Wednesday, January 11, 2012

Peluang menjadi jurulatih rekreasi


Aktiviti pendakian gunung sebahagian daripada pelancongan berasaskan aktiviti lasak yang semakin popular.


pelancongan berteraskan aktiviti fizikal seperti penjelajahan hutan, pendakian gunung mahupun menyelam semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat.

Ia turut membabitkan pelancong-pelancong asing yang datang ke negara. Ada antara mereka datang semata-mata untuk mendapatkan pengalaman ekstrem melalui aktiviti-aktiviti tersebut.

Bagaimanapun, pelancongan berasaskan aktiviti lasak seperti ini perlu diurus dengan bijak sama ada dari segi pemuliharaan alam sekitarnya mahu pun pengurusan sumber manusia.

Melihatkan jumlah penyertaan golongan pencinta alam dan mereka yang sukakan aktiviti lasak semakin bertambah, aktiviti rekreasi seperti ini bukan lagi sekadar untuk memenuhi masa lapang.

Pertumbuhan aktiviti pelancongan berasaskan cabaran fizikal turut melahirkan peluang kerjaya baru.

Aktiviti seumpama itu boleh mendatangkan pulangan lumayan kepada mereka yang terbabit.

Sebab itu Kementerian Belia dan Sukan enyasarkan untuk melahirkan lebih 20 jurulatih bertauliah dalam aktiviti sukan ini di seluruh negara ini setiap tahun.

Baru-baru ini, 66 orang telah ditauliahkan dengan Sijil Kejurulatihan Rekreasi selepas menamatkan Seminar dan Bengkel Pembangunan Rekreasi Luar Kebangsaan pada 20 hingga 22 Disember lalu.

Pengarah Rekreasi Kementerian Belia dan Sukan, Aziz Abdul Rahman berkata, industri pelancongan berasaskan cabaran ekstrem sekiranya dirancang dan diuruskan dengan baik berupaya menjana sumber ekonomi kepada pihak kerajaan, pengusaha-pengusaha swasta dan juga masyarakat setempat.

"Tambahan pula, ia juga berperanan sebagai satu faktor penting kepada usaha-usaha pemuliharaan budaya dan alam sekitar.

"Aktiviti-aktiviti pelancongan rekreasi yang dipraktikkan masa kini semakin diminati ramai sehingga ia mampu melahirkan jurulatih yang bertauliah dan ahli rekreasi yang mencipta nama di persada dunia," jelas Aziz.

Beliau berkata, industri rekreasi kini bukan lagi sekadar aktiviti meredah hutan semata-mata sebaliknya melibatkan pelbagai aktiviti di air, darat dan udara.

"Berikutan peningkatan pembabitan masyarakat dalam sukan tersebut yang menjadi salah satu penyumbang kepada industri sukan negara, KBS kini menyasarkan untuk melahirkan lebih ramai jurulatih rekreasi yang bertauliah.

"Setiap daripada jurulatih itu akan diuji hingga ke tahap tiga yang melibatkan pelbagai aspek dalam pengetahuan dan keselamatan bagi aktiviti rekreasi seperti darat, air dan udara.

"Secara langsung ia menjadi medan terbaik dalam menguji tahap kepimpinan, ketahanan mental dan fizikal mereka," katanya ketika ditemui pada seminar itu.

Setiap daripada jurulatih tahap tiga yang dilahirkan turut mendapat pengiktirafan dari mana-mana syarikat swasta atau agensi kerajaan.

Selepas menamatkan kursus tahap tiga, mereka boleh kendalikan pelbagai program seperti meredah hutan, perkhemahan, aktiviti bertali dan lain-lain.

Malah ramai jurulatih yang dilahirkan kini bertugas sebagai jurulatih di Pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), pemandu pelancong alam semulajadi atau di Pusat Kokurikulum di bawah Kementerian Pelajaran.

Walaupun industri rekreasi semakin berkembang, ia masih kekurangan promosi secara besar-besaran.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja aktiviti pendakian dijalankan tetapi promosi tidak dilakukan secara besar-besaran," kata Aziz.

"Aktiviti rekreasi ini kini semakin mendapat sambutan dan ia perlu dipromosikan secara lebih meluas.

"Contohnya apabila kami buat kursus di peringkat negeri sambutan yang diberikan amat menggalakkan kerana setiap penyertaan kami hadkan kepada 40 peserta tetapi yang datang lebih daripada jumlah tersebut.

"Bagi mereka yang berminat untuk menyertai kursus ini bolehlah mendaftarkan diri di pejabat-pejabat kementerian peringkat negeri atau daerah.

"Selain itu, mereka juga boleh menyertai pelbagai persatuan di peringkat negeri atau persendirian untuk mengikuti pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan,'' jelas Aziz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: