ADAKAH mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan? Ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan mandi malam boleh membahayakan kesihatan.
Persoalannya adakah ia fakta benar atau hanyalah satu mitos?
Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan, mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi, juga boleh menghilangkan stres.
Katanya mandi memainkan peranan penting dalam meningkatkan sistem imun badan selain mengelakkan berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.
"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetis, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit ini," kata beliau.
Kebaikan mandi
Malah, menurut Anies air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk kerana ia boleh membantu.
Katanya, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab sepanjang tahun, oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan sebenarnya.
"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk.
"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, mana-mana pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi." kata beliau sambil menegaskan tujuan mandi dan memakai pelembab adalah juga untuk memulihkan kulit kering.
Pengamal perubatan Hassan Saidin menerangkan, mandi adalah kaedah baik bagi merilekskan otot badan.
"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.
"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi pada waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.
Persoalannya, kenapakah orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
"Masyarakat dulu menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti dari binatang berbisa dan juga bahaya di sungai. Mungkin sebab itulah orang tua melarang kita dari mandi waktu malam.
"Kini kita semakin maju dan punya kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: