Sunday, January 15, 2012

Jamal konsert di tanah sendiri


SIRIH pulang ke gagang. Jamal pulang ke negeri tumpah darahnya untuk sebuah konsert besar.


BAGAI sirih pulang ke gagang, penyanyi dengan vokal dan gaya tersendiri, Jamal Abdillah bakal mengadakan konsert di Ipoh, Perak pada 28 Januari ini.

Anak kelahiran Perak ini melahirkan rasa bangga dan gembira bakal mengadakan sebuah konsert besar di negerinya sendiri.

Konsert yang diberi nama Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 ini adalah sebuah konsert penghormatan khas buat para peminatnya yang berada di Ipoh.

"Peluang mengadakan konsert ini amat baik untuk saya. Apatah lagi, tahun ini merupakan Tahun Melawat Perak. Ia bukan sahaja konsert solo terbesar saya di Perak tetapi ia serampang dua mata untuk membantu sambutan tersebut.

"Sebagai anak Perak, saya berasa amat bangga kerana dapat mengadakan konsert besar di negeri saya sendiri," ujar juara pertandingan Bintang RTM 1979 ini tentang konsert yang berdurasi dua jam 30 minit ini.

Pernah mendapat tawaran mengadakan konsert di negeri sendiri namun ujar penyanyi yang kini popular dengan lagu duet bersama Malique, Aku Maafkan Kamu ini menjelaskan keadaan.

"Dulu saya pernah mendapat tawaran seperti ini tetapi ketika itu saya tidak mampu memberikan komitmen. Saya fikir lebih baik tidak ada konsert besar. Sekarang ini, selepas 'dunia saya semakin cerah' barulah peluang itu datang semula.

"Malah, sejak kebelakangan ini saya juga mendapat semakin banyak tawaran mengadakan konsert. Saya anggap semua itu sebagai rezeki anak-anak. Kalau boleh saya tidak mahu mensia-siakan tawaran yang datang," jelasnya yang dalam sidang akhbar konsertnya yang diadakan di Saddle Coffee House, Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, baru-baru ini.

Konsert yang dibawa khas oleh Bombay WorldWide Sdn. Bhd. dan Persatuan Budak Bus Stand Ipoh (BBSI) ini akan diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh, pukul 8.30 malam. Konsert ini bakal menyaksikan Jamal menyanyikan 28 buah lagu popular khas buat peminat setianya di Ipoh.

"Konsert ini cukup istimewa kerana ia akan menggabungkan konsep persembahan saya ketika di Istana Budaya dan Singapura. Selain itu, persembahan saya nanti akan menampilkan tujuh segmen antaranya lagu duet, lagu-lagu dari filem, tribute untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, segmen Datuk Ahmad Nawab dan juga segmen pencarian gadis Melayu," ujarnya yang akan membahagi-bahagikan persembahannya kepada tujuh segmen yang berbeza dengan seleksi lagu-lagu popularnya sejak era tahun 1980-an sehinggalah kini.

Bagi yang ingin menyaksikan persembahan Konsert Raja Pop Jamal Abdillah 2012 pada 28 Januari ini, anda bolehlah mendapatkan tiket-tiket berharga RM80, RM140 dan RM300 di www.ticket2u.biz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: