Saturday, January 21, 2012

Mencari senyuman Mona Lisa


POTRET Monalisa antara karya paling berharga yang tersimpan di Muzium Louvre.


SETIAP orang pasti mempunyai keinginan untuk menjejakkan kaki ke Paris sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Warisan budaya yang berpadu dengan kemegahan seni bina bukan sahaja menjadikannya sebagai kota yang paling indah di dunia malah mampu membangkitkan perasaan romantis kepada sesiapa jua.

Sejak sekian lama, ibu negara Perancis itu menjadi pusat yang menghubungkan segala cabang gaya hidup. daripada gastronomi dan fesyen hinggalah kepada keseronokan membeli-belah.

Salah satu tarikan mercu tanda yang tidak kurang hebatnya di kota itu ialah Muzium Louvre, iaitu bekas Istana Diraja yang tersergam indah di tengah-tengah Paris di antara Sungai Seine dan Rue de Rivoli.

Mengikut sejarah, bangunan itu bermula sebagai sebuah kubu yang dibina pada lewat abad ke-12 di bawah Philippe II. Seterusnya, ia telah mengalami pengubahsuaian sehingga membentuk istana pada abad ke-14.

Pada tahun 1672, Raja Louis XIV memilih Istana Versailles sebagai istana rasmi dan menjadikan Louvre sebagai tempat untuk menyimpan pelbagai koleksi diraja.

Sewaktu Revolusi Perancis, Louvre telah dijadikan sebagai sebuah muzium yang mempamerkan karya agung negara tersebut. Pada 1973, sebahagian daripada bangunan itu akhirnya telah dibuka kepada orang awam.

Bermula dengan hanya 537 buah lukisan dan 184 buah arca dan artifak, koleksi berharga di muzium itu terus bertambah melalui sumbangan, hadiah termasuk yang diperolehi melalui tentera Perancis melalui kempen pejajahannya ketika itu.

Kini, Louvre menyimpan kira-kira 380,000 artifak termasuk 35,000 karya seni masyarakat Perancis dari zaman raja-raja Capetian, kemudian ke Empayar Napoleon Bonaparte sehinggalah ke hari ini.

Salah satu karya seni paling berharga dipamerkan di situ ialah potret Mona Lisa yang merupakan karya agung seniman Leonardo da Vinci.

Di samping itu, Louvre turut menyimpan karya artis terkenal seperti Fragonard, Rembrandt, Rubens, Titian, Poussin. Turut dipamerkan beberapa arca seperti Winged Victory of Samothrace dan Venus de Milo.

Koleksi perabot


SETIAP bahan pameran di Muzium Louvre dibahagikan kepada lapan jabatan yang berbeza.


Selain hasil seni, Louvre mempunyai beberapa bahan pameran lain termasuk arkeologi, sejarah dan seni bina.

Bagi yang mahu mengetahui kemewahan golongan diraja melalui perkakasan dan kelengkapan di istana mereka, muzium itu turut mempamerkan koleksi perabot.

Antara yang menarik ialah sebuah meja milik Raja Louis XV dikenali sebagai Bureau du Roi yang kini telah dipulangkan semula ke Istana Versailles.

Bagi kemudahan pelawat, setiap bahan pameran dibahagikan kepada lapan jabatan kurator berbeza. Antaranya, Mesir Purba, Asia Barat, Greek, Rom, Kesenian Islam, seni hiasan, seni lukis, cetakan dan lukisan.

Pada awal 80-an, Presiden Perancis, François Mitterrand mencadangkan pembinaan Grand Louvre menyaksikan proses pengubahsuaian dan pembesaran secara besar-besaran di lakukan di Louvre.

Arkitek Amerika Syarikat, Ieoh Ming Pei telah dilantik untuk mereka sebuah piramid kaca di tengah-tengah halaman utama yang berfungsi sebagai pintu masuk ke muzium.

Siap pada tahun 1988, binaan kaca yang pada mulanya dilihat tidak segandingan dengan seni bina silam bangunan itu, akhirnya diterima ramai dan telah menarik lebih ramai pengunjung ke muzium tersebut.

Dengan keluasan lebih 60,600 meter persegi, Louvre kini diiktiraf antara muzium terbesar di dunia.

Pada tahun lalu sahaja, ia dikunjungi lebih 8.8 juta pelawat dari seluruh dunia. Populariti muzium itu juga turut menarik penerbit filem Da Vinci Code untuk menjadikannya lokasi penggambaran.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: