Gerai mi udang Mak Jah pernah ditutup gara-gara terputus bekalan udang laut segar daripada nelayan Kuala Sepetang.
"KALAU datang ke Taiping, jangan lupa singgah ke Kuala Sepetang. Rugi kalau pulang tanpa pekena mi udang."
Pertama kali menjejakkan kaki ke Taiping, Perak, ramai yang mengesyorkan kru Jurnal supaya merasai mi udang yang sinonim dengan Kuala Sepetang.
Baik di gerai cendol yang terletak di tengah bandar mahupun di atas puncak Bukit Larut, keenakan hidangan itu sering diperkatakan pengunjung.
Jadi, pada petang itu kami menuju ke Kuala Sepetang yang terletak 18 kilometer dari bandar Taiping.
Aroma yang terbit bersama kepulan asap nipis mi itu sahaja sudah menyelerakan, apatah lagi selepas melihat enam ekor udang sebesar ibu jari lelaki dewasa memenuhi mangkuk mi udang Mak Jah.
Menurut pemilik bersama perniagaan keluarga itu, Idris Sidan, 45, hanya udang segar digunakan sebagai perencah mi di gerainya.
"Kami hanya menggunakan udang laut segar yang dihantar terus oleh nelayan Kuala Sepetang. Kami tidak gunakan udang sungai atau udang yang dibela," katanya yang memulakan perniagaan itu sejak tahun 2009.
Tidak pernah berkompromi tentang kualiti, Idris membuka cerita, dia pernah menutup gerai mi udang yang dinamakan sempena nama ibunya, Tijah Yusof, 75, itu gara-gara bekalan udang segar tidak mencukupi.
"Untuk menjaga kualiti mi udang Mak Jah, kami terpaksa buat begitu. Kami tidak mahu ada pelanggan yang mengadu rasa mi udang kami berubah-ubah," ujarnya yang mengakui Kuala Sepetang semakin dikenali sebagai produk pelancongan negeri Perak.
Udang selut
Mi udang sangat sinonim dengan Kuala Sepetang. Di sepanjang jalan menuju ke perkampungan nelayan di hujung sana, terdapat lebih kurang tujuh gerai menjual mi udang. Tambah Idris lagi, dahulu jumlahnya lebih banyak, tetapi mungkin disebabkan perniagaan itu tidak diwarisi, maka ada yang terpaksa ditutup.
Memilih untuk hanya menggunakan udang laut, Idris ada alasannya.
"Udang laut rasanya lebih enak kerana ia tidak berbau seperti udang bela atau udang sungai.
"Kalau udang laut bukan dari Kuala Sepetang juga ada beza dari segi rasa kerana udang Kuala Sepetang membiak di kawasan yang berselut dan bukan berpasir," kata Idris.
Terdapat empat jenis udang yang digunakan sebagai rencah utama mi udang Mak Jah iaitu udang jenis rotan, tolo, kertas dan harimau. Daripada empat jenis udang itu, udang kertas dikatakan lebih manis dan sedap.
Selain pemilihan udang, Idris juga sangat menjaga kualiti kuah mi. Menurutnya, resipi yang digunakan sekarang adalah hasil penambahbaikan daripada resipi turun-temurun keluarganya.
Untuk memastikan rasa kuah tidak lari, setiap pagi Idris akan merasa dahulu mi udang sebelum dihidangkan kepada pelanggan. Rutin wajib itu tidak boleh ditinggalkan memandangkan kuah mi perlu dimasak selama beberapa jam.
|
|
"Setiap hari kami memasak di antara dua hingga empat periuk besar kuah. Apabila ada pesanan, kuah akan dipindahkan ke kuali dan dipanaskan dengan api sederhana besar sebelum dituang ke dalam mangkuk mi dan udang.
"Sebab itu, bab merasa sangat penting kerana jika ada rasa yang kurang, ia boleh dibaiki. Alhamdulillah, kami boleh dapat rasa yang sama setiap hari," kata Idris.
Di gerai Mak Jah yang terletak di Kampung Menteri ini terdapat dua jenis mi udang yang disediakan iaitu mi udang biasa dan mi udang istimewa atau spesial.
Mi udang biasa yang dijual pada harga RM7 menggunakan hingga lapan ekor udang bersaiz sederhana besar manakala mi udang spesial yang menggunakan enam hingga tujuh ekor udang bersaiz XL berharga RM11.
Selain mi udang, gerai ini turut menyediakan masakan panas berasaskan udang seperti nasi goreng udang, sambal udang petai dan udang goreng tepung.
"Mi udang Mak Jah kini juga boleh dinikmati oleh warga kota di Jalan Wangsa Delima 10, D'Wangsa, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Ia diuruskan oleh adik saya, Sabri.
"Usah gusar tentang kualiti kerana kami masih menggunakan udang segar yang dihantar setiap hari dari Kuala Sepetang. Tukang masak juga didatangkan khas dari sini," kata Idris.
Enak dinikmati pada bila-bila masa, keasyikan meratah udang besar memang memberi pengalaman baharu penggemar makanan laut itu apatah lagi jika ia dinikmati bersama air kelapa pandan. Memang terangkat!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: