HYUNDAI-SIME Darby Motors Sdn. Bhd. (HSDM) berhasrat memperkenalkan model Inokom MD Elantra dalam pasaran tempatan selewat-lewatnya Februari ini. Model itu disifatkan sebagai testimoni hala tuju baharu jenama Hyundai dalam memperkenalkan produk moden premium kepada para pelanggan.
Pengarah Urusan HSDM, Dennis Ho berkata, MD Elantra memiliki rekaan kompak dinamik, sentuhan premium, menawarkan penjimatan minyak dan kos penyelenggaraan rendah. HSDM dapat merasakan keterujaan para pelanggan dan kini sedang berusaha untuk melancarkannya ke dalam pasaran tempatan secepat mungkin.
Sedan itu ditawarkan dengan dua enjin pilihan iaitu 1.8 liter Nu Multipoint Fuel Injected (MPI) dan 1.6 liter Gamma MPI D-CVVT. Kedua-dua enjin empat silinder tersebut diberi padanan kotak gear automatik enam kelajuan.
Bagi enjin 1.8 liter Nu MPI, ia berupaya menjana kuasa maksimum sebanyak 150PS @ 6,500rpm. Sementara enjin 1.6 liter Gamma MPI yang dilengkapi D-CVVT pula mampu meledakkan kuasa maksimum sebanyak 130PS @ 6,300rpm.
Penggunaan purata bahan bakar untuk enjin 1.8-liter ialah sebanyak 14.1 kilometer setiap liter (km/l). Enjin 1.6 liter dengan transmisi manual mampu mencatat 16.4 km/l dan 14.9 km/l (transmisi automatik).
|
|
MD Elantra dilengkapi sistem rantai pemasaan serta transmisi bebas penyelenggaraan untuk meningkatkan daya tahan dan mengurangkan bunyi bising (NVH).
Kesemua varian jentera bergaya itu menawarkan ruang kabin yang cukup selesa. Kerusi bahagian belakang yang boleh dilipat membenarkan kapasiti ruang but yang lebih luas.
Sejak diperkenalkan pada Busan International Motor Show April lalu, jualan global MD Elantra sudah mencecah paras 103,307 unit pada bulan Jun lalu. Di pasaran AS sahaja, Hyundai Elantra merekodkan jualan sebanyak 83,309 unit mulai Jun 2010 sehingga Mei 2011. Tahun ini bakal menyaksikan pengeksportan sebanyak 40,000 unit jentera Hyundai setahun.
Apabila memperkenalkan model ini dalam pasaran tempatan, HSDM dijangka menawarkan jaminan selama lima tahun atau jarak perbatuan 300,000 km (mana-mana tiba dahulu). Servis bantuan jalan raya 24 jam juga bakal diberi untuk pembeli baharu model ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: