Saturday, January 28, 2012

Samwat 1 paling pantas berlumba


DATUK Khalid Yunus (kiri) bersama pasukan Team Samwat1 yang muncul juara kategori Terbuka Lelaki selepas menamatkan perlumbaan dalam masa 4 jam 56 minit 26 saat.


DAERAH Hulu langat di Selangor terkenal dengan jolokan ‘kampung di tengah bandar besar’. Ini kerana suasana tradisi dan keindahan kampung tradisional Melayu masih wujud di situ, meskipun dihimpit pembangunan pesat di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, kedudukan daerah Hulu Langat ini begitu hampir dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Daerah ini juga menempatkan gunung tertinggi di Selangor iaitu Gunung Nuang (1,493 meter) dari paras laut. Terletak di dalam Hutan Lipur Gunung Nuang, gunung ini tidak asing lagi kepada para pengembara dan pencinta alam yang menggemari aktiviti pendakian mencabar tetapi menyeronokkan, terutamanya para pendaki gunung di Malaysia.

Selain itu, ia turut memiliki pelbagai produk pelancongan semula jadi seperti Hutan Lipur Sungai Congkak, Air Terjun Sungai Gabai, Air Terjun Sungai Perdik dan Air Terjun Sungai Tekali. Resort, chalet dan tapak perkhemahan juga terdapat banyak di sini, khusus untuk peserta kem motivasi hujung minggu dan cuti persekolahan.

Menyedari potensi daerah Hulu Langat mampu menarik lebih ramai pengunjung, maka pelbagai acara telah dan akan diadakan di situ. Antaranya yang dianjurkan oleh Persatuan Kembara Negara (PKN) iaitu Hulu Langat Nature Adventure Race 2011 pada 27 November lalu.

Acara yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM17,200 itu berjaya menarik penyertaan dalam dan luar negara.

Menurut Presiden PKN, Datuk Khalid Yunus, perlumbaan lasak itu diadakan dengan lima objektif iaitu:

* Menjadikan perlumbaan ini sebagai salah satu acara dalam kalendar tahunan Pelancongan Negeri Selangor yang mampu menarik pelancong dalam dan luar negara.

* Membantu mempromosikan Taman Negeri Selangor dan kawasan sekitar Hulu Langat.

* Menggalakkan agensi-agensi pelancongan dan hotel atau resort menjadikan pakej mendaki gunung sebagai salah satu pakej pelancongan yang berteraskan Hutan Hujan Tropika di Selangor.

* Memupuk rasa cinta semua pihak pada alam semula jadi yang begitu berharga untuk dihayati dan dipelihara agar ia tidak lupus dek pembangunan dan peredaran zaman.

* Menjadikan perlumbaan ini sebagai aktiviti gaya hidup sihat melalui acara ‘outdoor sports’ yang berkonsepkan Malaysia Cergas.

Perlumbaan yang dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ini telah diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua dan kawasan sekitar daerah Hulu Langat.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki (2 orang sepasukan) dan kategori Terbuka Campuran (2 orang sepasukan lelaki dan wanita).

Menerusi perlumbaan ini, peserta dikehendaki mengharung lima disiplin iaitu berlari, berbasikal, rempuh halangan, abseiling dan redah sungai melalui laluan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

“Bermula di IKBN Dusun Tua, peserta berlari menuju ke simpang Batu 14, menuju ke jalan Sungai Tekali untuk sampai ke check point (CP) berbasikal sejauh 10 kilometer (km).

“Dari situ, kesemua peserta dikehendaki mengayuh basikal melalui jalan berbukit menuju ke Kampung Orang Asli Gabai sejauh 19 km.

“Seterusnya peserta perlu menyelesaikan cabaran merempuh halangan iaitu berlari dalam hutan berbukit ke CP abseiling di Air Terjun Perlus dan kembali semula ke CP tersebut, sejauh enam km.

“Peserta kemudiannya berbasikal keluar dari Kampung Orang Asli dengan mengayuh sejauh 26 km menuju ke simpang Batu 18 dan terus menuju ke CP merempuh sungai di Kampung Pangsun,” jelas Khalid.

Menurutnya, di Kampung Pangsun, semua peserta dikehendaki mengharung sungai dengan melawan arus sejauh satu kilometer dan naik semula ke darat untuk kembali ke tempat basikal.

“Peserta perlu mengayuh semula basikal untuk berpatah balik menuju ke IKBN sejauh 11 km. Untuk jarak 200 meter terakhir, peserta perlu berlari menuju ke garisan penamat,” tambahnya.

Dalam perlumbaan ini, kategori Terbuka Lelaki dimenangi oleh pasukan Team Samwat1 yang menamatkan perlumbaan dalam masa 4 jam 56 minit 26 saat. Manakala kategori Terbuka Campuran dijuarai oleh pasukan Salomon dengan masa 5 jam 31 minit 15 saat.

Beliau berterima kasih kepada penaja yang membantu menjayakan perlumbaan lasak ini, iaitu Universal Fitness & Leisure (UFL), Salomon, Corezone, 100 PLUS, Milo, Powerbar, Cereal Product Nestle, Lafuma dan Power.

Majlis perasmian perlumbaan ini telah dilakukan oleh Pengarah IKBN Dusun Tua, Zahari Jusoh, manakala majlis penutup oleh Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman.

Sementara itu, PKN bakal menganjurkan perlumbaan lasak Cabaran Yam Tuan Antah 2012 pada 12 Februari ini. Bertempat di Hutan Lipur Gunung Datuk, Negeri Sembilan, pihak penganjur menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM24,900.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 012-2022644 (Afnal) atau 013-3763698 (Angah) atau 013-6336961 (Sabri) atau 012-9397170 (Arif).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: