Thursday, January 26, 2012

Kediaman selesa untuk anggota TLDM Langkawi


Dr. Ahmad Zahid Hamidi menandatangani plak ketika merasmikan Rumah Keluarga TLDM di Pangkalan TLDM Langkawi, baru-baru ini.


SEBANYAK 122 unit rumah kediaman bernilai RM67.36 juta telah dibina oleh Kementerian Pertahanan di Pangkalan Tentera Laut Diraja (TLDM), Langkawi dalam usaha memberi keselesaan kepada ahli keluarga angkatan tentera di situ.

Projek pembinaan rumah kediaman pangsapuri itu bermula pada Ogos 2007 dan siap sepenuhnya Ogos lalu melalui program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Pembinaan rumah kediaman atas tapak tanah seluas 13.3 hektar di situ dibina Syarikat Bedena (M) Sdn. Bhd. dan dirasmikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Disember lalu.

Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Ismail Ahmad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Ahmad Zahid berkata, selain rumah kediaman, kompleks pangsapuri itu turut menyediakan sebuah surau yang boleh memuatkan jemaah antara 350 hingga 400 orang, dewan serbaguna (450 hingga 500 orang), sebuah rumah Badan Kebajikan Anggota Tentera (Bakat) dan tiga lot kedai serbaneka.

Katanya, syarikat pembinaan berkenaan turut membangunkan sebuah banglo panglima kelas B di atas tapak tanah seluas 385 meter persegi.

Menurutnya, Pangkalan TLDM Langkawi mula beroperasi sejak tahun 2007 sehingga kini.

"Saya percaya dalam tempoh yang hampir menjangkau empat tahun, pangkalan ini pasti menghadapi pelbagai cabaran dalam pengoperasian dan pengurusannya berikutan kedudukannya yang terletak jauh dari tanah besar Semenanjung Malaysia.

"Lebih mencabar lagi apabila ia merupakan pangkalan tunggal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di legenda ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata, pangkalan tersebut merupakan kawasan pintu masuk sebelah utara Selat Melaka.

Oleh itu katanya, pangkalan berkenaan turut dipertangungjawabkan pengoperasiannya ke atas keselamatan maritim di Selat Melaka.

Katanya, sejajar dengan tanggungjawab yang diamanahkan, kerajaan mengambil inisiatif membina kemudahan penginapan yang selesa bagi warga TLDM yang ditempatkan di pangkalan ini.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa menganggap anggota tentera sebagai aset yang paling penting di negara ini.

Sehubungan itu, selain menyediakan alat peperangan dan kemudahan moden serta canggih, kerajaan juga mahu anggota yang berdedikasi menjalankan

tugas dengan baik tanpa menghadapi banyak masalah kehidupan harian.

Ahmad Zahid memberitahu, kerajaaan memberi jaminan akan sentiasa menjaga kebajikan anggota tentera dan ahli keluarga masing-masing.

"Kerajaan sentiasa menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan keistimewaan bagi mencapai tujuan itu di samping Pengurusan Tertinggi ATM juga terus menggarap usaha ke arah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: