|
ALUNAN lagu instrumental Bali yang mengasyikkan serta aroma herba yang menyegarkan memenuhi ruang yang sedang diduduki lelaki itu.
Dia memerhatikan seorang wanita di hadapannya yang sedang leka memicit-micit kaki kanannya dengan menggunakan sejenis minyak khas berbau harum. Sesekali dia mengeluh menahan rasa sakit apabila tekanan jari ahli terapi itu tepat mengena bahagian tertentu.
Sememangnya, sejak beberapa hari yang lalu kaki Shamsul Ahmad, 41, sering berasa kebas terutama selepas berjalan jauh.
"Kakinya sudah dimasuki angin. Kena tekan kuat sikit untuk pecahkan angin-angin dalam urat, barulah peredaran darah lancar," kata wanita itu dalam loghat Indonesia pekat, menyebabkan Shamsul hanya mampu menganggukkan kepala.
Selesai mengurut kaki, jari-jemari wanita itu beralih pula ke bahagian badan dan kepala. Shamsul membiarkannya, lagi pun itulah tujuannya ke Jari Spa, pusat kesihatan dan spa yang terletak di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas pada petang itu.
Apa yang pasti, selepas dua jam diurut dia dapat merasai perbezaannya. Rasa kebas di kakinya sudah hilang malah, Shamsul merasakan tubuhnya semakin ringan, segar dan bertenaga.
Bagi ahli perniagaan yang berasal dari Gombak itu, dia begitu selektif dan hanya memilih pusat urut yang menawarkan perkhidmatan berkualiti dan terbaik untuk pelanggan.
Ujar Shamsul, proses urutan sedikit sebanyak dapat melegakan kesakitan dan sengal pada sendi yang sering dihadapi golongan sebaya sepertinya.
Tambahnya, kesibukan menguruskan perniagaan dan sering keluar daerah untuk bertemu pelanggan menyebabkan dia kurang aktif untuk bersukan atau beriadah.
"Dahulu saya aktif dalam sukan taekwando namun, selepas cedera saya terus berhenti. Mungkin itu puncanya menyebabkan otot-otot sering tegang dan kebas.
"Pada masa yang sama, gaya hidup yang tidak lagi aktif menyebabkan badan sering lesu kerana perjalanan darah di dalam tubuh tidak lagi selancar dahulu.
"Justeru, urutan merupakan alternatif terbaik bagi tujuan itu. Saya memilih urutan Bali kerana sentuhan jemari pada titik-titik tubuh sangat berkesan untuk merawat dan mengembalikan kesegaran tubuh," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jari Spa, Ayu Roslan berkata, rutin hidup yang sibuk dan lasak menyebabkan banyak urat dan bahagian anggota tubuh tertentu mengalami tekanan seterusnya menyebabkan rasa sakit atau letih.
Rejim kesihatan dan kecantikan
Maka, amalan urutan secara tradisional boleh membantu melembutkan tekanan pada urat dan aliran darah dapat mengalir lebih lancar.
Ayu menjelaskan, sebelum membuka perniagaan itu kira-kira setahun lalu, dia sendiri merupakan seorang yang obses terhadap urutan dan menjadikannya sebahagian daripada rejim kecantikan dan kesihatan dirinya.
Ujarnya, bermacam-macam teknik urutan yang telah dicubanya dari urutan tradisional Melayu, Bali, Thai, Sweden, Cina dan aromaterapi. Masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Urutan Thai misalnya, lebih releks seperti melakukan yoga, urutan Cina bermain dengan jari-jemari di bahagian buku lima dan tapak tangan, manakala urutan tradisional Melayu pula bertindak memecahkan urat-urat saraf yang bengkak dan memastikan kelancaran bendalir dalam badan.
"Bagaimanapun, saya lebih menggemari urutan Bali kerana ia menggabungkan kesemua teknik urutan dengan tekanan jari terhadap titik-titik tubuh badan untuk melegakan kesakitan atau menyegarkan tubuh badan," katanya.
Ayu memberitahu, perkhidmatan spa selalunya memberikan empat manfaat utama kepada pelanggan iaitu meningkatkan kesihatan, menenangkan diri, membersihkan jiwa dan memberikan suasana romantik.
Katanya, selain menjaga kecantikan wajah, seseorang perlu memberi perhatian yang sama kepada kesihatan anggota badan yang lain.
"Di Jari Spa, kami menawarkan pelbagai jenis urutan untuk semua peringkat usia, jantina dan keperluan tubuh badan di samping khidmat rawatan spa seperti stim, jakuzi, skrub dan sebagainya.
|
|
"Tidak salah apabila seseorang berbelanja mendapat rawatan badan asalkan ia mampu menjamin kecantikan dan kesihatan mereka untuk jangka masa panjang," katanya yang memberitahu Jari Spa turut mempunyai cawangan di Jalan Wangsa Delima 12, Wangsa Maju.
Urut satu seni
Sementara itu, pengamal perubatan tradisional, Latipah Latip, 52, berkata urutan merupakan satu kesenian dan ia perlu dipelajari dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan pelanggan.
Wanita yang menetap di Batu 14, Hulu Langat, Selangor itu memberitahu, biarpun dibayangi perubatan moden dan kehadiran pusat kecantikan atau spa yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan namun, perkhidmatan tukang urut tradisional sepertinya tetap mendapat sambutan.
Ujarnya, dia sendiri tidak menang tangan melayan pesakit hampir setiap hari kecuali pada hari Selasa dan Sabtu. Rata-rata pelanggannya menetap di sekitar Hulu Langat, Kajang, Semenyih dan Bangi.
Jelas Latipah, kebanyakan pesakit yang datang mendapatkan rawatan akibat terseliuh, bengkak, sakit kepala, sakit belakang dan strok.
"Gerakan dan tekanan jari-jemari pada bahagian yang sakit mampu mengesan urat dan mencari otot bersimpul yang menyebabkan kesakitan kepada pesakit.
"Selepas diulang beberapa kali, urat atau otot akan kembali lembut sekali gus membolehkan perjalanan darah pesakit akan kembali lancar seperti sedia kala," ujarnya.
Katanya, bahan yang digunakan untuk mengurut cuma minyak yang diadun dengan campuran daun-daun dan akar kayu yang ditanam di kawasan rumahnya.
Jelasnya, selain mengurut, dia turut menawarkan penjagaan dan rawatan kepada wanita sebelum dan selepas bersalin.
"Biasanya tiga hari selepas bersalin saya mengambil tanggungjawab memberikan khidmat urutan kepada ibu-ibu yang bersalin.
"Ia disusuli dengan amalan berpantang, bertangas, bertungku, meletakkan bedak dan pilis di samping meminum jamu bagi menguatkan kesihatan dalaman seseorang wanita," katanya.
Mengakui tidak pernah terfikir akan menjadi seorang tukang urut pada hari ini pengusaha katering itu memberitahu, dia mewarisi kepakaran itu daripada ibunya kira-kira 10 tahun lalu.
"Ini semua kuasa Allah, dalam 10 orang adik-beradik hanya saya yang menguasai kepakaran mengurut, itu pun diperoleh melalui mimpi.
"Alhamdulillah, dengan jari ini, saya dapat membantu ramai pesakit untuk pulih. Saya tidak pernah menolak sesiapa sahaja yang datang untuk mendapatkan bantuan.
"Apa pun mengurut hanyalah ikhtiar kita sebagai manusia, sama ada rawatan moden atau tradisional, masing-masing mempunyai keistimewaan dan saling melengkapi antara satu sama lain," ujarnya merendah diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: