BUKAN sedikit pengalaman yang ditimba oleh Nurbaini Baharuddin sepanjang 40 tahun penglibatannya sebagai sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).
Antara kenangan yang memberi kesan mendalam dalam jiwanya ialah semasa turut serta dalam operasi kemanusiaan dan menyelamat mangsa tragedi kondominium Highland Towers tumbang di Hulu Klang pada 11 Disember 1993.
Dalam runtuhan tersebut, satu daripada tiga blok setinggi 12 tingkat ranap dan mengorbankan 48 nyawa. “Ia menjadi momen yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. “Pagi itu, sejurus mendengar berita tragedi itu, pasukan PBSM mula mengatur pasukan misi kemanusiaan dan saya tersenarai dalam pasukan itu.“Setibanya kami di sana, suasana masih lagi kelam kabut. Ada yang berlari ke sana ke mari mencari ahli keluarga. “Ada yang menjerit memanggil nama mangsa yang terperangkap, dan ada juga yang menangis meratap jasad kaku yang berjaya di bawa keluar dari kawasan runtuhan.
Hanyir
|
|
“Walaupun saya hanya di situ untuk membantu, suasana itu cukup menyentuh hati. “Sambil membantu pasukan penyelamat lain mencari mangsa di celahan konkrit, hati saya benar-benar sebak,” katanya yang juga Setiausaha Eksekutif PBSM Kuala Lumpur. Paling tidak mampu dilupakan Nurbaini ialah saat di mana dia bersama pasukannya masuk ke celahan konkrit untuk mencari mangsa yang tersepit. Ketika itu dia bersama seorang rakan menuju ke suatu sudut selepas hidungnya terhidu bau hanyir darah. Dengan dibantu suluhan lampu sorot yang dipasang di kepala, mereka berdua berjaya menemui sekujur tubuh. “Keadan mayat tersebut cukup mengerikan. Kepalanya sudah terpisah dari badan dan percikan darah ada di mana-mana,” katanya yang terkedu beberapa saat sebelum meminta bantuan untuk mengeluarkan mangsa.
Selepas berhari-hari berkampung memberi khidmat sukarela di Highland Towers, sehingga kini ibu kepada tiga anak ini mengakui, dia masih dihantui kenangan di tapak runtuhan tersebut. “Kalau saya melalui kawasan tersebut, memang kenangan itu akan muncul dalam benak minda saya walaupun tragedi itu sudah 19 tahun berlalu,” katanya yang meminati bidang kedoktoran sejak di bangku sekolah rendah lagi. Menceritakan latar belakang dirinya, Nurbaini mula meminati kerja-kerja sukarela ketika melihat berita misi menyelamat mangsa bencana alam dan perang di televisyen.Lantas, keputusan untuk menyertai PBSM diambil ketika dia berada dalam darjah empat lagi.
Semangat sukarelawan Nurbaini tidak habis di situ. Ketika sudah memasuki alam pekerjaan dan menjawat jawatan di sebuah agensi kerajaan, anak pesara polis ini sanggup berhenti kerja demi menumpukan perhatiannya kepada kerja-kerja amal. “Tindakan saya itu ditentang bapa saya. Malah, lapan tahun lalu, ketika saya ditawarkan untuk mengikuti misi kemanusiaan membantu mangsa tsunami di Aceh, bapa saya juga tidak mengizinkan saya ke sana. “Bapa memang dari dahulu sering menegur dan memarahi saya kerana hilang sabar dengan perangai saya yang sering pulang lewat ke rumah kerana terlibat dengan aktiviti persatuan.
Bapa
|
|
“Kami sering berperang mulut. Bapa berpendapat, seorang wanita tidak boleh terlalu berani bertindak seperti kaum lelaki. “Untuk menjaga hati bapa, saya tarik diri dari pergi ke Aceh dan sehingga kini, sejujurnya masih kecewa dengan keputusan bapa saya itu,” katanya. Nurbaini yang jurulatih bertauliah yang sering dipanggil memberi ceramah dan latihan mengenai rawatan serta pertolongan cemas di sekolah dan hospital.
Selain aktif di dalam negara, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini turut lincah dalam aktiviti PBSM di peringkat antarabangsa. “Saya pernah ke Thailand untuk melihat bagaimana persatuan ini berfungsi dalam masyarakat. Ia memang mengejutkan kerana mereka bukan sahaja aktif tetapi turut memiliki fasiliti yang canggih. “Misalnya, untuk sebuah pusat menderma darah, setiap hari saya melihat ramai yang beratur untuk menderma, tidak seperti di sini, sambutan yang diberikan tidak memberangsangkan. “Mereka juga mempunyai pegawai perubatan dan kemudahan hemodialisis, pusat mengumpul darah dan menyimpan darah serta makmal yang besar, lengkap dan jauh lebih maju dari yang ada di negara kita,” katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami dan anak-anaknya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: