Thursday, January 19, 2012

PDRM harungi cabaran 901 dengan jaya


Demi tanggungjawab anggota polis yang bertugas hanya sempat menjamah makanan yang dibungkus.


HARI Isnin, 9 Januari lalu meninggalkan beberapa rentetan peristiwa di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, malah mungkin akan terus menjadi topik perbualan bagi beberapa minggu akan datang atau menjadi sejarah dari satu generasi ke generasi.

Pelbagai kisah dan cerita berbeza boleh didengar, dibaca dan dikongsi mengikut pengalaman dan tujuan mereka yang hadir ke kompleks berkenaan pada hari tersebut.

Bagi yang hadir sebagai peserta perhimpunan mungkin akan bercerita perasaan gembira selepas keputusan mahkamah memihak pemimpin yang disanjung.

Wakil media pula akan bercerita dari sudut cabaran mendapatkan berita paling sensasi berbanding keputusan mahkamah, seperti laporan berita mengenai tiga letupan ketika perhimpunan itu.

Dalam usaha pihak berkuasa menjejak individu bertanggungjawab, pelbagai spekulasi dan tohmahan dilemparkan terhadap kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dikaitkan dalam insiden tersebut.

Agak mengecewakan kerana di sebalik semua tohmahan negatif itu, jasa PDRM ibarat dilupakan orang ramai, sedangkan mereka telah mencipta kejayaan dalam memastikan perhimpunan itu berlangsung secara aman tanpa kejadian tidak diingini.

PDRM telah membuat persiapan rapi, melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bertugas 24 jam tanpa mengenal erti penat lelah.

Di bawah semangat Akta Perhimpunan Aman 2011, tiada tindakan agresif, tiada gas pemedih mata, tiada kekasaran serta tangkapan walaupun wujud provokasi pihak peserta perhimpunan, meskipun ketika berlangsung perhimpunan, kumpulan peserta dilihat melanggar 10 terma yang ditetapkan pihak berkuasa sebelum itu.

Puluhan media asing yang ditugaskan membuat liputan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pasti ada persepsi baru dan kagum melihat kesabaran dan ketegasan pihak PDRM sepanjang perhimpunan.

Segala tohmahan mengenai keganasan pihak polis berjaya ditepis dengan kawalan keselamatan yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan.

Penugasan yang sistematik kepada setiap anggota dan pegawai juga pendorong kepada kelancaran kawalan perhimpunan itu walaupun ada segelintir peserta perhimpunan bersikap liar ketika berdepan dengan pasukan PDRM.

"Ia bukan satu tugasan yang mudah. Alhamdulillah, kita berjaya mengharunginya dan apa yang penting ketenteraman awam terjamin dan tidak timbul kekacauan," kata Zakaria.

Tambah Zakaria, tanggungjawab yang digalas bermula sejak tengah malam 8 Januari hingga semua peserta perhimpunan beredar dari tempat letak kenderaan yang dikhaskan untuk berhimpun.

Beliau turut memuji komitmen dan semangat berpasukan pegawai dan anggotanya kerana berjaya mengawal keadaan dengan sebaiknya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut memuji komitmen dan kerja kuat seluruh pasukan PDRM dalam membuat persiapan yang keseluruhannya telah berjaya mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

"Pendekatan kita di bawah semangat akta perhimpunan baru (Akta Perhimpunan 2011) juga menampakkan hasil di mana anggota kita amat memahami dan berjaya mengikut pendekatan baru ini," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Selepas berakhirnya perhimpunan itu, orang ramai pulang dengan reaksi berbeza, persepsi berbeza, tiada kekecohan, tiada pertelingkahan.

Dalam erti kata lain tiada isu untuk diceritakan seperti sebelum-sebelum ini. Cuma yang tinggal sampah sarap yang memenuhi kawasan perhimpunan.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, kebijaksanaan pasukan polis harus dipuji walaupun berhadapan dengan tekanan dan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Polis ada cara tersendiri untuk menjalankan tugas hakiki yang diamanahkan dan ini terbukti apabila mereka berjaya mengawal keadaan perhimpunan itu.

"Tindakan itu juga membuktikan pasukan keselamatan mampu menyelesaikan masalah melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman awam dengan bijaksana," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: