Friday, January 13, 2012

Katy Perry menang 5 anugerah PCA


Katy Perry


LOS ANGELES 12 Jan. - Katy Perry memenangi lima kategori utama pada majlis anugerah tahunan People's Choice Awards ke-38 anjuran rangkaian televisyen CBS di sini, semalam.

Perry, yang tidak hadir pada majlis itu, merangkul trofi dalam lima kategori iaitu Penyanyi Wanita Paling Diminati, Siri Jelajah Paling Diminati, Lagu Paling Diminati - melalui lagunya E.T, video muzik terbaik (Last Friday Night) dan Pelakon Jemputan Siri Televisyen Paling Diminati (How I Met Your Mother).

Perry memberitahu peminatnya melalui mesej Twitter pada awal minggu berhubung ketiadaannya pada majlis itu berikutan perceraiannya dengan Russel Brand, namun mengucapkan terima kasih kepada peminat yang memilihnya memenangi anugerah berkenaan.

Filem terakhir Harry Potter iaitu Harry Potter and The Deathly Hallows yang dibintangi Daniel Radcliffe berada di tempat kedua di belakang Perry, memenangi empat anugerah iaitu Filem Paling Diminati, Filem Aksi Paling Diminati, Adaptasi Buku Paling Diminati dan Gandingan Pelakon Paling Diminati.

Bagaimanapun kesemua pelakon filem itu tidak menghadiri majlis tersebut yang dihos oleh bintang siri televisyen The Big Bang Theory, Kaley Cuoco.

Ellen DeGeneres, Nina Dobrev, Chloe Grace Moretz, Adam Levine, Lea Michele dan Demi Lovato turut memenangi anugerah berdasarkan undian peminat yang dilakukan melalui Internet.

Sementara itu, Emma Stone dan Johnny Depp pulang dengan trofi masing-masing selepas merangkul anugerah Pelakon Wanita Paling Diminati dan Pelakon Lelaki Paling Diminati.

Depp turut memenangi anugerah Suara Latar Filem Animasi Paling Diminati melalui filem Rango dan Stone menerima anugerah Pelakon Komedi Wanita Paling Diminati.

Neil Patrick Harris pula memenangi Pelakon Komedi Lelaki Paling Diminati dan siri televisyen lakonannya, How I Met Your Mother merangkul anugerah Rangkaian Siri Televisyen Komedi Paling Diminati.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: