Wednesday, January 11, 2012

Lima prinsip Airman of The Year


(DARI kiri) Mohamad Lokhman Abdul Jabar, Azmi Bakar dan Norafiszal Sabuan.


INTEGRITI, keberanian, kecemerlangan, setiakawan dan mengutamakan perkhidmatan. Demikian prinsip teras yang didukung tiga anggota lain-lain pangkat Tentera Udara Malaysia (TUDM) sehingga membolehkan mereka memperoleh anugerah Airman Of The Year baru-baru ini.

Mereka ialah Pegawai Waran I Azmi Bakar, Sarjan Mohamad Lockman Abdul Jabar dan Koperal Norafiszal Sabuan.

Kelima-lima nilai tersebut telah memberi inspirasi dan dorongan untuk mereka menjalankan tanggungjawab sehingga menjadi model anggota tentera terbaik dan dicontohi ramai.

"Tiada apa yang mustahil dalam kita menjalankan sesuatu tanggungjawab, kita cuma perlu mengikut lima prinsip tersebut sebagai garis panduan.

"Melalui lima prinsip itu segala tugasan bertambah mudah, kita akan lebih bermotivasi untuk berkorban demi TUDM. Dalam masa sama, kita juga dapat menarik warga TUDM yang lain untuk mencontohi gerak kerja kita," ujar Azmi ketika ditemui selepas menerima lencana anugerah Airman of The Year di Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Kata jurutera pengawasan udara itu, penting bagi seseorang warga TUDM diberikan anugerah sedemikian agar prestasi dan inovasi dalam cara bekerja terutama melibatkan kerja berpasukan dan dalam tekanan meningkat.

Azmi yang telah berkhidmat selama 22 tahun dengan TUDM menambah, sepanjang perkhidmatannya, beliau tidak mempunyai rekod disiplin dan sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan sekerja.

Orang pertama mengikuti kurikulum kursus Sekolah Kawalan Pertahanan Udara di Institut Latihan Pengurusan Ruang Angkasa (Inspra) itu berkata, beliau turut tidak lokek menyumbangkan idea-idea yang bernas bagi memperbaiki mutu kerja dalam pasukannya.

"Secara keseluruhannya, panel pemilihan menyifatkan saya sebagai calon yang layak untuk dijadikan contoh kepada anggota-anggota lain kerana kecemerlangan intelektual dan prestasi kerja yang baik," katanya.

Sementara itu, Mohamad Lockman pula menganggap komitmennya terhadap pasukan itu yang tidak berbelah bahagi melayakkan beliau meraih anugerah tersebut.

Penerima Anugerah Penuntut Terbaik Latihan Asas Komando Siri Ke-3 2002 itu berkata, penghargaan terhadap pengiktirafan tersebut juga perlu diberikan kepada isteri dan empat orang anaknya yang memahami kerjayanya sebagai seorang anggota tentera.

Sebagai warga TUDM, anggota Pasukan Khas Udara (Paskau) yang merintis kursus tempur jarak delat (CQB) di United Kingdom (UK) itu menjelaskan, seseorang anggota perlu menonjolkan potensi mereka dengan mengikuti pelbagai kursus bagi memantapkan aspek ketenteraan dalam diri masing-masing.

Beliau yang turut menjadi perintis dalam penubuhan Pasukan Antirampasan Pesawat Paskau (UPARPP) memberitahu, anugerah berprestij tersebut diharap dapat dijadikan batu loncatan bagi anggota sepertinya menaikkan imej pasukan tersebut.

"Penglibatan saya dalam misi menyelamat 23 anak kapal MT Bunga Laurel selepas dua jam ditawan lanun, kira-kira 300 batu nautika di timur Oman Januari tahun lalu merupakan pencapaian peribadi terbaik saya.

"Segala pengalaman tersebut menjadi faktor pelonjak prestasi saya. Justeru, anugerah ini membawa makna yang besar dalam kehidupan saya dan keluarga saya,'' katanya.

Norafiszal pula berkata, sifat bertanggungjawab dan komitmen dalam menjalankan tugas berkenaan komputer dan teknologi maklumat membolehkan beliau dipilih menerima anugerah itu.

Menurut anggota pertukangan enjin Pasukan No. 11 Skuadron Sukhoi itu, selain mendapat kepujian dalam kursus yang diikutinya, beliau sentiasa menawarkan diri untuk mengikuti kursus-kursus kerana percaya ilmu adalah penting dalam kehidupan seseorang pekerja teknikal seperti beliau.

"Melalui keghairahan mencari ilmu ini, saya secara tidak langsung mempamerkan semangat yang positif untuk maju ke hadapan.

"Ia turut menjadikan saya seorang anggota yang berkeyakinan dan mempunyai keazaman yang tinggi," kata beliau.

Sementara itu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, anugerah berprestij tersebut merupakan insentif TUDM kepada warganya yang memiliki kualiti kepimpinan, tahap kemahiran dan kecekapan yang tinggi dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.

"Sebagai Airman of the Year, mereka wajar dijadikan pemangkin kepada seluruh warga untuk terus bersaing bagi mencapai prestasi tertinggi yang secara langsung akan menyumbang kepada pembangunan modal insan TUDM," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: