Sunday, January 15, 2012

Permainan perisik rahsia


MOSTAFA, saintis nuklear Iran, terbunuh dalam satu letupan bom di Isfahan Khamis lalu.


AKTOR terkenal, Matt Damon pernah menjadi ejen perisikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat dalam filem tahun 2000, The Bourne Identity.

Dia memegang watak sebagai Bourne, seorang ejen rahsia yang diburu oleh rakan sepasukannya kerana gagal melaksanakan misi membunuh seorang diktator Afrika yang kejam iaitu Nykwana Wombosi lakonan Adewale Akinnuoye-Agbaje.

Agensi itu khuatir Bourne akan mendedahkan kegagalan cubaan bunuh itu. Namun, Bourne berjaya menyelamatkan diri daripada dibunuh.

Dalam dunia realiti, senario ejen perisikan diarahkan membunuh orang tertentu demi muslihat politik, ekonomi dan juga ketenteraan kerajaan masing-masing bukanlah satu rahsia.

Minggu ini, Iran mendakwa ejen CIA dan ejen perisikan Israel, Mossad, membunuh timbalan pengarah loji pengkayaan uranium Natanz, Mostafa Ahmadi Roshan.

Saintis nuklear itu terbunuh selepas sebutir bom magnetik yang diletakkan di sebuah kereta oleh penyerang bermotosikal meletup di Universiti Allameh Tabatai, Tehran.

Mostafa bertanggungjawab melakukan kajian terhadap pengasingan gas di pusat uranium Natanz di Isfahan. Beliau adalah saintis nuklear Iran yang keempat dibunuh dalam tempoh tiga tahun.

Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mohammad Khazaee memberitahu, terdapat bukti pihak asing mendalangi pembunuhan itu sebagai usaha untuk mengendalakan program nuklear Iran.

Timbalan Gabenor Teheran, Safar Ali Bratloo yang dipetik agensi berita ILNA berkata, ejen-ejen Israel terlibat dengan pembunuhan itu.

“Serangan itu dilakukan rejim Zionis kerana mahu menakut-nakutkan orang ramai daripada menyertai pilihan raya yang dijangka berlangsung pada 2 Mac depan,” katanya.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad pernah menegaskan bahawa serangan bom yang berlaku ke atas pakar saintis-saintis nuklear Iran menggunakan kaedah serangan rejim Zionis.

Terancang


MOSTAFA terbunuh dalam serangan di Universiti Allameh Tabatai, Tehran.


Setakat ini, Pakistan merupakan satu-satunya negara Islam yang mempunyai kuasa nuklear.

Di Indonesia, pembunuhan seorang aktivis hak asasi manusia dan antirasuah, Munir Said Thalib pada 7 September 2004 yang didakwa didalangi ejen perisikan Indonesia sendiri telah menggemparkan negara jiran itu.

Pengasas organisasi hak asasi manusia Kontras itu dibunuh dengan racun arsenik yang diminumnya semasa menaiki sebuah pesawat.

Munir pada masa itu sedang dalam perjalanan menuju ke Amsterdam untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia di sebuah universiti di Belanda.

Laporan autopsi Institut Forensik Belanda pada 12 November 2007 mengatakan badan Munir mengandungi kandungan arsenik yang tiga kali ganda lebih banyak daripada dos yang boleh membawa maut.

Munir yang mati ketika berusia 38 tahun merupakan pengkritik utama bekas Presiden Suharto. Suspek utama pembunuhan itu ialah bekas juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Budihari Priyanto.

Pollycarpus sebelum itu didakwa menerima panggilan telefon daripada beberapa ejen perisikan Indonesia supaya melakukan pembunuhan terhadap Munir. Tuduhan itu dinafikan oleh Agensi Perisikan Indonesia (BIN) tetapi Pollycarpus akhirnya didapati bersalah dan dipenjarakan selama 20 tahun.

Tugas segelintir ejen perisikan tidak terhad membunuh orang lain bahkan rakan setugas sendiri seperti yang dialami bekas ejen perisikan KGB Rusia, Alexander Litvinenko.

Alexander sebelum ini dapat melepaskan diri daripada perbicaraan di Rusia dan menerima perlindungan politik di Britain.

Beliau menulis dua buah buku, Blowing Up Russia: Terror From Within dan Lubyanka Criminal Group, yang menuduh ejen perisikan Rusia bertanggungjawab dalam letupan bom di pangsapuri dan aktiviti keganasan lain.

Namun, pada 1 November 2006, Alexander dimasukkan ke sebuah hospital di London, England sebelum disahkan mati tiga minggu kemudian akibat diracun dengan bahan radioaktif, Polonium 210.

Kandungan bahan radioaktif itu yang tinggi dalam badan boleh menyebabkan pendarahan dalaman yang teruk. Kematiannya dikatakan mempunyai kaitan dengan penulisan bukunya yang lantang mengkritik Perdana Menteri Rusia, Vladimir Putin.

Suspek utama yang dikatakan terlibat ialah bekas ejen KGB, Andrei Lugovoy yang masih bebas sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: