Thursday, January 19, 2012

Gabungan sepadu mantapkan pertahanan maritim sabah


Komander ATB 2, Brig. Jeneral Mohd. Ezam Wan Chik (tengah); Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Maritim Mohd. Taha Ibrahim (kiri) dan Deputi Supritendan Zulkifli Harun dari Unit Udara Polis selepas majlis menandatangan kerjasama bagi melaksanakan OSB di perairan Sabah baru-baru ini.


SABAH merupakan negeri yang mempunyai lingkungan maritim paling panjang dalam Malaysia dan amat terkenal dengan pulau-pulau peranginan yang indah.

Faktor keindahan pulau dan perairannya menjadikan lokasi seperti Pulau Sipadan, Kapalai Resort dan Pulau Lankayan sebagai lokasi yang mesti dikunjungi oleh kaki selam.

Namun insiden penculikan pada tahun 2000 yang melibatkan insiden pertama di Pulau Sipadan dan disusuli insiden kedua di Pulau Pandanan, memaksa kerajaan untuk memperkasakan sistem keselamatan dan pertahanan di perairan Pantai Timur Sabah.

Dengan keluasan lingkungan maritim yang bersempadan dengan perairan Filipina di timur dan dengan Indonesia di selatan, ditambah pula dengan jajaran pulau-pulau tidak berpenghuni di sepanjang sempadan, pelbagai agensi keselamatan diaturgerakkan.

Antara agensi terawal diaturgerakkan ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melaksanakan Op Pasir (Pandanan & Sipadan Island Resort), dengan penugasan melibatkan Tentera Darat yang menduduki dan berkawal di pulau dan pesisir, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaksanakan rondaan maritim dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan rondaan udara.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengaturgerakkan batalion-batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) ke pulau dan pesisir pantai bagi melaksanakan Op Tayang manakala Pasukan Gerakan Marin (PGM) melaksanakan rondaan di perairan.

Pengawasan udara turut mendapat bantuan daripada Unit Udara Polis. Selain itu, pelbagai agensi yang berkaitan maritim beroperasi di perairan dengan tugasan yang berbeza.

Antaranya ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Jabatan

Perikanan. Sejak 2005, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menjadi agensi pelaksana operasi di perairan terlibat.

Bertitik tolak dari kepelbagaian agensi yang beroperasi di perairan khususnya di Pantai Timur Sabah, bermula dari Kudat hingga ke Tawau, sedikit sebanyak menimbulkan pertindihan kuasa dan tugas antara agensi tersebut.

Ekoran itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui MKN Negeri Sabah, mengambil inisiatif untuk menggabungkan kesemua agensi maritim terlibat dalam satu operasi yang dinamakan Op Setia Bersepadu (OSB).

Operasi itu selain untuk menjalinkan persefahaman dan kelancaran penugasan, ia juga bertujuan meningkatkan kerjasama di antara pelbagai agensi penguat kuasa maritim.

OSB Siri Pertama dilancarkan pada 2009 yang melibatkan tiga agensi iaitu ATM, PDRM dan Maritim Malaysia. Namun, bagi OSB Siri 2/2011 yang dilaksanakan mulai 14 November sehingga 23 November lalu, tiga lagi agensi iaitu Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen turut dilibatkan.

Walaupun penglibatan sesetengah agensi tersebut dalam skala yang kecil, kerjasama di antara enam agensi tersebut membuktikan kesungguhan untuk bersama-sama mempertahankan kedaulatan dan memperkasakan keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah.

Bagi OSB Siri 2/2011, ia menumpukan perairan Kudat sebagai kawasan tanggungjawab operasi. Pemilihan itu bersandarkan pada beberapa insiden rompakan laut yang sering dilaporkan berlaku di kawasan itu dan menjadikannya sebagai lokasi hot spot.

MK Kawalan yang ditubuhkan di Kem Sri Kudat memainkan peranan penting dalam mengaturgerakkan aset-aset yang terlibat dalam operasi tersebut.

Antara aset yang terlibat ialah dua buah kapal ronda TLDM, dua buah kapal ronda Maritim Malaysia, sebuah bot perantas milik KDRM dan bot tempur CB90 di bawah TLDM.

Unit khas bot pemintas yang merupakan aset laut kepada MK Angkatan Tugas Bersama 2, juga mengambil bahagian.

Pelancaran OSB 2/2011 telah dilaksanakan pada 17 November di KemSri Kudat manakala upacara pelepasan atau flag off disempurnakan di jeti Pelabuhan Kudat.

Kedua-dua acara dilaksanakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Ketika berucap merasmikan operasi itu, beliau berkata, kerjasama erat semua agensi penguatkuasaan yang mengambil bahagian dalam operasi itu akan memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat maritim di negeri Sabah.

Dalam pelaksanaan operasi tersebut, kesemua aset maritim dibahagikan kepada dua komponen Gugusan Laut yang bertindak dalam kawasan melingkungi Kudat Timur Laut dan Kudat Utara.

Setiap Gugusan Laut mengandungi aset TLDM dan Maritim Malaysia yang diletakkan untuk beroperasi secara bersama dan bagi agensi yang tidak melibatkan aset maritim, iaitu Jabatan Perikanan dan Jabatan Imigresen pula, penguat kuasanya ditempatkan di atas setiap kapal yang terlibat.

Sepanjang operasi itu juga, sebanyak 80 nelayan telah diperiksa oleh agensi terlibat.

Operasi itu juga dapat meningkatkan tahap keyakinan penduduk dan pelancong khususnya terhadap kemampuan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatannegara dalam mengawal kawasan perairan Pantai Timur Sabah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: