Thursday, January 19, 2012

Nik Zaharah sentiasa di hati Hamzah


Hamzah Rani setia berada di sisi isterinya, Nik Zaharah Latif yang menghidap pelbagai penyakit.


SETIAP hari Hamzah Rani, 61, akan keluar bekerja di sebuah bengkel motor di kawasan perumahan rumah pangsa tempat tinggalnya sebagai rutin biasanya.

Namun setiap kali mahu melangkah meninggalkan rumah, pasti hatinya cuak untuk meninggalkan isterinya, Nik Zaharah Latif, 56, berseorangan di rumah.

Apatah lagi dengan kudrat dan keadaan fizikal Nik Zaharah yang selalu sahaja tidak sihat menjadikan Hamzah sering berasa tidak tenteram apabila berada di luar rumah.

Baginya, Nik Zaharah adalah insan yang paling disayanginya dan tempat dia mencurahkan kasih biarpun wanita itu berbeza daripada insan normal lain.

Apatah lagi Hamzah dan Nik Zaharah hanya tinggal berdua sahaja kerana perkahwinan mereka yang berusia 40 tahun lebih itu tidak dikurniakan cahaya mata.

‘‘Saya keluar pukul 8.30 pagi dan balik pada 8.30 malam. Sesekali kalau ada kesempatan, saya akan balik sekejap menjenguk isteri di rumah sama ada dia sihat ataupun sudah makan.

‘‘Saya juga tidak rasa selesa sekiranya isteri memasak kerana takut api tidak dipadamnya,” kata warga emas kelainan upaya (OKU) itu dalam sebutan yang kurang jelas.

Berasal dari Pahang, Hamzah memberitahu, isterinya mengalami masalah jiwa yang berlarutan sejak dari usia muda lagi. Nik Zaharah juga dibelenggu dengan masalah pelupa yang amat sangat.

Ditambah pula dengan peralihan usia menyebabkan wanita itu turut mempunyai penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi serta penglihatan yang kurang jelas.

Tubuh badan Nik Zaharah yang semakin membesar dan berat sehingga mencecah 150 kilogram itu menyebabkan sukar baginya bergerak pantas sama ada ke tandas mahupun melakukan kerja-kerja rumah.

Apa yang termampu dilakukan Nik Zaharah yang berasal dari Besut, Terengganu itu hanya duduk atau tidur sepanjang hari dan dia perlu makan ubat yang diberikan doktor mengikut jadual.

‘‘Seminggu sekali jururawat akan datang ke rumah untuk memberi suntikan kepada isteri saya agar fikirannya tidak terganggu,” katanya ketika ditemui rumahnya di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Ketika kunjungan dilakukan ke rumah pangsa dua bilik itu, dapati rumah berkenaan tidak terurus. Nik Zaharah hanya mampu duduk dan tidak terdaya untuk bergerak.

Ketika temu bual dijalankan, Nik Zaharah hanya sesekali menyampuk dengan sebutan loghat yang sukar untuk difahami.

Kata Hamzah, kos rawatan isterinya itu juga agak mahal kadang kala sehingga mencecah RM1,000 sekiranya Nik Zaharah terpaksa ditempatkan di wad apabila penyakitnya menyerang secara tiba-tiba.

Sekarang isterinya itu mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya, dalam beberapa kali sebulan dan sekali rawatan boleh mencecah RM450.

‘‘Saya sudah tua, kudrat pun tak mampu hendak bekerja lebih lagi. Setakat kerja mengelap-ngelap motor di bengkel dapatlah RM800 sebulan.

‘‘Cukuplah untuk makan tetapi untuk rawatan dan keperluan lain, saya terpaksa menambah dengan duit tabungan yang semakin sedikit,” kata bekas pesara kilang cat itu.

Mengakui tidak menerima sebarang bantuan daripada pihak-pihak lain, Hamzah berazam untuk memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Apabila ditanya kepada jiran-jiran setempat mengenai usaha membantu kedua-dua warga emas itu, mereka memberitahu bantuan dihulurkan kepada Nik Zaharah sekiranya dia terpaksa dibawa ke hospital.

‘‘Apabila penyakit Nik Zaharah ini menyerang secara tiba-tiba dia akan terus terlentang sambil kejang dan beberapa orang penduduk akan membantu mengangkatnya.

‘‘Tambahan pula Nik Zaharah boleh bertindak dengan ganas sekiranya dia terlupa untuk memakan ubat yang dijadualkan kepadanya.

“Suaminya sendiri juga pernah hampir ‘diparangkan’ oleh Nik Zaharah namun dapat dihalang.

‘‘Biarpun begitu kami rasa begitu terharu kerana kasih sayang warga emas ini tetap utuh biarpun banyak cubaan yang mendatang akibat penyakit yang dialami oleh isterinya,” kata seorang penduduk yang enggan dikenali.

Kepada masyarakat yang ingin memberikan bantuan meringankan beban yang dialami Hamzah boleh menghubungi talian 017-691 0144 atau 012-941 5065 (Azie) untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: