Episod akhir Karma  penuh kejutan!

Drama tragis Karma yang bersiaran di TV9 sejak November lalu, hampir ke penamatnya. Jangan lepaskan peluang menyaksikan episod akhir drama lakonan hebat Fouziah Gous, Ziela Jalil, Aaron Aziz dan Datuk Ahmad Tarmimi pada Isnin dan Selasa ini.

Karma mengisahkan kehidupan Karmila (Fouziah Gous), setelah berkahwin dengan ahli perniagaan, Tan Sri Fahrul Sani (Ahmad Tarmimi), yang jauh lebih tua darinya. Walaupun berbeza usia, namun Karmila sangat mencintai Fahrul. Pelbagai dugaan dan musibah telah dilaluinya, lebih-lebih lagi apabila madunya, Puan Sri Waheeda (Ziela Jalil), sering menganiayainya.

Pada masa sama, anak Fahrul iaitu Qayyum (Aaron Aziz) turut menaruh perasaan terhadap Karmila. Qayyum selesa dengan kehadiran Karmila dalam keluarganya dan tersentuh dengan kelembutan dan kesopanan Karmila.
Konflik bermula apabila suami Karmila meninggal dunia selepas dia melahirkan anak mereka. Ini membuatkan Karmila hilang upaya untuk berfikiran dengan waras lantas dimasukkan ke pusat pemulihan.

Sebahagian harta yang seharusnya diwarisi anaknya turut disekat madunya yang tidak mahu mereka mendapat sesen pun harta suaminya.

Dalam kekusutan itu, muncul Ustaz Haikal (Fizz Fairuz), adik kandung Fahrul yang mengambil berat mengenai Karmila.

Sementara, Waheeda pula terus hanyut dengan dosanya bersama lelaki muda. Tidak kurang juga anak perempuannya, Wafida (Sharifah Aleya), yang semakin berani membawa teman lelaki ke rumah dan tidak segan minum arak di khalayak ramai.

Buta dengan keseronokan duniawi, Waheeda ditangkap berkhalwat dengan kekasihnya. Apakah dia berubah dan bolehkah Qayyum dan Ustaz Haikal membantu keluarga ke jalan benar? Bagaimana pula dengan Karmila?