Nasi Arab

Melihat fenomena rakyat Malaysia yang menggemari makanan Arab, Hasnah Mat Ali dan suaminya Hamzah Jaaffar mengambil peluang, menyajikan menu nasi Arab mengikut cita rasa masyarakat Malaysia.

Memfokuskan nasi Arab (Mandy) ayam dan kambing sebagai menu utama, Al-Amin Food Corner (AFC), mempunyai keistimewaan, apabila menggunakan rempah ratus diadun sendiri untuk nasi, perapan ayam dan kambingnya.

Menurut Hasnah, dia dan suami mengambil masa lama mengadun rempah ratus itu kerana yakin rempah dicipta sendiri akan menjadi kelebihan yang tiada pada perniagaan nasi Arab lain.

“Sebelum memulakan perniagaan ini, kami membuat kambing bakar untuk majlis keraian. Kami mengambil masa lebih 10 tahun untuk mencubanya.

“Sejak memulakan perniagaan nasi Arab secara serius pada 2010, sambutan diterima menggalakkan, dan kami sering mendapat maklum balas positif daripada pelanggan,” katanya sambil memberitahu asas membuat nasi Arab dipelajari suaminya yang pernah belajar di Mesir.

Hasnah berkata, dengan sambutan menggalakkan, jualan mencecah RM70,000 hingga RM80,000 sebulan pada hari biasa, meningkat sehingga RM90,000 sebulan pada hujung minggu dan musim cuti.

Melangkah ke tahun baru, AFC memperkenalkan resipi ayam dan kambing panggang. Selain itu, Hasnah juga menawarkan pakej untuk mempelajari cara membuat nasi Arab gaya pos.

“Kami akan menyediakan bahan seperti beras, rempah ratus dan video, mereka boleh belajar terus dari rumah,” katanya menyasarkan peningkatan jualan kepada RM100,000 sebulan dengan perancangan tahun baru ini.

Selain menyediakan nasi Arab, AFC juga menyajikan menu lain seperti nasi ayam salai, nasi lemak ayam salai dan nasi kerabu ayam salai di lokasi restorannya di pinggir bandar di Gombak.