SETELAH mencatat kejayaan memberangsangkan di peringkat global, Ford akhirnya membawa kempen Kemahiran Memandu Sepanjang Hayat (DSFL) di negara ini. Bertempat di Taman Ekspo Pertanian Serdang Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, acara tersebut diadakan selama dua hari mulai 17 Disember 2011.
Program DSFL Ford merupakan inisiatif global untuk menggalakkan amalan memandu cermat bagi mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya. Ia merangkumi empat bidang penting iaitu mengenal pasti bahaya, pengendalian kenderaan, pengurusan ruang dan kelajuan.
DSFL Ford disertai oleh seramai 84 pemandu berlesen. Mereka ialah pelanggan baharu Ford Fiesta dan Ford Focus. Membabitkan latihan di dalam kelas, antara perkara disentuh ialah kedudukan tempat duduk yang betul, kawalan stereng, pemahaman mengenai pembelokan terkurang (understeer) dan pembelokan terlebih (oversteer), selain tips pemanduan di lebuh raya dan sewaktu hujan.
Segmen yang sama turut memberi pendedahan mengenai ciri keselamatan dan teknologi yang ada pada kenderaan Ford. Misalnya sistem brek antikunci (ABS), program kestabilan elektronik (ESP) dan sistem kawalan cengkaman (TCS).
Peserta memulakan sesi latihan praktikal dengan mempelajari kemahiran penting seperti teknik membrek brek ABS dengan betul, mengelak halangan, ESP dan memandu di laluan bengkang-bengkok.
"Ford berbangga dapat menganjurkan program Kemahiran Memandu Sepanjang Hayat untuk pemandu di Malaysia, melakukan sesuatu yang berbeza serta bermanfaat kepada pengguna jalan raya," kata Pengurus Serantau, Operasi Eksport & Pertumbuhan Ford, David Westerman.
Maklumat lanjut mengenai program berkenaan atau Ford, sila layari laman web www.ford.net.my atau www.drivingskillsforlife.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: