SETELAH tujuh tahun bersama, akhirnya Bunkface kini mampu tersenyum apabila impian untuk membuka Bunkface Rock Station akhirnya tercapai.
Mengambil masa sehingga dua tahun untuk merangka pembukaan kedai tersebut, Bunkface Rock Station merupakan hadiah sulung untuk perjuangan muzik tiga anak muda ini.
Bermodalkan RM200,000, Bunkface Rock Station menjanjikan sesuatu yang berbeza buat peminat yang hadir ke lokasi ini. Ini kerana, selain studio jamming, kedai itu juga menyediakan pelbagai barangan cenderamata daripada kumpulan punk rock tersebut.
Salah seorang anggota Bunkface, Paan atau nama sebenarnya Ahmad Farhan Hashim memberitahu, yang lebih membanggakan mereka adalah pembukaan Bunkface Rock Station menggunakan wang simpanan titik peluh mereka selama ini, tanpa perlu membuat sebarang pinjaman.
“Kami sudah lama mahu membuka sebuah pusat sehenti buat kumpulan kami.
“Bunkface Rock Station juga merupakan pejabat serta lokasi utama untuk kami berjumpa dan berbincang,” katanya kepada S3.
Kedai yang terletak di Subang Jaya, Selangor itu mempunyai dua pekerja yang akan membantu anggota kumpulan tersebut menguruskan Bunkface Rock Station.
Menurut Shamsul Annuar Mohd Baharom atau lebih dikenali sebagai Sam yang juga vokalis, dia percaya pembukaan kedai tersebut merupakan langkah awal buat mereka bertiga dalam membina sebuah empayar.
“Mengikut perancangan kami mahu melebarkan sayap dalam pelbagai bidang perniagaan termasuklah untuk mempunyai label sendiri.
“Bagaimanapun buat masa ini kami akan memberi tumpuan kepada muzik terlebih dahulu agar nama kumpulan kami cukup kuat dalam industri dan seterusnya secara perlahan-lahan membina empayar sendiri suatu hari kelak,” katanya.
Walaupun kini mereka sibuk dengan pembikinan album kedua yang bakal menemui peminat pada pertengahan tahun ini, namun mereka tetap meluangkan masa untuk berada di Bunkface Rock Station bagi memastikan kelancaran perniagaan pertama itu.
“Kami akan memperuntukkan tiga atau empat hari seminggu untuk datang ke sini bagi melihat perkembangan perniagaan.
“Memandangkan studio rakaman ini masih lagi dalam pengubahsuaian, kami terpaksa melakukan rakaman di luar buat sementara ini. Bagaimanapun setelah semuanya lengkap nanti kami pasti akan berada lebih kerap di Bunkface Rock Station,” katanya.
Mengakui bukan mudah untuk mendapat persetujuan memandangkan mereka juga mempunyai pendapat berbeza mengenai sesuatu perkara, seorang lagi anggota kumpulan itu, Mohd Farouk Jaafar atau Youk menjelaskan bahawa ia tidak pernah merunsingkan mereka memandangkan Bunkface mempunyai cara tersendiri dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan yang timbul.
“Kami sering mengambil masa untuk berbincang malah konsep untuk kedai ini juga hadir melalui idea kami bertiga.
“Dan melalui pembukaan Bunkface Rock Station ini kami percaya ia akan membantu kami untuk membawa Bunkface untuk pergi lebih jauh,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: