MELALUI modul yang diperkenalkan dalam program Rakan Usahawan, mereka yang terlibat boleh menimba pengalaman untuk memperbaiki taraf sosioekonomi. |
KOMUNITI 1Malaysia (K1M), sebuah pertubuhan sukarelawan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak pada 6 Januari lepas adalah satu wadah yang dapat meluaskan lagi perkongsian maklumat dan kefahaman atas inisiatif untuk membantu masyarakat.
K1M bergiat aktif dengan penyertaan masyarakat setempat menerusi aktiviti sukarelawan dalam pelbagai program termasuk yang berunsurkan seni budaya tempatan dan produk K1M.
Sejak diwujudkan pada Jun tahun lalu, 1,200 unit K1M berjaya didaftarkan di seluruh negara dan kini bergiat aktif menjalankan tugas-tugas sukarelawan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurut Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, K1M yang diselia Jabatan Penerangan bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia selain mewujudkan masyarakat celik maklumat, selari dengan aspirasi 1Malaysia.
"Bersama-sama dengan unit ini, termasuk agensi di bawah kementerian, kita akan memupuk rangkaian untuk membantu kerajaan menjalankan tugas dengan prihatin, adil dan berkesan," katanya pada Pelancaran Komuniti 1Malaysia.
Lima ikon
K1M adalah transformasi daripada Komuniti Bestari yang kini diberi penambahbaikan oleh Jabatan Penerangan. Tiga program Komuniti Bestari masih dikekalkan dengan tambahan dua program baharu.
Segala aktiviti dilaksanakan menerusi lima bidang iaitu aktiviti perpaduan nasional yang disebut Rakan Padu, pembangunan sosioekonomi melalui Rakan Usahawan dan perkongsian maklumat menerusi Rakan IT.
Dua bidang baharu ialah kebudayaan dan kesenian digelar Rakan Budaya dan interaksi sosial, Rakan Harmoni.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Ibrahim Abdul Rahman, lima ikon program K1M mempunyai peranan dan pendekatan masing-masing.
Sebagai sebuah pertubuhan sukarela, K1M diwujudkan di setiap kawasan Parlimen dengan jumlah sukarelawan sekurang-kurangnya seramai 10 orang di setiap kawasan. Masing-masing mempunyai pelbagai kemahiran bagi membantu golongan kurang bernasib baik menerusi pelbagai aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Antara yang patut dikongsi bersama pembaca ialah beberapa program kemasyarakatan yang telah dilaksanakan oleh sukarelawan Rakan Harmoni.
Menurut Ibrahim, beberapa komuniti telah berjaya menjalankan fungsi mereka sebagai penyumbang bakti kepada masyarakat.
"Mereka (sukarelawan) mengenal pasti individu atau pihak yang tidak bernasib baik dan bergotong-royong membaiki rumah golongan berkenaan.
"Walaupun nampak kecil, tetapi kami di Jabatan Penerangan berasa sangat berbesar hati kerana itulah kepakaran kami. Secara tidak langsung, kita dapat membimbing Rakan IT untuk menyalurkan kemahiran dan sumbangan mereka kepada masyarakat," jelas Ibrahim.
Jelas beliau, program K1M yang telahpun dijalankan sejak Jun lepas bakal diteruskan dengan empat pendekatan.
Skala besar
Pertama, program berskala besar yang akan dilaksanakan di peringkat negeri seperti festival, ekspo dan karnival K1M selama dua hari yang mensasarkan 10,000 rakyat pelbagai kaum. Program berskala sederhana pula di peringkat daerah (gabungan K1M dalam daerah) dengan sasaran 2,000 rakyat pelbagai kaum selama satu hingga dua hari dengan ekspo, pameran dan festival.
Turut dirancang ialah program berskala kecil dengan sasaran 200 hingga 500 penglibatan pelbagai kaum dan dilaksanakan oleh setiap K1M. Antara aktivitinya ialah pameran, sukan rakyat, kenduri kampung dan persembahan kebudayaan.
Sahari Hussin, 51, seorang daripada sukarelawan K1M berpendapat penyertaannya dalam K1M membolehkan beliau memberi sumbangan kepada masyarakat.
Beliau yang juga Setiausaha K1M, DUN Sungai Rambai, Melaka aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
"Banyak pengalaman yang saya dapat menerusi program ini. Selain dapat bercampur dengan masyarakat berbilang kaum, saya dan rakan sukarelawan lain juga mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai program yang dijalankan oleh kerajaan,"
Bagi dua sukarelawan K1M dari Banggol Sena, Chuping Perlis, Rosni Mohd Jelanan, 22, dan Rafidah Ismail, 24, penyertaan mereka sebagai sukarelawan lebih daripada sekadar memberi khidmat kepada masyarakat.
Menerusi Rakan Usahawan, kedua-duanya yang turut menjalankan perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kuih tradisional dan sos cili dapat mengembangkan lagi jaringan perniagaan mereka.
"Tak rugi menyertai program ini. Penyertaan sewaktu Festival dan Ekspo yang berskala besar juga dapat membantu kami melaksanakan aktiviti seumpama ini di peringkat daerah," jelas Rafidah.
Bagi mana-mana pihak atau komuniti yang ingin menyertai sebagai sukarelawan, mereka boleh menghubungi Jabatan Penerangan di setiap negeri untuk mendapatkan borang pendaftaran dan maklumat lanjut.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: