Thursday, January 19, 2012

Tatihseni cungkil bakat seni anak-anak


Noraniza Idris bersama sebahagian daripada anak didiknya.


RAMAI ibu bapa mengeluh apabila yuran untuk aktiviti tambahan anak-anak dikatakan terlalu mahal. Malah ada yang berkali ganda lebih mahal daripada yuran tuisyen.

Sudahnya, ramai ibu bapa mengambil keputusan tidak menghantar anak ke kelab aktiviti seni kerana tidak mempunyai bajet untuk tujuan tersebut.

Tapi perkara itu tidak berlaku di Akademi Tatihseni yang dikelolakan oleh ratu etnik negara, Noraniza Idris.

Dengan yuran pendaftaran yang bermula daripada RM1 bagi setiap subjek di mana anak anda akan dapat ilmu kesenian dan juga penerapan unsur rohani dalam kehidupan.

"Akademi ini bukan sahaja menerapkan unsur tarian malah yang lebih utama memberikan motivasi jati diri dengan pendekatan sahsiah, rohani dan spiritual," ujar Noraniza yang lebih mesra dengan panggilan Kak Ani.

Ujarnya, Tatihseni melalui proses percubaan selama setahun sejak tahun 2010 lagi. Pelbagai rombakan dibuat bagi memastikan akademi ini dapat memberikan manfaat dan dilaksanakan dengan mudah dan lancar.

"Sebenarnya bukan mudah untuk menyelaraskan sebuah program motivasi yang berteras kesenian warisan, namun Alhamdulillah berkat kerjasama dan permintaan ramai ibu bapa yang mahukan aktiviti seperti yang telah kami buat," ujarnya.

Tambahnya, bermula tahun 2012 akademi Tatihseni telah melangkah ke satu peningkatan yang lebih agresif, inovatif serta konstruktif dengan membentuk kumpulan tenaga pengajar terlatih untuk melatih pelatih seni di akademi ini.

Lebih menarik menjelang tahun 2012 juga Tatihseni memperkenalkan modul pembelajaran terkini Masyhur Malaysia yang telah diiktiraf oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara semenjak tahun 2009.

"Apa yang membanggakan kami apabila ada di antara anak-anak yang belajar di akademi ini sudah mula faham akan hala tuju dan matlamat hidup kita. Kerana kita di sini bukan semata-mata menekankan aspek riadah dan suka ria malah yang lebih utama ialah aspek kerohanian," ujarnya.

Antara kursus yang ditawarkan di akademi ini ialah kursus Tatihseni Tari dan Tari Jangka Pendek bagi Asas Tarian Tradisional dan Etnik Malaysia.

Sebanyak lapan subjek asas tari akan diajar, yang mana setiap subjek akan diselesaikan selama lima minggu pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

"Sijil akan dikeluarkan oleh akademi setelah tamat setiap subjek yang diambil.

"Sebenarnya sasaran usia kami ialah bermula sembilan tahun hingga 14 tahun untuk satu kategori dan untuk 15 tahun ke atas pula di bawah satu lagi kategori. Setiap kumpulan atau kategori terhad kepada 20 orang pelajar sahaja," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: