SUASANA pagi di Taman Burung Kuala Lumpur (KL) pagi itu bukan sahaja diwarnai dengan suara-suara unggas yang menghuni taman tersebut bahkan, diselang-seli dengan keriuhan 30 orang kanak-kanak dari Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah (PPKKCTM) yang teruja melihat pelbagai jenis burung.
Kunjungan mereka hari itu diraikan oleh 70 kakitangan GlaxoSmithKline (GSK) sempena program Orange Day atau Hari Oren yang kali ketiga dianjurkan GSK awal bulan lalu.
Kanak-kanak yang diraikan begitu teruja melihat pelbagai jenis burung yang mungkin sebelum ini belum pernah dilihat mereka seperti burung bangau, merak, itik mandarin, undan paruh itik dan bermacam-macam lagi.
Orange Day merupakan acara tahunan tanggungjawab korporat sosial (CSR) GSK yang mendorong kakitangannya memberikan sesuatu kembali kepada komuniti tempatan dengan mengambil satu hari cuti untuk meluangkan masa melakukan kerja amal.
Kali ini, mereka dipanggil untuk mengisi masa mereka bersama kanak-kanak kurang bernasib baik dari PPKKCTM.
Sepanjang menghabiskan masa berjalan di Taman Burung sambil menyaksikan burung-burung pelbagai warna, semua mata terpaku pada aksi burung merak yang memberikan gaya menarik sambil mengembangkan bulunya seolah-olah tahu ramai pengunjung merakamkan aksinya.
Kanak-kanak PPKKCTM terlalu asyik mendengar penjelasan daripada kakitangan Taman Burung dan mereka diberitahu bahawa tiada Angry Bird di taman tersebut jika burung itu yang mereka cari.
Jika sebelum ini mereka hanya melihat burung di buku-buku, pada hari tersebut mereka berpeluang bertemu empat mata dengan penghuni taman tersebut antaranya, burung yang mempunyai suara merdu iaitu tiong mas, tiong gembala kerbau, ciak tempua, perling leher hitam, pipit uban, perling belakang ungu, perling mata merah dan pipit rawa.
Ada juga yang sempat mendekati burung-burung yang dibiarkan lepas bebas di taman tersebut dengan memberikannya makan di kawasan yang dikhaskan.
Beri makan burung
Terdengar beberapa jeritan kecil apabila mereka tiba di sudut yang menempatkan burung eksotik seperti burung nuri, kakak tua, enggang, helang dan burung hantu kerana mereka diberikan kesempatan membelai burung-burung itu.
Bukan hanya melihat burung dari jauh malah, kanak-kanak tersebut dapat merasai pengalaman memberi makan burung kasawari atau burung unta dengan tangan mereka sendiri.
Sedikit tip diberikan kepada kanak-kanak mengenai cara memberi makanan kepada burung unta.
Sedang leka dengan aktiviti itu secara spontan seorang kanak-kanak menjerit: ‘Amma...my hand”. Ternyata jeritan spontan tersebut mengundang tawa besar ahli-ahli rombongan lain.
Selepas penat berjalan-jalan melihat pelbagai spesies burung, kanak-kanak PPKKCTM dihiburkan dengan persembahan burung yang mengujakan.
“Menjadi misi kami untuk meningkatkan kualiti hidup golongan yang kurang bernasib baik dengan menunjukkan kasih sayang terhadap mereka.
“Senyuman yang terukir dan gelak tawa mereka tidak ternilai harganya. Ia menunjukkan bahawa mereka sangat gembira apabila diraikan sebegini,” kata Pengarah Hal Ehwal Korporat GSK, Rohan Talalla.
Tambahnya, tahun ini GSK memilih kelainan dengan membawa kanak-kanak dari PPKKCTM untuk beriadah di luar.
Bagi membalas jasa kakitangan GSK membawa mereka berjalan-jalan di Taman Burung, sebahagian daripada 30 kanak-kanak PPKKCTM melakukan persembahan choral speaking yang menyentuh mengenai kesedaran menjaga alam sekitar kemudian disusuli dengan nyanyian lagu.
“Saya bangun seawal pukul 7 pagi hari ini untuk bersama-sama abang-abang dan kakak-kakak dari GSK.
“Ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan kerana dapat mengenali pelbagai spesies burung di sini dan kami jarang dapat merasai peluang seperti ini,” ujar salah seorang penghuni PPKKCTM yang mahu dikenali sebagai Pravind.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: