|
|
SEKITAR Mac tahun lalu, saya sempat melakukan pengembaraan singkat di sekitar Tasmania, sebuah pulau yang terletak di bahagian tenggara Autralia.
Lebih mesra dengan gelaran Tassie oleh sebahagian besar warga Australia, Tasmania bukan sahaja menjadi destinasi impian para pencinta alam semula jadi malah kaya dengan sejarah dan tawaran gastronomi yang menyelerakan.
Landskap menghijau dan berbatu serta suasana desa seperti yang dipaparkan dalam filem terkenal Lords of The Rings mempunyai persamaan dengan North Island, di negara jirannya, New Zealand.
Namun, pulau terkecil di Australia itu begitu istimewa dengan kehadiran haiwan-haiwan Marsupial, hutan-hutan kayu dan dipenuhi semangat kedesaan.
Kaedah terbaik untuk melihat keseluruhan Tasmania ialah dengan menggunakan kereta - sesuatu yang boleh membingungkan golongan pengembara bebas di sini.
Seperti negara-negara Komanwel yang lain, pemilik kenderaan di Australia memandu di sebelah kanan, dengan ruang tempat duduk pemandu terletak di sebelah kiri.
Agak mudah untuk menyewa kenderaan di Australia. Warga asing dibenarkan memandu asalkan lesen memandu itu tertera dalam bahasa Inggeris, malah insurans turut dimasukkan dalam pakej sewaan yang berpatutan.
Memandu kenderaan kecil seperti Nissan Micra dari Volkswagen Beetle yang tidak boleh didapati di Amerika Syarikat, ternyata memberikan keseronokan kepada saya.
Kebanyakan laluan di Tasmania adalah sempit, berliku-liku dan hanya terdapat dua lorong tanpa kewujudan penghadang.
Justeru, memandu kenderaan kompak seperti itu merupakan pilihan bijak di samping memberi lebih ruang terhadap kenderaan lain ketika berselisih.
Saya memulakan perjalanan di Hobart, ibu negeri yang dihuni lebih 200,000 penduduk di bahagian selatan pulau itu.
Ketibaan saya disambut deruan hujan, jadi saya beranggapan keadaan itu akan menyebabkan keseluruhan bandar menjadi sunyi sepi.
Namun, sangkaan saya meleset. Sebaik sahaja langit kembali cerah, suasana mula berubah. Kawasan pelabuhan mula rancak dengan pelbagai aktiviti malah puncak Gunung Wellington yang menjadi kebanggaan penduduk di situ juga jelas kelihatan.
Penghibur jalanan
Bahagian yang paling saya gemari ketika berada di bandar itu ialah ketika menghadiri temasya di Salamanca Market. Saya berpeluang bergaul dengan karyawan seni, penghibur-penghibur jalanan dan penduduk tempatan.
Di situ, saya sempat membeli beberapa cenderamata dan hadiah sambil menikmati hidangan tempatan yang segar dan menyelerakan.
Sewaktu di pusat informasi pelancong Hobart untuk mendapatkan pelarasan jadual kunjungan, saya dicadangkan untuk melawat Taman Negara Mount Fields yang terkenal dengan pelbagai kejaibannya.
Ternyata, pemandangan yang ditawarkan di lokasi itu sukar diungkapkan dengan kata-kata. Sepanjang penjelajahan hampir dua jam, saya berpeluang melihat keindahan hutan pakis dan panorama tiga kawasan air terjun yang menakjubkan, termasuk lokasi Russell Falls yang mudah dilawati mereka yang berkerusi roda.
Saya sempat bepusing-pusing di sekeliling pokok-pokok kayu putih yang besar. Minyak yang dihasilkan pokok itu bukan sahaja mengeluarkan bau wangi malah digunakan secara meluas dalam bidang perubatan.
Melihat pemandangan yang mempesonakan sebegitu sesungguhnya amat menyeronokkan dan melapangkan fikiran.
Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Semenanjung Tasmania, yang memakan masa satu jam. Terletak di tenggara Hobart, ia merupakan salah satu destinasi pelancongan di Tasmania. Ia kaya dengan pelbagai tarikan termasuk pemandangan lautan yang dramatik, mercu tanda bersejarah dan taman haiwan.
Ketika berjalan di kawasan pantai di sekitar Waterfall Bay di Taman Negara Tasman, pengunjung bakal disajikan dengan panorama yang cukup indah dengan batu-batuan dan formasi lautan. Ada juga air terjun yang arusnya melepasi tebing tinggi dan terus jatuh ke lautan membiru.
Mengimbas sejarah
Di Tapak Bersejarah Port Arthur, pengunjung bakal melihat lokasi yang pernah menjadi tempat kurungan bagi penjenayah-penjenayah berbahaya British sekitar pertengahan kurun ke-18. Ia merupakan salah satu mercu tanda bersejarah di Tasmania dan kehadiran bas-bas pelancongan dan rombongan kanak-kanak sekolah membuktikannya.
Sebaik sahaja saya melepasi kumpulan-kumpulan itu, saya mendapati lokasi itu lebih berharga daripada yang dijangkakan. Saat melewati bangunan-bangunan bersejarah dan melihat pameran barangan lama, ia seolah-olah membawa saya kembali ke zaman silam.
Kawasan bawah bagunan itu sangat menarik perhatian, saya dapat merasakan sisa-sisa kemurungan sejarah hitam di kawasan itu suatu ketika dahulu.
Sesungguhnya tidak lengkap kunjungan ke Tasmania jika tidak mengenali seekor haiwan istimewa. Membesar dengan melihat kartun Looney Tunes, saya teruja untuk melihat Tasmanian Devil dengan lebih dekat. Disebabkan itu, saya telah melawat ke Pusat Konservasi Tasmanian Devil.
Berwarna hitam dan berbahaya, haiwan yang mempunyai saiz seperti seekor anjing itu berlari-lari ke sana sini seperti sedang gila. Ia juga mengeluarkan bunyi bising yang agak pelik dan cukup rakus ketika menikmati tulang haiwan.
Begitupun, agak sedih apabila mengetahui bahawa haiwan itu terdedah kepada penyakit-penyakit yang membawa maut dan kini tersenarai dalam spesies terancam.
Saya mengakhiri perjalanan dengan memandu ke bahagian pantai barat menuju ke Taman Negara Frecinent. Di sana, saya menetap di Coles Bay, sebuah bandar yang menjadi pintu masuk ke semenanjung itu.
Walaupun kesakitan pada lutut menghalang saya daripada mengembara dengan berjalan kaki untuk mencelupkan jari-jari kaki di Wineglass Bay, namun saya berkesempatan untuk meninjau kawasan sekelilingnya dan meneroka segenap ceruk dan menikmati pemandangan lain di seluruh taman itu.
Berjalan kaki dengan berkaki ayam di pesisir pantai yang lembut dan memutih di Friendly Beaches juga merupakan acara kemuncak yang tidak diduga.
Walaupun saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk meneroka tempat-tempat lain di Tasmania, saya gembira kerana berjaya sampai di salah satu lokasi yang sangat indah di dunia ini dan seterusnya mempunyai banyak alasan untuk kembali semula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: