TIADA siapa menyangka penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011, Mohammad Rizan Hassan mempunyai sisi gelap masa lampaunya.
Bertempat di sebuah kolej swasta di Kajang, Selangor, baru-baru ini dia mendedahkan rahsia kehidupannya bagi dijadikan renungan.
Pengarah Pembangunan Perniagaan, Tekat Auto Terminal Training ini sederhana sahaja penampilannya. Malah, baju kot yang digantung di pejabatnya sudah beberapa tahun tidak digunakan.
“Saya berasal dari Larkin, Johor Bahru. Saya anak kedua daripada enam adik-beradik. Ayah bekerja mengambil upah membina rumah manakala ibu bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji sebanyak RM300 sahaja sebulan.
Kongsi gelap
“Kehidupan kami berlegar di rumah setinggan di Kampung Bahagia, Larkin. Setiap hari saya terpaksa mengangkut air menggunakan baldi daripada sebuah perigi yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah kami,” ujar Rizan.
Pada masa itu, hidup mewah dan makanan sedap tidak ada dalam kamus hidupnya.
Menurut Rizan, menu seharian keluarganya ialah bubur kacang manakala nasi dan ikan goreng mungkin sebulan sekali atau pada hari tertentu sahaja boleh dinikmati.
“Saya juga terpaksa tunggu bas sekolah padat dengan pelajar sebelum menaikinya bagi mengelak daripada membayar 30 sen tambang bas,” cerita Rizan.
Mungkin kerana kesempitan hidup, Rizan mula berfikiran jahat.
“Tidak lama selepas itu, saya mula belajar mencuri dan mengugut orang bagi mendapatkan wang,” katanya.
Kata Rizan, dia sering mencuri buku rujukan, nota serta baju sukan di kedai buku dan pasar raya.
“Saya dikenali dengan nama toyol oleh rakan-rakan sekolah kerana licik mencuri tanpa dapat dikesan selama bertahun-tahun.
“Saya akan menggunakan sendiri barang-barang curi itu. Namun, banyak juga yang dijual semula kepada pelajar lain. Saya boleh mendapat ratusan ringgit sebulan dengan menjual barang-barang curi,” ujarnya.
Selepas memasuki sekolah menengah, tabiat buruk Rizal semakin menjadi-jadi. Dia berani mencuri aksesori kereta dan motosikal pula.
“Saya membentuk kumpulan sendiri dengan lebih 10 orang ahli yang semuanya sebaya. Lokasi aktiviti kami ialah di Johor Bahru.
“Alat yang kami gunakan untuk mencuri motosikal dan skuter ialah kunci pendua dan dawai. Selepas itu, kami mengangkut semua kenderaan itu menggunakan van. Dalam sehari kami boleh mencuri di antara lima hingga 10 buah motosikal,” kata Rizan.
Lelaki bujang ini turut mengakui dia pernah terlibat dengan pengedaran dadah, pergaduhan dan peras ugut.
“Selalunya kumpulan kami akan bergaduh dengan kumpulan lain semasa sambutan tahun baharu dan Hari Kemerdekaan negara.
“Jika tidak puas hati dan kalah dalam pergaduhan itu, kami akan bergaduh semula pada sambutan hari berkenaan pada tahun hadapan,” ceritanya.
Aktiviti jenayah Rizan tidak berhenti begitu sahaja. Dia yang sememangnya kaki ponteng tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pada tahun 1993, semasa berumur belasan tahun lagi, Rizan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Di kota besar itu dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti konduktor bas, penghantar surat dan pelayan restoran. Namun, dia akhirnya terjebak dengan kumpulan kongsi gelap di Bukit Bintang.
Insaf
“Saya ditugaskan oleh ketua kongsi gelap itu untuk menjaga pelacur dari Uzbekistan. Pada masa itu, aktiviti pelacuran kurang melibatkan pelacur dari China.
“Bayaran untuk sekali perkhidmatan pelacur itu ialah RM500. Saya turut menguruskan kemasukan mereka menggunakan pas lawatan sosial dan pelajar,” ujar Rizan yang berbadan besar dan tegap.
Rizan menjelaskan, kebanyakan gadis Uzbekistan mempunyai rupa paras yang menawan tetapi dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan mereka teman wanita.
“Pendapatan cukup mewah iaitu sehingga RM5,000 sehari. Tetapi duit haram sememangnya tidak pernah cukup apatah lagi memberi ketenangan,” akui Rizan.
Bak kata pepatah, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Rizan tertangkap selepas dia terlibat dalam satu pergaduhan di Kampung Keramat yang berpunca daripada teman wanita seorang rakan gengsternya.
“Saya dibelasah oleh lebih 10 orang. Rakan saya itu awal-awal lagi melarikan diri. Tidak lama selepas itu polis datang untuk meleraikan pergaduhan.
“Sebenarnya saya disabitkan kesalahan kerana menggunakan kereta curi dan bukan pergaduhan itu,” katanya.
Dia yang pada ketika itu berusia 17 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka selama dua tahun. Tekad untuk berubah menyebabkan Rizan bekerja bersungguh-sungguh di sebuah kilang elektronik di Johor Bahru.
“Saya bekerja 365 hari setahun tanpa bercuti dan bekerja 12 jam setiap hari.
“Kesungguhan dan kerajinan saya menyebabkan pengurus kilang itu menghantar saya menjalani latihan dalam bidang mekatronik di Jepun selama tiga tahun,” ujarnya.
Sebaik sahaja pulang, Rizan ditawarkan bekerja sebagai jurutera yang mengesan dan membaiki kerosakan sistem elektronik jentera di kilang-kilang milik usahawan Jepun di negara ini.
Pendapatan Rizan agak lumayan iaitu di antara RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.
Namun, beliau ingin membantu remaja bermasalah kerana tidak mahu mereka terus hanyut dengan kehidupan yang sia-sia dengan menubuhkan Kolej Tekat di Kajang, Selangor.
“Pelajar Kolej Tekat kebanyakannya remaja yang pernah terlibat dengan masalah juvana seperti bergaduh, mencuri dan merompak.
“Syukur sebanyak 90 peratus daripada mereka mendapat pekerjaan dan ada yang menjadi usahawan dengan membuka bengkel kereta sendiri,” katanya.
Ketika ditanya adakah beliau tidak ingin berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, jawab Rizan: “Banyak dosa telah saya lakukan. Kini saya hanya ingin memajukan lagi Kolej Tekat dan mengubah lebih ramai remaja bermasalah.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: