
KALI pertama menonton filem pertama Star Wars pada 1977, pengarah filem tersohor ini merasakan ada persamaan antara dia dan watak dalam filem sains fiksyen itu.
Uniknya, bukan watak adiwira yang dapat dikaitkan dengan dirinya, tetapi watak hitam yang memberikan kegerunan kepada penonton iaitu Darth Vader.
Sejak itu, Aziz M. Osman yang terpesona dengan watak tersebut mula menjejaki apa saja barangan yang berkaitan untuk dijadikan koleksi peribadinya.
“Koleksi saya kebanyakannya tertumpu kepada golongan Sith iaitu kumpulan orang jahat dalam filem Star Wars yang menjadi musuh kepada golongan Jedi.
“Saya paling gemar watak Darth Vader kerana di sebalik baju hitamnya yang gah dengan aura menggerunkan penuh misteri, watak itu sebenarnya mempunyai pelbagai konflik yang tidak disangka-sangka.
“Sama seperti saya. Orang ramai mungkin kenal luaran Aziz M. Osman, tetapi mereka tidak tahu bagaimana diri saya yang sebenar,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, Ace Motion Pictures yang menyimpan separuh daripada koleksi Star Wars miliknya.
Bermula dengan barangan biasa, dia pertama kali memiliki koleksi istimewa pengumpul barangan Star Wars sekitar hujung 1980-an iaitu sebuah patung Jabba The Hut yang hanya dikeluarkan sebanyak 5,000 unit sahaja.
Sejak itu jelasnya, dia seakan-akan ketagih dengan barangan Star Wars daripada figura aksi, topeng, patung, pedang lightsaber, pakaian, kasut, buku malah poster sekalipun. Koleksinya kini berjumlah beratus-ratus.
Setiap kali bertugas di luar negara, Aziz yang sering mendapat hadiah barangan Star Wars ketika hari jadinya daripada keluarga dan rakan-rakan pasti akan mencari apa sahaja barangan berkaitan filem kegilaannya itu.
“Antara koleksi paling berharga sebuah pedang lightsaber yang menjadi prop sebenar filem Star Wars.
“Saya mendapatkannya daripada seorang peminat Star Wars di Singapura. Saya tidak pasti bagaimana dia memperoleh pedang itu tetapi ia memang tulen,” katanya yang mengidam untuk memiliki patung Darth Vader saiz sebenar bernilai RM20,000.
Keterujaannya bertambah apabila Aziz mengetahui dia tidak berseorangan setelah bertemu dengan penggila-penggila Star Wars yang lain menerusi Star Wars Malaysia Fan Club.
Menurutnya, kelab yang baru disertainya tahun lalu itu sering mengadakan pelbagai aktiviti seperti menganjurkan tayangan semula filem Star Wars: The Phantom Menace dalam bentuk 3D pada Februari ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: