Monday, January 16, 2012

Gubahan unik Q Jelly


Selain enak sebagai pencuci mulut jeli juga nampak cantik digubah mengikut acuan.


MENCARI sesuatu yang lain untuk menggantikan kek di majlis istimewa? Mengapa tidak menggantikannya dengan jeli atau agar-agar yang juga boleh digubah cantik setanding kek.

Sifatnya yang lembut, licin dan boleh dibentuk mengikut apa juga bentuk membuatkan kerja-kerja mengubah jeli jadi lebih kreatif.

Ini dapat disaksikan apabila sesekali menjejakkan kaki di Q Jelly Bakery Shop yang terletak di pusat beli-belah Pavilion, Kuala Lumpur.

Diasaskan oleh seorang surirumah, menariknya tentang jeli atau agar-agar ini ialah ia diperbuat daripada rumpai laut hijau yang diimport dari Jepun dan mendapat pengiktirafan halal oleh Jakim.

Menurut pengurus cawangannya, Michelle Yong, Q Jelly kini mendapat sambutan ramai pembeli yang mahukannya untuk dijadikan hantaran perkahwinan, hadiah dan sambutan hari lahir menggantikan kek.

Malah Q Jelly juga memiliki lesen yang sah untuk menghasilkan jeli mengikut karakter kartun Disney seperti Mickey, Winnie The Pooh, Thomas & Friends, Doraemon, Barney, Ben 10 dan banyak lagi.

"Ramai penggemar kek yang mula memilih jeli ini kerana kandungan gula yang lebih rendah berbanding kek.

"Jeli ini juga mengandungi khasiat kerana ia diperbuat daripada rumpai laut hijau dan bahan segar lain. Lebih utama, penggunaan warna telah disahkan selamat untuk dimakan oleh The Food and Drug Administration (FDA) dari Amerika Syarikat," ujarnya.

Michelle berkata, terdapat empat perasa utama jeli yang dihasilkan seperti pandan, tiramisu, buah-buahan manis dan masam mengikut cita rasa pelanggan.

Kesemuanya dihasilkan dari kilang mereka yang terletak di Bandar Puteri Puchong dan dibawa ke outlet ini segar setiap hari.

"Kenapa Q Jelly menjadi pilihan ialah kerana bentuk yang dihasilkan memang comel dan kreatif. Ia juga merupakan satu jenis pencuci mulut yang sedap, ringkas dan juga berkhasiat," ujar Michelle lagi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Q Jelly boleh layari laman web www.qjelly.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: