Friday, January 13, 2012

Menghurai fenomena kehidupan

KANAN: Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes jenayah.


PSIKOLOGI adalah ilmu yang cuba menghuraikan banyak fenomena yang berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Selama ini, ramai daripada kita telah memberi persepsi yang salah terhadap ilmu psikologi. Psikologi dikatakan hanya berkaitan dengan masalah mental manusia.

Hakikatnya, psikologi bermula sebaik sahaja kita bangun daripada tidur sehinggalah kita menutup mata tatkala tidur. Kita tidak bertegur sapa dengan manusia lain di dalam lif yang sama ketika ke tempat kerja atau menjadi cepat marah ketika tersekat dalam kesesakan jalan raya, tetapi tiba-tiba tersenyum apabila berjumpa orang atasan di pejabat.

Setiap hari, kita senyum, ketawa dan sesekali kita kecewa. Semuanya adalah bentuk emosi yang kita alami setiap hari. Ilmu psikologi boleh menerangkan hal ini, walaupun tidak semuanya.

Kita juga dihidangkan dengan banyak kejadian jenayah, keganasan manusia, penderaan dan perkara yang tidak mampu dibayangkan sebelum ini, termasuklah kes simbah asid. Apakah punca terjadinya peristiwa manusia menyembelih manusia lain dan ada yang dibakar dengan kejam?

Sesekali kita juga terkejut apabila ada kes polis tertembak seorang pelajar pada waktu dinihari. Tidak sedikit kritikan dilontarkan terhadap kesilapan polis tadi dan melupakan jasa mereka selama ini.

Hakikatnya, kita mungkin boleh berlaku adil kalau kita mengetahui bahawa pekerjaan polis mempunyai karakter uniknya yang tersendiri, yang diistilahkan sebagai 'personaliti polis' dalam ilmu psikologi.

Kejadian Beng Hock yang mati ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah menjadi bahan politik, sehinggakan orang awam telah melakukan penilaian berdasarkan emosi, lebih daripada apa yang sepatutnya.

Walaupun kita mengakui bahawa hal seumpama itu sepatutnya tidak berlaku, tetapi kajian-kajian psikologi pula menunjukkan bahawa terdapat kecenderungan kes bunuh diri menggunakan kaedah yang berbeza berdasarkan etnik tertentu. Tentulah, kalau kita mengetahuinya, kita akan berlaku lebih adil dalam membuat pertimbangan.

Elak tertipu


KIRI: Kita sering terlupa dengan jasa pihak polis sebaliknya sering menuding jari menyalahkan mereka.


Psikologi adalah ilmu yang cuba menghuraikan banyak fenomena yang berlaku dalam hidup kita sehari-harian. Ia juga boleh dimanfaatkan. Kita mungkin boleh mengelak daripada tertipu oleh manusia yang cuba memanipulasi manusia lain dengan melihat tanda-tanda fizikal yang ada pada manusia jahat.

Kita juga mungkin mampu menghindarkan daripada diperdayakan oleh muslihat penjenayah yang singgah ke rumah kita, kononnya menjual barangan tertentu, kalau kita menutup jalan untuk mereka. Semua ini telah diceritakan dalam bidang psikologi.

Mutakhir ini, kita menjadi sedikit gusar apabila segelintir anak gadis kita jatuh cinta dengan warga dari Afrika. Apakah punca semua ini? Apakah pula cinta itu sebenarnya buta dan kekal buat selama-lamanya? Kajian-kajian psikologi telah merekodkan semua ini bagaimana ada yang sanggup berkorban kerana cinta dan tidak kurang yang telah menjadi korban kerana cinta.

Ruangan kolum Psikologi dan Masyarakat ini bukanlah untuk menyelesaikan semua masalah manusia. Sekurang-kurangnya, ia menjadi ruang berkongsi cerita bagaimana psikologi bukan hanya untuk memulih mereka yang mengalami gangguan mental, tetapi juga mampu memberikan kita cara berfikir yang betul dalam menghadapi gejolak pada zaman moden ini.

Kita semua memiliki pengetahuan ini, tetapi kita tidak tahu bila waktu yang sesuai untuk menggunakannya. Semoga anda mendapat manfaat daripadanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: