Monday, January 16, 2012

Katrina baca lebih 1,000 buku


KATRINA Ann Abdul Hadi menunjukkan koleksi pingat yang dimenanginya dan keluarga.


SELEPAS meraih emas Sukan SEA XXVI bulan lalu dalam acara renang berirama nama Katrina Ann Abdul Hadi sering menjadi bualan peminat sukan tanah air.

Malah ada juga yang kagum dengan pencapaian diraih atlet tersebut bersama pasangannya, Shareen Hui hingga mampu membuka mata negara-negara luar terhadap sukan renang berirama Malaysia.

Barangkali tidak ramai mengetahui atlet yang ramah dan murah dengan senyuman itu pernah aktif dalam gimnastik dan olahraga (acara pecut), sebelum bergelar ratu renang berirama.

Namun, dalam semua sukan tersebut renang berirama tetap menjadi sukan kesayangannya, selain menganggap acara yang disertai bukan semudah yang dilihat.

Memiliki perwatakan yang ceria Katrina, 19, bukanlah individu yang gemar menghabiskan masa dengan aktiviti tidak berfaedah, sebaliknya setiap masa lapangnya adalah dengan mentelaah buku-buku pengetahuan atau novel yang bertemakan fiksyen.

Menghabiskan buku yang mempunyai jumlah lebih 1,000 muka surat dalam masa sehari bukan sesuatu yang janggal buat Katrina kerana membaca dalam jumlah muka surat yang tebal sudah menjadi kebiasaan buatnya sejak kecil.

"Ketika latihan juga saya akan membawa buku untuk dibaca dan kawan-kawan juga dah biasa dengan cara saya ini.

"Membaca adalah sesuatu yang memberikan kepuasan kepada saya tambahan pula bila dapat membaca sambil berbaring.

"Memang banyak masa saya adalah dengan membaca buku terutama buku-buku fiksyen. Semuanya saya akan baca dan habiskan dalam sehari jika tiada gangguan.

"Jika nak dikira sejak di bangku sekolah rendah hingga kini saya telah membaca lebih 1,000 buku dan saya memang suka membaca," kata Katrina.

Kata Katrina, nikmat membaca buku akan bertambah apabila berupaya menggambarkan situasi yang tertulis dalam setiap muka surat, sekali gus membuatkan keinginan untuk terus mengetahui penamat sesuatu bahan bacaan tersebut.

"Ketika di sekolah rendah dahulu ada Program Bacaan Nilam dan saya sering menerima anugerah melalui program tersebut kerana terlalu banyak membaca sehingga tiada ruang untuk mengisi buku laporan yang disediakan.

"Di rumah saya ada koleksi buku yang amat banyak dan di situ ada beberapa buku yang saya minat kerana mempunyai jalan cerita menarik," kata Katrina.

Bagi yang minat membaca buku fiksyen yang telah diadaptasikan ke filem Katrina ada pesanan buat anda.

"Kalau mahu baca buku-buku sebegini seeloknya tengok dahulu filem tersebut dan kemudian baru baca buku tersebut kerana kepuasan akan lebih dirasai bila berbuat demikian," jelas Katrina.

Pada tahun depan kejohanan yang bakal menjadi tumpuannya adalah Kejohanan Kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang dijangka berlangsung pada April ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: