Thursday, January 12, 2012

Duda ditinggal isteri mati dibunuh


ANGGOTA polis memeriksa mayat Pau Soon (gambar kecil) yang ditemui mati dibunuh di Taman Peringatan Melaka, Sungai Putat, Batu Berendam semalam.


MELAKA – Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di kepala dan kelar di leher di pintu pagar masuk ke Taman Peringatan Melaka di Sungai Putat, Batu Berendam di sini semalam.

Mayat Siah Pau Soon, 35, ditemui pada pukul 8.30 pagi oleh seorang pekerja pejabat Taman Peringatan itu ketika dia mahu masuk ke tempat kerja melalui pintu pagar berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman berkata, polis yang memeriksa mayat tersebut menemui identiti mangsa bersama beberapa barang peribadinya termasuk sejumlah wang yang tidak diusik.

“Mangsa mati dibunuh dan polis menemui beberapa kesan tikaman pada leher dan kepala mangsa,” kata beliau di sini semalam.

Menurut beliau, motif pembunuhan belum diketahui tetapi polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya di campak ke Taman Peringatan itu.

Pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui seutas dawai berhampiran mayat mangsa.

Sementara itu, seorang pekerja di Taman Peringatan yang enggan dikenali berkata, dia terkejut apabila menemui mayat lelaki dalam keadaan berlumuran darah di tepi jalan pintu pagar masuk ke taman itu.

“Saya yang melihat mayat itu terus masuk ke pejabat Taman Peringatan dan menghubungi polis,” kata lelaki itu ketika temui semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: