
Musim anugerah di Hollywood telah bermula dan filem hitam putih The Artist dilihat berpotensi besar untuk merangkul dan mendominasi acara anugerah berprestij.
Walaupun berdepan dengan saingan sengit daripada filem-filem hebat sepanjang tahun 2011 antaranya The Help, The Descendants, Hudo, The Ides of March, Bridesmaids, Midnight In Paris dan Moneyball, The Artist dikatakan mempunyai sebab tersendiri untuk menjadi pilihan majoriti dalam mengungguli musim anugerah kali ini.
Namun apa juga andaian, musim anugerah di Hollywood juga tidak pernah terlepas daripada kejutan.
Berbalik kepada The Artist, faktor utama filem itu menjadi perhatian adalah kerana keunikan yang ditampilkan.
Selepas sekian lama Hollywood tidak menghasilkan sebuah filem bisu hitam putih, The Artist berani menongkah arus untuk muncul pada era ini.
Pada masa yang sama,ia juga dianggap memiliki resipi lengkap untuk dianugerahkan sebagai juara lantaran ia lengkap dengan segala rencah - humor, bijak, bersemangat, keaslian dan jalan cerita yang dekat dengan khalayak.
Selalunya lima faktor itu yang dirangkumkan dalam sebuah filem akan menjadi sebuah karya agung dan mampu menjadi malar segar.
Di sebalik deretan filem popular yang mencatatkan kutipan pecah panggung sepanjang tahun lalu, The Artist hadir tepat pada masanya apabila memperkatakan tentang sebuah filem asli.
Atas alasan itu jugalah, filem arahan Michel Hazanavicius itu dijangka menang mudah pada Anugerah Golden Globe Ke-69 yang berlangsung 15 Januari ini (Isnin waktu Malaysia) di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Untuk edisi kali ini, The Artist mendahului senarai pencalonan untuk enam kategori iaitu Filem Komedi atau Muzikal, Pelakon Lelaki Filem Komedi atau Muzikal, Pengarah, Lakon Layar dan Skor Muzik Asal Terbaik.
Ternyata pencalonan itu membuatkan hati Hazanavicius girang apabila karyanya yang satu ketika dulu pernah dipandang sepi kini diiktiraf oleh anugerah berprestij di Hollywood.
Ilham untuk menzahirkan The Artist sebenarnya bukan baru. Hazanavicius sudah merancang filem tersebut sejak sedekad yang lalu.
Puas dijaja naskhah tulisannya itu kepada studio terkemuka dan pelabur serta penerbit filem tetapi tiada seorang pun yakin dengan The Artist kerana Hazanavicius tetap dengan pendiriannya yang mahu melahirkan filem bisu hitam putih.
Rezeki tetap berpihak kepada pengarah kelahiran Perancis itu apabila Thomas Langmann sanggup menerbitkan filem itu.
Walaupun sebuah filem Perancis tetapi ia mengambil tempat ketika zaman kegemilangan Hollywood pada akhir tahun 20-an dan awal tahun 30-an yang ketika itu filem bisu menjadi perhatian ramai.
Lakonan dua pelakonnya, Jean Dujardin dan Berenice Bejo juga mendapat pujian dan tidak mustahil untuk masing-masing menerima trofi Golden Globe dalam kategori yang dicalonkan.
Seperti yang dikatakan tadi, kejutan memang tidak dapat lari. Siapa tahu, filem Bridesmaids yang dicalonkan untuk kategori Filem Komedi atau Muzikal mampu meraih anugerah utama itu.
Bukan sebuah filem komedi biasa, Bridesmaids sememangnya mengejutkan ramai pihak apabila meraih perhatian meluas dalam musim anugerah kali ini.
Dalam kategori Drama pula, filem The Help dilihat berpotensi besar untuk meraih trofi Filem Drama Terbaik.
Seperti mana Bridesmaids, filem yang mengisahkan tentang kemelut golongan kulit hitam yang bekerja sebagai orang gaji di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an itu telah menjadi perhatian sejak awal lagi.
Selain itu, The Help turut dicalonkan untuk empat kategori lain termasuk Pelakon Filem Wanita Drama Terbaik untuk Viola Davis dan dua pencalonan bagi Pelakon Pembantu Filem Wanita Terbaik (Jessica Chastain dan Octavia Spencer).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: