan Belum, Gerik, Perak yang melibatkan 20 buah pacuan empat roda dengan 40 peserta media dan 40 wakil dari pihak penganjur peserta media berjaya mengeratkan lagi hubungan dua hala.
Pengarah Urusan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil, dalam ucapannya pada majlis makan malam di Belum Rainforest Resort berkata, tujuan utama program diadakan untuk menghargai kerjasama rakan media dalam membuat laporan dan mengenai DRB-HICOM.
“Selama tiga hari di sini bersama rakan media, kami merasa gembira dapat berkongsi pandangan dan menceriakan anda dalam setiap program yang diatur,” ujar beliau.
Pada malam terakhir, kakitangan dan pegawai urusan DRB-HICOM serta peserta media berhibur dalam aktiviti makan malam bertemakan tropika. Suasana riang mengisi suasana mengiringi persembahan nyanyian, lakonan, permainan dan kuiz.
Persediaan konvoi
Ketua konvoi Eco Trail kali ini, Y.S. Khong, mengakui bahawa aktiviti membawa kumpulan media mengharungi cabaran laluan tanah merah mempunyai cabaran tersendiri.
Katanya, tempoh tiga bulan diambil untuk memastikan kelancaran ekspedisi itu yang dijayakan bersama tidak kurang daripada lima orang pembantu.
Bukan sahaja menyediakan peta laluan, malah mereka terpaksa berulang-alik lebih dari tiga kali dari Kuala Lumpur ke Hutan Belum untuk memastikan semua peserta konvoi selesa dan selamat sepanjang aktiviti berkenaan.

“Kami perlu pastikan laluan cabaran yang dilalui peserta tidak mengelirukan. Faktor keselamatan adalah perkara paling utama,” ujar Khong yang ditemui dekat hentian akhir konvoi iaitu di Glenmarie Golf Club (GGC), Shah Alam, Selangor sekembalinya dari cabaran belantara itu.
Khong dan para pembantunya juga bertanggungjawab untuk menyediakan kelengkapan pemanduan seperti sistem kedudukan global (GPS) Garmin dalam setiap sebuah pacuan empat roda yang menyertai konvoi itu.
“Menetapkan peta laluan dalam Garmin juga suatu yang agak rumit pada kami kerana jika tersalah membuat penetapan (setting), peserta mungkin akan sesat.
“Namun untuk elak daripada berlaku perkara itu, kami juga menyediakan sebuah buku panduan. Ia bukan sahaja memaparkan gambar setiap tempat yang dilewati dan lokasi berhenti, malah terdapat penanda arah untuk memudahkan peserta jika Garmin tidak berfungsi,” katanya.
Untuk memastikan ketapatan masa sepanjang perjalanan pula, para peserta diingatkan agar berhenti di tempat yang telah dirancang dan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: