Saturday, January 7, 2012

Misi Citroen C4



APA yang anda ingat dengan jenama Citroen? Saya secara peribadinya pernah meminati Citroen menerusi model hatchback ZX yang dihasilkan sekitar tahun 1991 hingga 1998.

Bagi saya, ZX mempunyai rekabentuk yang kemas dan kualiti pengendalian yang bagus. Tipikal sebuah jentera buatan Eropah. Walaupun cuma menggunakan sistem suspensi torsion beam pada roda belakangnya, teknologi passive rear wheel steering yang ada padanya membuatkan sesiapa pun tidak perlu bimbang ketika mengambil selekoh.

Walaupun harga model terpakainya cukup murah, faktor utama yang membuatkan saya tidak berani untuk memilikinya adalah bukan semua mekanik tahu membaikinya. Jadi, impian itu terpaksa dikuburkan begitu sahaja.

Itu cerita lama. Citroen selepas zaman ZX tidak ketinggalan menawarkan beberapa model moden demi memastikan namanya terus wujud dalam pasaran. Sebagai contoh, pengguna di negara ini ada ditawarkan dengan model-model seperti Citroen Xsara, C4 Grand Picasso, C5 dan C6.

ZX ditamatkan pengeluarannya pada tahun 1998 dan diganti dengan model Citroen Xsara. Apa kaitannya dengan model yang dipaparkan pada minggu ini? Inilah model yang menggantikan kedua-dua model tersebut, Citroen C4 serba baharu.

Di Malaysia, jenama Citroen dinaung oleh Brooklands Motors Sdn. Bhd. (BMSB) sejak tahun 2004. Saya harus tabik spring dengan BMSB. Sebabnya, walaupun jumlah jualan kenderaan Citroen tidaklah semeriah jenama Eropah yang lain, namun ia tetap komited untuk memberi pilihan kepada peminat jentera dari Barat, terutama Citroen.

BMSB menamatkan tahun 2011 dengan penuh harapan menerusi pengenalan model C4. Lebih menarik lagi, hatchback itu dipertontonkan kepada media dan orang ramai di ibu pejabat dan pusat 3S baharunya di Petaling Jaya, Selangor.


RUANG kabin C4 yang mementingkan keselesaan menerusi ruang penyimpanan barang, tombol gear sporty dan tempat duduk bersalut kulit berkualiti tinggi.


Langkah itu nyata membuktikan bahawa Citroen akan terus bersaing dalam pasaran tempatan yang semakin tidak dimonopoli oleh kereta Jepun. Jika dilihat dari segi kelasnya, Citroen C4 bersaing dengan model-model hatchback Eropah yang lain seperti Ford Focus, Peugeot 308 dan Volkswagen Golf.

Andai dilihat pada takat harga yang ditawarkan iaitu RM125,000 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), Citroen berada di antara Peugeot 308 dan Volkswagen Golf.

Justeru, untuk menarik perhatian, Citroen harus ada formula untuk membuatkannya ‘meletup’ di pasaran.

Formula itu mungkin boleh dilihat dari segi ciri-ciri yang ada padanya. Kalau hendak bergantung kepada penampilan semata-mata mungkin agak sukar kerana ia bersifat subjektif. Namun, bagi saya, rupa C4 sudah lulus untuk menjadi sebuah hatchback yang mampu membuatkan orang ramai menoleh ke arahnya.

Baiklah. Dari segi prestasi, jentera itu menggunakan khidmat unit enjin baharu yang dibangunkan bersama antara pihak PSA dan BMW. Bersesaran 1.6 liter, enjin petrol dengan sistem pendesak turbo itu didakwa berupaya menghasilkan kuasa maksimum sehingga 156bhp dan tork puncak 240Nm.

Transmisi EGS

Mengaplikasikan sistem pacuan roda hadapan, kuasa enjin tersebut disalurkan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan EGS (Electronic Gearbox System). Merupakan transmisi baharu binaan Citroen, sistem kawalan elektro-hidrolik yang ada pada EGS membolehkan gear ditukar dengan lancar dan pantas dalam nisbah gear yang luas.

Ia juga menjimatkan pengunaan minyak di antara tiga hingga lima peratus berbanding transmisi manual konvensional. EGS dilihat sebagai alternatif sebenar terhadap kotak gear manual dan automatik. Bukan sahaja dari segi pemanduan dan keselesaannya, malah harganya juga berpatutan.

Kombinasi enjin dan EGS memungkinkan C4 memecut sehingga 212 kilometer sejam (km/j). Kelajuan dari 0 hingga 100km/j hanya memerlukan 9.6 saat. Pasti ia mampu memuaskan hati mereka yang tidak tahu untuk memandu perlahan. Di sebalik semua angka itu, Citroen mendakwa penggunaan minyak C4 adalah sekitar 6.4 liter bagi setiap 100km dengan emisi C)2 cuma 148 gram untuk satu kilometer.


Paparan meter yang elegan dengan lampu latar berwarna biru.


Prestasi harus diseimbangkan dengan aspek keselamatan. Sudah mendapat penarafan lima bintang dalam ujian Euro NCAP, tiada apa lagi yang perlu anda ragukan. Penarafan tertinggi itu banyak disumbang oleh pelbagai ciri keselamatan misalnya sistem pemantauan titik buta. Menggunakan empat alat pengesan yang dipasang pada bampar, ia memberi amaran kepada pemandu mengenai kenderaan yang datang dari arah belakang.

Sementara sistem ESP pula memastikan jentera melekat di atas jalan raya setiap kali mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Pemanduan pada waktu malam juga pasti lebih meyakinkan apabila lampu utamanya turut membelok setiap kali kereta bertukar arah.

Pendek kata, saya percaya bahawa sesiapa yang memiliki Citroen C4 ialah mereka tidak suka sama dengan orang lain, selain tahu menghargai kemampuan sebuah hatchback sebenar.

Selain C4, BMSB turut memperkenalkan model DS4. Sebagaimana yang diketahui, DS merupakan subjenama yang dicipta oleh Citroen untuk barisan model premiumnya. DS4 sebenarnya berasaskan kepada model C4, tetapi diberikan penggayaan yang jauh lebih dramatik.

DS4 menggabungkan gaya sebuah coupe dengan praktikaliti pintu 2+2. Mementingkan keselesaan penumpangnya, ia hadir bersama tempat duduk belakang bersaiz penuh. Aksesnya adalah menerusi hendal pintu belakang yang tersembunyi dan diintegrasi dengan bijak pada garis sisi tubuhnya.

Sama seperti C4, model tersebut dipasang dengan enjin hasil kerjasama antara PSA dan BMW. Dua pilihan enjin diberi. Enjin THP 155 atau enjin baharu THP 200 yang dapat menjana kuasa sehingga 202hp dan tork 275Nm @ 1,700Nm.


CITROEN DS4 diundi sebagai kereta paling cantik oleh 60,000 peminat tegar kereta dari seluruh dunia.


Enjin THP 155 dipadankan dengan transmisi EGS enam kelajuan. Sementara enjin THP 200 pula dipasangkan bersama kotak gear manual enam kelajuan. Prestasi itu diseimbangkan dengan bermacam-macam sistem keselamatan.

Antaranya ialah brek cakera ventilasi bersaiz 340mm sebagai ciri standard yang disertakan dengan sistem kawalan brek ABS, Electronic Brakeforce Distribution (EBD) dan Emergency Brake Assist (EBA). Tidak cukup? Kawalan cengkaman ESP juga disediakan.

Saya tidak tahu kalau anda boleh kata DS4 tidak cantik. Sebabnya, kereta itu telah diundi sebagai The Most Beautiful Car of the Year dalam satu pertandingan yang mengumpulkan pendapat 60,000 peminat tegar kereta dari 62 buah negara di seluruh dunia. Anugerah itu dipersembahkan sewaktu Festival Automobil Antarabangsa ke-26 yang berlangsung di Paris, Perancis pada Januari 2011.

Berminat? DS4 dijangka memasuki pasaran pada Februari 2012 dan ditawarkan pada harga RM150,000 seunit (tidak termasuk caj-caj lain). Ia hadir bersama jaminan kilang selama tiga tahun atau perbatuan sehingga 100,000 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: