Bersanding menjadi kelaziman kepada pasangan mempelai bagi mengabadikan kisah percintaan mereka dan berkongsi saat manis itu dengan saudara-mara dan rakan taulan.
Bermula dengan persalinan busana raja sehari, konsep hantaran, pelamin, menu hinggalah bunga telur, semuanya mendukung adat dan budaya Melayu sejak zaman berzaman.
Bagaimanapun zaman semakin berubah membuatkan ramai pasangan muda mencari kelainan untuk mengabadikan 'hari bahagia' mereka dengan cara yang agak berbeza.
Malah, ada pasangan mempelai memilih kelainan dengan menyuntik elemen moden dalam majlis persandingan. Ini boleh dilihat melalui rekaan pelamin, gubahan hantaran ataupun konsep persandingan itu sendiri.
Bagi pasangan Nor Yusnita Ramli, 27, dan Mohd. Shah Helmi Hamzah, 25, mereka cuba mencari kelainan melalui persandingan unik dalam bas RapidKL dan Transit Aliran Ringan (LRT).
Lebih menarik pada hari persandingan tersebut, rombongan bas yang membawa pasangan mempelai itu turut disertai 15 posmen Pos Laju yang bermotosikal ke rumah pengantin lelaki di Taman Wilayah, Selayang, Selangor.
Menurut pengantin perempuan, yang juga kakitangan RapidKL, idea itu muncul selepas menyaksikan sendiri Kempen Kenderaan Kurang Pencemaran yang dilancarkan syarikat perkhidmatan kenderaan awam itu pada September tahun lalu.
"Dari situ muncul idea untuk menyokong kempen tersebut pada hari bahagia kami. Lagipun keluarga saya di Perak dan tentunya akan melibatkan banyak kenderaan untuk hadir ke majlis menghantar pengantin,'' ujar Nor Yusnita ketika ditemui pada majlis persandingannya baru-baru ini.
Katanya, melalui kempen tersebut ia sekali gus memberikan kesedaran kepada orang untuk mengurangkan kepenggunaan kenderaan awam berbanding kenderaan sendiri.
Malah, terangnya, ia juga contoh terbaik untuk diamalkan oleh orang ramai selepas ini.
Tambah pembantu perkhidmatan pelanggan itu, idea menarik itu turut dipersetujui pihak keluarga pengantin lelaki.
Lebih gembira, idea berkenaan kemudian diceritakan kepada pengurusnya, Nizam Abdul Hamid yang turut bersetuju untuk menyediakan gerabak bagi digunakan pada hari persandingan mereka.
Yusnita mengakui dia berbangga dapat mengabadikan hari bahagia itu dengan cara yang unik tersebut.
"Selama ini hanya angan-angan sahaja. Tetapi hari ini ia menjadi kenyataan. Malah saya seperti selebriti apabila orang ramai dan pelancong asing turut menyaksikan persandingan kami ini,'' ujarnya.
Dalam majlis yang unik itu, rombongan perempuan disertai 50 orang yang terdiri daripada kaum keluarga pengantin dari Perak.
Kesemua mereka berkumpul di Stesen LRT Ampang sebelum di arak dengan iringan kumpulan kompang ke Stesen LRT Masjid Jamek sebelum bertukar tren ke laluan Gombak.
Lebih menarik, apabila sampai di Stesen Gombak, konvoi Pos Laju sedia menunggu dan pasangan raja sehari tersebut diarak pula menaiki bas RapidKl ke rumah pengantin lelaki.
Bas tersebut dihias cantik dengan pelamin unik yang direka khas oleh kaum keluarga lelaki bagi menyambut kehadiran menantu.
Pasangan mempelai dinikahkan di rumah keluarga pengantin perempuan pada 30 Disember lalu di Kuala Kangsar, Perak.
Ditanya pandangan keluarga dan rakan-rakan tatkala Yusnita mengusulkan idea persandingan yang unik itu, dalam nada ketawa dia berkata, pada mulanya mereka agak terkejut kerana ia tidak pernah dibuat orang, terutama bersanding dalam bas.
Namun, akhirnya keluarga menerima malah memberi sokongan kerana menyedari ia merupakan kelainan.
Ibu pengantin perempuan, Noriah Md. Radhi, 58, tidak menyangka anak keempat itu betul-betul ingin mencari kelainan pada hari bahagia mereka.
"Sebelum ini, dia pernah menyatakan untuk mengadakan satu persandingan yang unik. Tetapi sayak tidak sangka sampai macam ini sekali. Apapun saya bersyukur semua berjalan dengan sempurna,'' ujarnya.
Mengimbau kembali saat perkenalan mereka, tiga tahun lalu, Yusnita memberitahu, semuanya bermula melalui Internet.
"Masa mula-mula berkenalan, saya anggap dia sebagai kawan biasa tetapi kemesraan dan kesungguhan yang ditunjukkan membuatkan saya jatuh cinta padanya,'' ceritanya mengimbau kenangan lama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: