JUJURNYA saya agak skeptikal dengan kenderaan elektrik (EV). Bukan kerana teknologinya yang masih baharu tetapi harganya yang tinggi berbanding kenderaan biasa atau hibrid. Misalnya di United Kingdom, Nissan Leaf berharga £30,990 manakala Mitsubishi i-MiEV pula berharga £28,990.
Cuba gandakan nilai tersebut dengan Ringgit Malaysia dan anda dapat bayangkan sahih atau tidak pendapat saya itu. Walaupun kenderaan elektrik lebih mesra alam, namun cabaran besar untuk merakyatkannya jelas terletak pada harganya.
Namun kekangan itu tidak menghalang pengeluar kenderaan untuk terus membangunkan teknologi tersebut. Taktik utama untuk memasarkannya adalah dengan memohon subsidi kerajaan dalam usaha mengurangkan harga atau pengecualian cukai seperti yang dibuat kerajaan Malaysia.
Baru-baru ini Kia Motors telah mencatat sejarah utama dalam dunia automotif Korea Selatan dengan melancarkan kenderaan elektrik pertamanya, Kia Ray EV. Model sifar emisi itu boleh bergerak sejauh 139 km dengan sekali cas. Kia Ray EV sebenarnya adalah versi elektrik kepada model Kia Ray CUV 1.0 liter yang baru dilancarkan di Korea Selatan bulan lepas.
Menariknya, Kia Ray EV merupakan model pertama seumpamanya di dunia yang boleh berkongsi kemudahan pemasangan (production line) dengan kenderaan konvensional. Kia Ray EV dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 50kW dan pek bateri polymer lithium ion berkapasiti 16.4 kWh dengan jangka hayat selama sepuluh tahun.
Pek bateri disimpan di bawah tempat duduk belakang dan lantai kabin kereta. Walaupun Kia Ray EV 187 kilogram (kg) lebih berat berbanding model petrol, ia dikontrakan dengan tork yang lebih tinggi iaitu 167 Nm atau lebih 77 peratus. Ini sekali gus menyumbang kepada prestasi yang sangat responsif.
Bukan itu sahaja, pecutan Kia Ray EV juga lebih baik berbanding model biasa dengan capaian 0 - 100km/j dalam masa 15.9 saat, manakala kelajuan maksimumnya ialah 130km/j. Tempoh pengecasan pula adalah selama enam jam menggunakan kuasa elektrik 220V dan hanya 25 minit jika menggunakan mode pengecasan pantas.
Transmisi automatik Kia Ray EV mempunyai dua mode dalam seleksi D. Mode E atau eco dapat mengoptimumkan penghantaran tork daripada motor bagi mencapai penggunaan bateri minimum dan jarak pemanduan yang maksimum. Mode B atau brek pula boleh dipilih sewaktu memandu menuruni curam untuk memaksimumkan kuasa pembrekan kereta.
Dari penampilan luaran, Kia Ray EV sama sahaja dengan model Ray versi petrol. Cuma beberapa perbezaan dapat dilihat seperti inlet pengecasan kuasa 220V diletakkan pada gril depan. Sementara inlet pengecasan pantas pula diletakkan di tempat mengisi minyak di belakang. Rim aloi yang digunakan telah direka untuk aerodinamik yang dapat meminimumkan seretan.
Pada bahagian dalaman, Kia Ray EV mempunyai kluster meter unik yang mempamerkan operasi motor elektrik, status bateri dan jarak untuk pengecasan semula. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan skrin navigasi EV bersaiz tujuh inci yang memberi informasi penting kepada pemandu seperti lokasi terdekat stesen pengecasan elektrik.
Stesen pengecasan semula
Setakat ini, sudah ada 500 buah stesen pengecasan semula di Korea Selatan dan pihak berkuasanya merancang untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 3,100 buah stesen pada penghujung 2012.
Tidak seperti kenderaan biasa, kenderaan elektrik atau Kia Ray EV tidak menghasilkan bunyi. Kecanggihan itu bakal menimbulkan masalah apabila pejalan kaki tidak menyedari kehadiran kenderaan. Bagi mengelakkan kecelakaan, Kia memasang VESS (Virtual Engine Sound System). VESS berfungsi mengeluarkan bunyi enjin yang telah direkod dan menyerupai kenderaan biasa apabila kereta dipandu dibawah 20km/j.
|
|
Jepun dan Amerika Syarikat (AS) telah pun mempertimbangkan untuk memperkenalkan regulasi bagi kenderaan EV supaya mempunyai bunyi enjin virtual dan Kia telah mengambil langkah pertama dalam mengaplikasikannya bagi memenuhi trend industri.
Demi memastikan Kia Ray EV selamat seperti kereta biasa, ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan seperti enam beg udara, Vehicle Dynamics Control (VDC) dan Hill Assist Control (HAC) sebagai ciri standard.
Tahun 2012, Kia merancang untuk mengeluarkan sebanyak 2,500 buah Kia Ray EV. Semuanya akan dibekalkan bagi kegunaan jabatan kerajaan dan pejabat awam. Langkah itu dilaksanakan untuk memenuhi perancangan jangka masa panjang Kia dalam menghasilkan kenderaan mesra alam kepada masyarakat global pada masa akan datang.
Cita-cita itu akan menjadi realiti jika tembok harga yang tinggi untuk kereta EV dapat dipecahkan. Ia nyata tidak mustahil kerana jika disoroti semula sejarah, telefon bimbit dan komputer hanya mampu dimiliki oleh golongan berada sahaja. Kini telefon pintar sudah boleh dimiliki oleh remaja!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: