Thursday, January 26, 2012

PBB puji khidmat Malbatt 4 cemerlang


Ban Ki Moon (tengah) ketika meninjau operasi Unifil yang berkhidmat di Sektor West, di Kem Shama, Lubnan.


KEHADIRAN Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) dalam memantau keamanan di Selatan Lubnan bukan sahaja di senangi oleh penduduk tempatan tetapi turut diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai antara kontinjen yang cemerlang.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon pada pertemuan dengan Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad.

Ki Moon ketika menyampaikan penghargaannya itu berkata, Malbatt 4 merupakan salah sebuah kontinjen dalam PBB yang cemerlang dalam melaksanakan tugas dalam sektor tanggungjawab yang diberikan.

Ia termasuk dapat memastikan Resolusi 1701 yang ditetapkan oleh PBB dipatuhi oleh semua pihak yang bertelagah.

Pertemuan dengan Badrul Hisham itu merupakan sebahagian daripada sesi perjumpaan Ki Moon dengan para Komander Kontinjen di bawah Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) yang berkhidmat di Sektor West, di Kem Shama.

Ia merupakan sebahagian daripada program sempena lawatan Setiausaha Agung badan dunia itu ke markas Unifil di Naqoura pada 14 Januari lalu.

Pada sesi lawatan itu, Ki Moon turut memeriksa perbarisan tabik hormat yang yang terdiri daripada kontinjen negara yang bertugas di UNIFIL termasuk Kontinjen Malbatt 4 dan Kontinjen dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Pada lawatan itu, beliau telah diberikan taklimat mengenai penugasan UNIFIL di Lubnan dan melawat kawasan Hot Spot sepanjang Blue Line selain pertemuan dengan semua komander Badrul Hisham berkata, Ki Moon secara peribadi telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan Malbatt 4 yang merupakan salah sebuah kontinjen PBB yang begitu cemerlang dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

Katanya, pujian itu bukan sahaja satu kebanggaan kepada Malbatt 4 tetapi juga kepada negara.

"Ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung kepada Angkatan Tentera Malaysia dan ABDB yang telah berjaya melahirkan sebuah pasukan yang berupaya menggalas misi yang diberikan dengan cemerlang," katanya.

Pujian itu katanya, bakal menjadi satu dorongan kepada beliau, semua pegawai dan anggota Malbatt 4 untuk terus memberi komitmen yang tidak berbelah demi meningkatkan imej dan nama baik Malaysia dan ATM.

Ketua Kontinjen ABDB, Mejar Zulkifli Buang turut mengakui pengiktirafan yang diberikan itu cukup membanggakan beliau dan anggota ABDB yang telah menjadi sebahagian daripada kontinjen Malbatt 4.

Katanya, ia adalah hasil daripada kecemerlangan tugas yang dilaksanakan oleh setiap peringkat anggota.

Timbalan Komander Malbatt 4, Lt. Kol. E.D Mustafa Bakar pula berkata, berdasarkan pengamatan beliau, Malbatt 4 merupakan kontinjen ATM pertama diberikan pujian atau pengiktirafan secara langsung daripada pemimpin tertinggi PBB.

"Ini bukan sahaja satu pengiktirafan malah menjadi satu sejarah kepada kepada pasukan Malbatt 4 yang merupakan satu-satunya kontinjen yang berpeluang menerima pengiktirafan tersebut," katanya.

Pada akhir sesi lawatan beliau, Setiausaha Agong PBB telah memberi mandat supaya semua pasukan UNIFIL terus melaksanakan tugas dengan cemerlang agar misi untuk mencapai keamanan di kawasan Selatan Lubnan tercapai dengan sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: