Polis buru anggota Geng Mamak lolos

KUALA LUMPUR – Polis sedang menjejaki seorang lelaki dipercayai anggota Geng Mamak yang berjaya meloloskan diri, selepas terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Persiaran Pertahanan, Taman Melati, di sini, 11 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, suspek dikenali sebagai Emiezul Al Ikram Mohamed Ikram, 31, berkulit cerah, berbadan gempal dan mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter.

“Kita harap orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat berhubung suspek dapat tampil ke balai polis atau menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, 03-21159999 bagi membantu siasatan,” katanya semalam.

Pada kejadian lalu, tiga penjenayah menaiki kereta jenis Proton Putra, berbalas tembakan, sebelum dua daripada mereka maut, selepas terbabas dan merempuh kereta dinaiki seorang wanita hamil.

Dua suspek maut adalah saki baki Geng Mamak yang aktif melakukan samun dan rompak di sekitar Lembah Klang, serta dikesan memiliki pelbagai rekod kesalahan lampau.

Dalam perkembangan lain, Mohmad berkata, pihaknya memperoleh beberapa petunjuk berhubung siasatan kes tembak dan langgar seorang lelaki di Taman Desa Waterpark, Brickfields, 11 Januari lalu.

“Beri polis masa untuk kenal pasti suspek. Kita harap saksi kejadian dapat tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian didapati rosak dan menyukarkan siasatan yang dibuat.

Dalam kejadian baru-baru itu, seorang mangsa berusia 35 tahun cedera ditembak di bahu kiri, dikejar sejauh 300 meter, sebelum dirempuh sebuah kereta dipercayai oleh individu yang menembaknya.

Polis percaya motif kejadian ada kaitan dengan masalah hutang dan perjudian sehingga mengheret kepada pembunuhan.