
BERTUGAS di perantauan tidak bermakna anggota pasukan Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) tidak dapat meraikan perayaan-perayaan utama yang disambut meriah di tanah air.
Biarpun dengan sumber yang terhad dan serba sederhana setiap perayaan yang tiba pasti diraikan bersama-sama oleh setiap anggota tanpa mengira keturunan dan agama.
Sempena dengan sambutan Krismas Disember lalu, 60 anggota Malbatt 4 yang beragama Kristian tetap berpeluang meraikannya.
Biarpun jauh dari ahli keluarga dan saudara mara, namun, kehadiran rakan-rakan sepasukan menjadi penawar lara.
Semua mereka diraikan pada satu majlis sambutan Hari Krismas yang berlangsung di Dewan Rubhall, Kem Tibnin, Lubnan.
Sambutan itu menjadi lebih bermakna kerana ia disertai penduduk di sekitar Tibnin yang beragama Kristian yang turut dijemput untuk bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Komander Malbatt 4, Kolonel Badrul Hisham Muhammad berkata, majlis itu dianjurkan khas untuk meraikan anggota-anggota Malbattt 4 yang tidak dapat meraikan perayaan itu bersama dengan keluarga mereka di Malaysia.
Pada masa yang sama kesempatan itu juga digunakan untuk mengajak semua masyarakat Kristian di sekitar Tibnin bersama-sama merasai kemeriahan perayaan tersebut.
"Ini bertujuan untuk mempamerkan kepada masyarakat Lubnan bahawa Malbatt 4 sentiasa bersikap terbuka dengan meraikan semua perayaan tanpa mengira bangsa dan agama," kata Badul Hisham.
Salah seorang penduduk Tibnin yang hadir pada majlis ini, Ordette Hajj berkata, dia sungguh terharu kerana sambutan Krismas itu cukup meriah.
Katanya, dia tidak pernah merasai sambutan semeriah itu pada setiap Krismas sebelum ini.
Malah, dia memuji sikap anggota Malbatt 4 yang terbuka dan sedia melayah sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan agama.
Sehubungan itu, kata Ordette, sikap yang ditunjukkan oleh Malbatt 4 itu boleh dijadikan contoh dan dijadikan amalan oleh penduduk Lubnan.
Penganjur majlis itu yang juga Timbalan Komander Malbattt 4, Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar pula menjelaskan, ia merupakan aktiviti serampang dua mata.
"Matlamat pertama adalah untuk meraikan anggota-anggota Malbatt 4 yang beragama Kristian bersama anggota yang lain sebagai sebuah keluarga besar.
"Manakala matlamat kedua untuk menunjukkan kepada masyarakat Lubnan tentang keharmonian masyarakat Malaysia yang sentiasa bersatu tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.
Selain itu katanya, kehadiran masyarakat tempatan untuk sama-sama meraikan perayaan itu dapat mengeratkan hubungan sedia ada.
Bagi Pegawai Agama Kristian Malbatt 4, Kapten Winsle ak Litar, sambutan itu amat bermakna bagi dirinya dan anggota beragama Kristian yang lain kerana buat pertama kali mereka dapat merasai perayaan Krismas di musim salji.
"Sesungguhnya aktiviti perayaan yang dianjurkan ini telah dapat memberi manfaat yang besar kepada nama Malbatt 4 dan anggota-anggota yang melaksanakan tugas pengaman di bumi Lubnan," katanya.
pagbati datuk!tulad ng isang bukas na isip saloobin!!!lahat ng Malaysian Kristiyano na mahal mo!
ReplyDelete